Check list and green marker
|

USTAZ DIJAMIN SYURGA OLEH RASULULLAH!

– Dakwaan jumpa Nabi secara jaga
– Berbohong atas nama Nabi ﷺ

Tular di media sosial seorang ustaz yang sebelum ini banyak mengemukakan dakwaan-dakwaan melampau seperti mengatakan bahawa Nabi Adam telah turun di Gunung Jerai (Kedah) dan ramai Sahabat Nabi ﷺ yang datang ke Tanah Melayu termasuklah Sayidina Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib radiallahuanhuma, kini yang terbaru beliau mendakwa telah bertemu Nabi ﷺ secara jaga (yaqazah) pula.

——————-

Nabi Adam turun di Gunung Jerai, Kedah &
Sahabat Nabi ﷺ datang ke Tanah Melayu:

USTAZ: RAMAI SAHABAT NABI ﷺ PERNAH SAMPAI MALAYSIA!

——————-

Lebih melampau lagi, semasa bertemu secara jaga beliau mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ mengatakan kepadanya “Kita jumpa dalam syurga esok!”

Maklum bahawa beberapa orang Sahabat telah dijamin syurga oleh Nabi ﷺ seperti mana dalam hadis ‘Sepuluh Sahabat yang Dijanjikan Syurga’ di mana baginda ﷺ bersabda:

“Abu Bakar dalam syurga, Omar dalam syurga, Ali dalam syurga, Uthman dalam syurga, Talhah dalam syurga, al-Zubair dalam syurga, Abdul Rahman bin Auf dalam syurga, Saad bin Abi Waqqas dalam syurga, Saeed bin Zaid bin Amru bin Nufail dalam syurga dan Abu Ubaidah bin al-Jarrah dalam syurga.”

[Sahih. Riwayat Ahmad]

Dalam hadis di atas Nabi ﷺ – berdasarkan wahyu Allah ﷻ kepadanya – mengatakan bahawa kesemua sepuluh Sahabat yang baginda ﷺ namakan telah dijamin syurga oleh Allah ﷻ.

Kenyataan baginda ﷺ ini adalah semasa baginda masih hidup dan hadisnya telah diriwayatkan melalui jalan-jalan riwayat yang sahih.

Tetapi dakwaan sang ustaz ini merupakan sesuatu yang berbeza sama sekali.

Pertamanya, beliau mendakwa telah bertemu Nabi ﷺ secara jaga (yaqazah) sedangkan maklum bahawa Nabi ﷺ sudah sekian lama wafat di Madinah berdasarkan ijmak kesepakatan kaum Muslimin.

Malah Allah ﷻ telah pun menyatakannya dalam firmanNya:

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati dan sesungguhnya mereka juga akan mati.”

[Al-Quran, al-Zumar, 39:30]

Ini berbeza dengan kemungkinan bertemu Nabi ﷺ dalam mimpi.

Sekalipun ia boleh berlaku tetapi perlu ditegaskan bahawa seseorang itu tidak dikatakan telah bertemu Nabi ﷺ dalam mimpinya kecuali jika dia benar-benar telah melihat Nabi ﷺ dalam rupa asal baginda ﷺ.

Kerana itu Ibnu Hajar dalam kitabnya Fathulbari membawakan kenyataan ulama besar Tabiin, Ibnu Sirin (wafat 110H) bahawa jika ada sesiapa mendakwa telah bertemu Nabi ﷺ dalam mimpinya maka beliau akan meminta supaya orang itu menyebutkan sifat-sifat rupa baginda ﷺ.

Sekiranya sifat-sifat yang disebutkan tidak menepati rupa Rasulullah ﷺ maka beliau akan berkata kepadanya “Engkau tidak bertemu dengannya (Nabi ﷺ)”.

Perkara kedua ialah dakwaannya bahawa Rasulullah ﷺ mengatakan kepadanya “Kita jumpa dalam syurga esok.”

Jelasnya, sama ada beliau sedar atau tidak, beliau bukan sahaja telah meletakkan dirinya setara dengan para Sahabat (kerana telah bertemu Nabi ﷺ secara jaga) malahan beliau telah mengangkat dirinya lebih tinggi daripada majoriti para Sahabat itu kerana mendakwa telah dijanjikan syurga oleh baginda ﷺ seperti mana sepuluh Sahabat yang dijanjikan syurga.

