|

BACAAN ISTIAZAH SEBELUM MEMBACA AL-QURAN MENURUT AL-SUNAH

Sebelum membaca Al-Quran hendaklah terlebih dahulu membaca istiazah berdasarkan firman Allah ﷻ:

فَإِذَا قَرَأۡتَ ٱلۡقُرۡءَانَ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ ٱلرَّجِيمِ

“Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran maka hendaklah engkau (terlebih dahulu) beristiazah (memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang direjam).”

[Al-Quran, al-Nahl, 16: 98]

Demikian dalam solat sebelum membaca basmalah dan al-Fatihah.

Bacaan istiazah ini hukumnya wajib berdasarkan lafaz perintah dalam ayat di atas, berdosa jika tidak membacanya.

Terdapat dua cara membaca istiazah menurut al-Sunah iaitu:

Bacaan pertama:

‌أَعُوذُ ‌بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ، ‌مِنْ ‌هَمْزِهِ، وَنَفْخِهِ، وَنَفْثِهِ

‘Auzubillahiminasy’syaitanirrajim, min hamzihi wa nafkhihi wa nafthih’.

“Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam, daripada kegilaan, kesombongan dan hembusan bisikannya.”

[Sahih. Riwayat Abu Daud, no. 764]

Bacaan kedua:

‌أَعُوذُ ‌بِاللهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ، ‌مِنْ ‌هَمْزِهِ، وَنَفْخِهِ، وَنَفْثِهِ

‘Auzubillahissamil’alim minasy’syaitanirrajim, min hamzihi wa nafkhihi wa nafthih’.

“Aku berlindung kepada Allah, Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui daripada syaitan yang direjam, daripada kegilaan, kesombongan dan hembusan bisikannya.”

[Sahih. Riwayat Abu Daud, no. 775]

Jumhur ulama berpandangan bahawa lafaz istiazah sebelum membaca Al-Quran ialah:

أَعُوذُ بِٱللَّهِ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ ٱلرَّجِيمِ

‘Auzubillahiminasy’syaitanirrajim’.

“Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam.”

Dalil mereka ialah ayat 98, surah al-Nahl di atas.

Mereka turut berhujah antaranya dengan hadis Nabi ﷺ:

إِنِّي ‌لَأَعْلَمُ ‌كَلِمَةً ‌لَوْ ‌قَالَهَا لَذَهَبَ عَنْهُ مَا يَجِدُ، لَوْ قَالَ: أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

“Sesungguhnya aku tahu kalimah yang jika dia mengucapkannya nescaya akan hilanglah perasaan (marah) itu daripadanya. Andainya dia berkata: Auzubillahiminasy’syaitanirrajim.”

[Sahih. Riwayat Bukhari, no. 6115]

Jika diamati, dalil-dalil yang dikemukakan oleh jumhur bersifat umum sedangkan bacaan istiazah yang sabit dalam al-Sunah ialah dua lafaz yang telah disebutkan di atas yang antaranya disebutkan dalam hadis Abu Saeed al-Khudri:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ إِذَا ‌قَامَ ‌إِلَى ‌الصَّلَاةِ … كَبَّرَ ثُمَّ يَقُولُ: سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ… ثُمَّ يَقُولُ: أَعُوذُ بِاللَّهِ السَّمِيعِ العَلِيمِ مِنَ ‌الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ، مِنْ هَمْزِهِ ‌وَنَفْخِهِ وَنَفْثِه

“Rasulullah ﷺ apabila bangun solat… baginda ﷺ bertakbir kemudian berkata: Subhanakallahumma wabihamdika… Setelah itu baginda ﷺ berkata: Auzubillahissamil’alim minasy’syaitanirrajim, min hamzihi wa nafkhihi wa nafthih.”

[Sahih. Riwayat Tirmizi, no. 242]

Justeru dapat disimpulkan di sini bahawa bacaan istiazah sebelum membaca Al-Quran yang popular dalam masyarakat ‘Auzubillahiminasy’syaitanirrajim’ adalah selari dengan pendirian jumhur ulama berdasarkan nas-nas umum Al-Quran dan hadis manakala lafaz ‘Auzubillahiminasy’syaitanirrajim, min hamzihi wa nafkhihi wa nafthih’ dan juga ‘Auzubillahissamil’alim minasy’syaitanirrajim, min hamzihi wa nafkhihi wa nafthih’ telah sabit secara khusus dan praktikal dalam hadis sahih sebelum Nabi ﷺ membaca Al-Quran.

Afdalnya didahulukan kedua-dua lafaz istiazah yang sabit secara khusus ini sebelum membaca Al-Quran, dalam atau luar solat.

