X-ray with brain and spinal cord concept

USTAZ ZAINUL ASRI: INKARNASI PERPINDAHAN ROH KE JASAD LAIN

– Roh Abu Bakar al-Siddiq dalam jasad Imam Ahmad
– Kepercayaan kufur

Dalam satu rakaman video yang tular Ustaz Zainul Asri (UZA) mendakwa bahawa terdapat jenis-jenis roh yang boleh berpindah-pindah ke jasad lain, dan beliau memberi contoh roh Sayidina Abu Bakar al-Siddiq yang Allah boleh tiupkan ke dalam jasad lain seperti Imam Ahmad bin Hanbal supaya beliau dapat menjadi ‘figure’ masyarakat pada zamannya.

https://www.facebook.com/syeikhmuhdzainulasri/videos/200163222019644/ (minit 35:30)

Dengan kata lain, fizikalnya ialah Imam Ahmad bin Hanbal (wafat 241H) manakala rohnya ialah Abu Bakar al-Siddiq (wafat 13H).

Kenyataan di atas sangat berbahaya dan bertentangan dengan akidah Islam.

Ia dinamakan inkarnasi atau dalam bahasa Arab ‘Tanasukh al-Arwah’.

Inkarnasi bermaksud penjelmaan semula seseorang dalam bentuk tertentu selepas mati yang terdapat dalam kepercayaan Buddha dan Hindu sebelum ia diadaptasikan ke dalam beberapa ajaran sesat Batiniah seperti Nusairiyyah, Duruz dan Qadyani.

Secara amnya ia kepercayaan bahawa apabila jasad manusia mati maka rohnya akan berpindah ke dalam jasad yang lain bergantung pada amalannya, jika baik maka ia akan masuk ke dalam jasad orang yang baik dan jika buruk maka ia akan masuk ke dalam jasad orang yang buruk.

Kepercayaan ini sangat batil lagi kufur dengan Allah ﷻ, kitabNya dan RasulNya.

Beriman dengan Hari Akhirat serta Hari Pembalasan di samping adanya syurga dan neraka menjadi asas kepercayaan setiap Muslim sedangkan kepercayaan inkarnasi mendustakan semua kepercayaan itu.

[al-Mausu’ah al-Muyassarah Fi al-Adyaan oleh Dr. Mani’ al-Juhani, 2/728]

Keyakinan bahawa setiap manusia akan mati sebelum mereka dibangkitkan untuk menjalani urusan hisab dan pembalasan di Hari Akhirat dinyatakan secara jelas dalam Al-Quran dan al-Sunah.

Firman Allah ﷻ:

كُلُّ نَفۡسٖ ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۖ ثُمَّ إِلَيۡنَا تُرۡجَعُونَ.

“Setiap yang bernyawa akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).”

[Al-Quran, al-Ankabuut, 29: 57]

FirmanNya ﷻ:

إِلَيۡهِ مَرۡجِعُكُمۡ جَمِيعٗاۖ وَعۡدَ ٱللَّهِ حَقًّاۚ إِنَّهُۥ يَبۡدَؤُاْ ٱلۡخَلۡقَ ثُمَّ يُعِيدُهُۥ لِيَجۡزِيَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّلِحَٰتِ بِٱلۡقِسۡطِۚ وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ لَهُمۡ شَرَابٞ مِّنۡ حَمِيمٖ وَعَذَابٌ أَلِيمُۢ بِمَا كَانُواْ يَكۡفُرُونَ.

“KepadaNyalah kembalinya kamu semua, sebagai janji Allah yang benar. Sesungguhnya Dia lah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Dia mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya) untuk membalas orang-orang yang beriman dan beramal soleh dengan adil; dan orang-orang yang kafir pula disediakan bagi mereka minuman daripada air panas yang menggelegak serta azab yang tidak terperi sakitnya disebabkan mereka ingkar dan berlaku kufur.”

[Al-Quran, Yunus, 10:4]

FirmanNya ﷻ lagi:

يَوۡمَ نَحۡشُرُ ٱلۡمُتَّقِينَ إِلَى ٱلرَّحۡمَٰنِ وَفۡدٗا وَنَسُوقُ ٱلۡمُجۡرِمِينَ إِلَىٰ جَهَنَّمَ وِرۡدٗا.

“(Ingatlah) hari Kami himpunkan orang-orang yang bertakwa untuk mengadap (Allah) Al-Rahman secara berkumpulan. Dan Kami akan menghalau orang-orang yang bersalah ke Neraka Jahanam dalam keadaan dahaga.”

[Al-Quran, Maryam, 19: 85]

Sabda Nabi ﷺ:

إِنَّكُمْ ‌مَحْشُورُونَ حُفَاةً عُرَاةً غُرْلًا.

“Kamu akan dibangkitkan dalam keadaan tidak beralas kaki, telanjang dan tidak berkhatan.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Kepercayaan inkarnasi mendustakan semua nas-nas di atas tentang kebangkitan manusia dari kubur.

Demikian hadis-hadis yang menetapkan adanya nikmat serta azab seksa kubur yang menjadi dalil jelas yang menunjukkan bahawa roh manusia tidak akan berpindah ke jasad lain. Sebaliknya nikmat dan azab seksa kubur itu akan menimpa atas roh manusia itu sehingga tiba Hari Kiamat.

Kata Ibnu Hazm:

فَيَكْفِي مِن الرّد عَلَيهِم إجْماع جمَيع أهْل الإسَلام ِعَلى تَكْفِيرِهمْ وَعَلى أنَّ مَن قَالَ بقَوْلهِم فَإنّهُ عَلى غَيْرِ الإسْلامِ وَأنّ النَّبي صَلّى الله عَلَيْهِ وَسلم أتَى بِغَيْرِ هَذَا.