Sedangkan kita maklum bahawa kesemua sepuluh Sahabat yang dijanjikan syurga ini terdiri daripada kalangan para Sahabat yang paling mulia dan yang tertinggi kedudukan mereka berbanding Sahabat-Sahabat (malah seluruh umat Islam) yang lain khususnya keempat-empat Khalifah Abu Bakar, Omar, Uthman dan Ali radiallahuanhum.

Benarlah sabda Nabi ﷺ bahawa orang yang tiada rasa malu akan berkata apa sahaja. (Riwayat Bukhari)

Apa yang dikhuatiri ialah beliau telah berdusta atas nama Nabi ﷺ sedangkan dalam hadis, Nabi ﷺ bersabda:

فَمَنْ كَذَبَ عَلّيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأُ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ.

“Sesungguhnya barang siapa berdusta atas namaku maka hendaklah dia bersiap-sedia akan tempatnya dalam api neraka.”

[Sahih. Riwayat Tirmizi]

Barangkali ada yang bertanya, selepas ini mahu mendakwa bertemu Allah ﷻ pula?

Nauzubillah.

Idris bin Sulaiman
Kajang
15 Syaaban 1443H /
18 Mac 2022

Similar Posts

  • ASWAJA

    Mereka tolak Allah ﷻ di atas langit kerana akal mereka tidak dapat terima, tetapi percaya guru mereka boleh bertemu Rasulullah ﷺ secara Yaqazah (dalam keadaan jaga, bukan mimpi), tidak mustahil menurut akal, kata mereka. Ini bahana mendahulukan akal atas wahyu. Berikut dalil-dalil Al-Quran dan hadis bahawa Allah ﷻ di atas…

  • |

    CIRI-CIRI AJARAN SESAT

    Antara ciri-ciri ajaran sesat ialah: Ajaran menyalahi dalil Al-Quran dan al-Sunah; Bercanggah dengan pemahaman Salaf al-Soleh; Bertentangan dengan amalan para Sahabat; Berbaur khurafat dan tahyul; Diselubungi kesamaran dan kerahsiaan; Ajaran bercanggahan dan kontradik; Disembunyikan daripada pengetahuan umum. BIAR GAMBAR BERBICARA Foto-foto yang disisipkan ialah gambaran kasar apa yang disebutkan di…

  • PENTINGNYA TAUHID

    Tauhid mengesakan Allah ﷻ serta menjauhi segala bentuk syirik dan kufur merupakan syarat utama masuk syurga serta selamat daripada kekal dalam api neraka. Firman Allah ﷻ: إِنَّهُۥ مَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدۡ حَرَّمَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِ ٱلۡجَنَّةَ وَمَأۡوَىٰهُ ٱلنَّارُۖ وَمَا لِلظَّٰلِمِينَ مِنۡ أَنصَارٖ. “Sesungguhnya barang siapa menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain…

  • |

    PRODUK-PRODUK KHURAFAT

    PRODUK-PRODUK KHURAFAT # Amalan dan kepercayaan melanggar syariat # Produk mempunyai ‘kelebihan’ tertentu Kepercayaan khurafat sering dikaitkan dengan masyarakat kampung dahulu yang kurang pendidikan. Tetapi realitinya kepercayaan khurafat masih subur dalam kalangan sebahagian masyarakat Islam negara dan antaranya ialah melalui penggunaan produk-produk tertentu seperti minyak wangi dengan kepercayaan bahawa produk…

  • | | | | | |

    HARI ASYURA: SEDIH ATAU GEMBIRA? BUBUR ASYURA

    Syiah sambut Hari Asyura pada 10 Muharam dengan pelbagai bentuk ratapan, termasuk memukul dada dan badan dengan tangan atau rantai berduri. Mereka juga berkabung dan mengenakan pakaian hitam sebagai tanda kesedihan atas kematian al-Husain. Bagi mereka, Hari Asyura adalah hari dukacita. Adakah Ahli Sunah perlu menyambut Hari Asyura dengan kegembiraan…