Beberapa poin untuk diambil perhatian:

  1. Bacaan istiazah wajib sebelum membaca Al-Quran, dalam atau luar solat;
  2. Dalam solat, bacaan istiazah dibaca sebelum membaca basmalah dan al-Fatihah;
  3. Sekalipun wajib, tidak membaca istiazah tidak membatalkan solat;
  4. Sebaiknya bacaan istiazah dibaca dalam setiap rakaat;
  5. Lafaz ‘Auzubillahiminasy’syaitanirrajim’ boleh dibaca (sebelum membaca Al-Quran) tetapi afdalnya ialah bacaan ‘Auzubillahiminasy’syaitanirrajim, min hamzihi wa nafkhihi wa nafthih’ atau ‘Auzubillahissamil’alim minasy’syaitanirrajim, min hamzihi wa nafkhihi wa nafthih’ kerana kedua-dua lafaz inilah yang sabit dalam al-Sunah;
  6. Lafaz basmalah ‘Bismillahirrahmanirrahim’ hanya dibaca pada awal surah (kecuali surah al-Taubah) dalam atau luar solat. Adapun pada pertengahan surah maka cukup dengan membaca istiazah (tanpa basmalah);
  7. Kedua-dua bacaan istiazah dan basmalah dibaca secara perlahan sebagaimana keumuman firman Allah ﷻ “Dan berzikirlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut tanpa meninggikan suara” (Al-Quran, al-A’raf, 7:205). Kedua-dua istiazah dan basmalah termasuk dalam erti zikir mengingati Allah yang dinyatakan dalam ayat ini. Tambahan pula, Anas bin Malik apabila menjelaskan bacaan al-Fatihah Nabi ﷺ, Abu Bakar dan Omar dalam solat, beliau menegaskan “Mereka tidak mengeraskan bacaan: Bismillahirrahmanirrahim” (Sahih. Riwayat Ahmad, no. 12845);
  8. Tiada apa-apa bacaan setelah selesai membaca Al-Quran. Adapun ucapan ‘Sadaqallahulazim’ selepas membaca Al-Quran ia tidak disyariatkan kerana tiada dalil dan tiada petunjuknya dalam al-Sunah. Malah ia antara amalan yang diada-adakan yang perlu ditinggalkan;
  9. Ada keluasan dan kelonggaran jika membaca istiazah secara umum di luar solat dan untuk selain membaca Al-Quran termasuklah dengan membaca ‘Auzubillahiminasy’syaitanirrajim’.

Wabillahittawfiq.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
06 Muharam 1445H
24 Julai 2023

Similar Posts

  • | | |

    MENJERNIHKAN FIKIRAN

    MENJERNIHKAN FIKIRAN Bagaimana cara untuk menjernihkan fikiran dan menghilangkan keserabutan? PERTAMA: Berzikir mengingati Allah ﷻ. Afdalnya dengan ucapan ‘Lailahaillallah’ dan ‘Astaghfirullah’. KEDUA: Solat. “Rasulullah ﷺ apabila berhadapan dengan sesuatu perkara maka baginda akan segera melakukan solat.” [Sahih. Riwayat Abu Daud] KETIGA: Berdoa. Mengadap Allah dan merintih kepadaNya. Sebaik-baiknya semasa sujud….

  • |

    PERDAGANGAN AGAMA

    PERDAGANGAN AGAMA # Air Mineral dijampi dengan bacaan 30 juzuk Al-Quran? Sekalipun para ulama sepakat mengharuskan ruqyah, doa perlindungan melalui bacaan ayat-ayat suci Al-Quran tetapi adakah wajar air ruqyah diperluaskan, dikomersialkan dan dikeluarkan secara besar-besaran seperti yang dilakukan oleh sesetengah pihak mutakhir ini? Tidak dan tidak sama sekali. Bukan sahaja…

  • | | |

    PUASA SEBELUM ISLAM

    Manusia sudah lama berpuasa sebelum kedatangan Islam. Ini sebagaimana firman Allah ﷻ: يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana ia telah diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu.” [Al-Quran, al-Baqarah, 2:83] Dan juga sabda Nabi ﷺ: أَفْضَلَ…

  • |

    BAHAYA WASWAS

    – Cara menghilangkannya – Faedah menuntut ilmu Rasa waswas boleh datang kepada sesiapa. Bisikan-bisikan yang hadir dalam hati manusia tanpa diundang. Sehingga menyebabkan orangnya rasa kurang yakin dan tidak tenang. Tidak kira dalam apa jua urusan, rasa waswas boleh datang mengganggu lalu menyebabkan apa yang pada asalnya mudah bertukar menjadi…

  • | | | | |

    SYIAH RASA TIDAK SENANG DENGAN MALAYSIA

    SYIAH RASA TIDAK SENANG DENGAN MALAYSIA Seorang pemuka SYIAH menzahirkan rasa tidak senang dengan pemulihan hubungan baik antara MALAYSIA – ARAB SAUDI dengan melemparkan fitnah terhadap SPB Raja Permaisuri. Matilah kamu dengan kebencian kamu terhadap kaum Muslimin Ahli Sunah. Semoga ALLAH memelihara tanah air dan semua negara Islam daripada kebejatan…