“Memadai untuk menyanggah mereka (yang menganuti kepercayaan ini) bahawa seluruh umat Islam secara ijmak mengkafirkan mereka, dan bahawasanya mereka yang mengungkapkan kepercayaan ini bukanlah seorang Muslim manakala ajaran yang dibawa oleh Nabi ﷺ menyalahinya.”

[al-Fasl Fi al-Milal oleh Ibnu Hazm, 1/166]

Kata al-Qadi Iyadh:

“Kami secara tegas mengkafirkan sesiapa yang mengatakan bahawa roh-roh akan lahir semula dan berpindah-pindah dari satu jasad ke jasad lain untuk diseksa atau diberi nikmat dalam jasad tersebut mengikut keadaan baik atau buruknya.”

[al-Syafa Bita’rif Huquq al-Mustafa oleh al-Qadi Iyadh, 2/283]

Kata al-Dardir al-Maliki:

“Jatuh kafir jika dia percaya kepada perpindahan roh. Yakni barang siapa mengatakan bahawa orang mati rohnya akan berpindah ke (jasad) yang sepertinya atau yang lebih tinggi jika dia baik, atau ke (jasad) yang lebih rendah darinya atau yang sepertinya jika dia buruk maka dia kafir kerana kepercayaan tersebut menafikan (Hari) Kebangkitan.”

[Hasyiah al-Sawi ‘Ala al-Syarah al-Saghir oleh al-Sawi al-Maliki, [4/434]

Laman web JAKIM menggariskan bahawa antara ciri-ciri ajaran sesat yang menyalahi pegangan Ahli Sunah Wal Jemaah ialah ‘Mendakwa roh orang mati mampu menjelma ke dalam jasad orang hidup’ (No. 21).

http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/11439

——————-

UZA Dijamin Syurga oleh Rasulullah:

USTAZ DIJAMIN SYURGA OLEH RASULULLAH!

UZA: Nabi Adam turun di Gunung Jerai & Ramai Sahabat Nabi ﷺ Sampai Malaysia:

USTAZ: RAMAI SAHABAT NABI ﷺ PERNAH SAMPAI MALAYSIA!

——————-

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk hidayah.

Idris bin Sulaiman
Kajang
05 Zulkaedah 1443H /
05 Jun 2022

Similar Posts

  • |

    “SALAH KE KALAU TAMBAH? BUKAN HARAM PUN!”

    Apabila berbicara tentang keperluan berpegang teguh dengan Sunah Nabi ﷺ serta larangan berpaling daripadanya dengan melakukan perubahan, tokok tambah dan seumpamanya, pasti ada yang tidak bersetuju lalu menolak secara sinis dengan berkata: “Alah, ini perkara kecil sahaja, cabang dan ranting. Bukan perkara pokok. Salah ke kalau nak tambah? Benda baik,…

  • ULAMA BERBEZA PENDAPAT

    ULAMA BERBEZA PENDAPAT – Isu khilafiah, perselisihan ulama “Ulama khilaf. Ini isu khilafiah. Jangan diperbesar-besarkan. Terpulanglah nak pilih pendapat mana. Mana yang dipilih itulah yang benar. Semua pendapat ini benar. Tiada sesiapa yang benar atau salah. Semuanya benar. Tiada paksaan. Kita perlu berlapang dada. Mereka yang memperbesarkan isu-isu khilafiah ialah…

  • |

    ‘MAZHAB TIDAK BERMAZHAB’?

    – Allamazhabiyyah – Mazhab Salaf al-Soleh Khatib dalam khutbah Jumaat semalam membuat analogi menyamakan antara golongan liberal sesat dengan golongan yang dinamakan sebagai golongan ‘mazhab tidak bermazhab’ atau Allamazhabiyyah kerana menurutnya kedua-dua modusnya dikatakan menjatuhkan kredibiliti dan autoriti ulama-ulama silam. Tidak dinyatakan siapa golongan Allamazhabiyyah ini secara spesifik. Apa yang…

  • |

    EVOLUSI CAPAL

    Mutakhir ini terdapat sebahagian kelompok yang menggunakan simbol capal pada kopiah mereka sebagai cara menzahirkan rasa cinta kepada Nabi ﷺ. Walhal perlu ditegaskan bahawa simbol capal ini tiada asasnya dalam ajaran Islam sama sekali. Menzahirkan rasa cinta Nabi ﷺ bukan dengan bersimbol-simbol sebaliknya dengan beramal dengan Sunah Nabi ﷺ sepenuhnya…

  • |

    ISU-ISU KHILAFIAH

    Kata seorang penceramah: “Benda khilaf kita diam sahaja, tidak perlu tegur kerana ia belum tentu mungkar.” Kenyataan di atas perlu disemak semula. Sikap toleransi dan berlapang dada dalam isu-isu khilafiah dianjurkan tetapi dalam masa yang sama budaya ilmu dan perbincangan ilmiah perlu disuburkan. Usaha mendekatkan masyarakat kepada Sunah Nabi ﷺ…

  • PENDAPAT JUMHUR ULAMA ADALAH BENAR?

    # Pendapat majoriti tidak semestinya benar Sekiranya pendirian jumhur ulama adalah ukuran kebenaran maka ini bererti bahawa setiap pendapat minoriti adalah salah. Lalu setiap pandangan ulama yang menyalahi jumhur dalam apa jua permasalahan perlu disaring dan dianggap batil semata-mata kerana ia menyalahi pendirian jumhur ulama. Tiada mana-mana ulama yang berkata…