|

PEGAWAI ARAB vs USTAZ

– Baca Al-Quran di Kubur Siti Khadijah, Mekah

– Menghadiahkan bacaan Al-Quran menurut Imam al-Syafie

Tular rakaman video seorang pegawai Arab menegur sekumpulan jemaah umrah dari beberapa buah negara termasuk Malaysia di Perkuburan Ma’la, Mekah tempat letaknya kubur isteri Nabi ﷺ, Khadijah binti Khuwailid radiallahuanha.

Kedengaran pegawai Arab berkenaan berkata “Ayuh pak haji bergerak, bergerak. Pergi ke masjid, bukan ke sini. Masjid al-Haram lebih bagus!”

Kelihatan kemudian pegawai Arab itu menegur seorang ustaz dari Malaysia supaya tidak mengkhususkan bacaan Al-Quran di kubur tetapi tegurannya itu disangkal oleh sang ustaz yang mendakwa bahawa beliau tidak membuat pengkhususan sedemikian sebaliknya turut membaca Al-Quran di hotel, di stesen (bas), dalam kereta…

Pegawai Arab itu menegaskan bahawa membaca Al-Quran di masjid lebih utama dan tiada keperluan sama sekali buat para jemaah umrah datang membaca Al-Quran di kubur.

Tetapi sang ustaz tetap berkeras dengan pendiriannya bahawa membaca Al-Quran di kubur diberi pahala dan mendakwa bahawa Imam al-Syafie turut menganjurkannya dan berpendirian bahawa jika dikhatamkan Al-Quran juga bagus.

Pegawai Arab itu meminta supaya dikemukakan hadis yang menyokong pandangan tersebut tetapi sang ustaz membalas dengan meminta pegawai itu yang mengemukakan hadis yang melarang perbuatan ustaz itu.

Kelihatan pegawai itu kemudian beredar.

ULASAN

1. Dakwaan bahawa Imam al-Syafie menganjurkan amalan menghadiahkan pahala bacaan Al-Quran kepada orang mati seperti mana yang dinyatakan oleh al-Nawawi dalam kitabnya Riyadus Salihin perlu ditinjau semula kerana ia tidak didapati dalam mana-mana kitab Imam al-Syafie sendiri sehingga sebahagian ulama meraguinya memandangkan mazhab beliau menetapkan bahawa menghadiahkan pahala bacaan Al-Quran kepada orang mati tidak sampai kepadanya sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibnu Kathir dalam kitab Tafsirnya apabila mentafsirkan firman Allah ﷻ “Dan sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang melainkan balasan apa yang diusahakannya” (Al-Quran, al-Najm, 53:39).

Menariknya al-Nawawi sendiri turut mengakui hal ini dalam mukadimah kitabnya Syarah Sahih Muslim dan berkata:

وَأَمَّا قِرَاءَةُ الْقُرْآنِ فَالْمَشْهُورُ مِنْ مَذْهَبِ ‌الشَّافِعِيِّ أَنَّهُ لَا يَصِلُ ثَوَابُهَا إِلَى الْمَيِّتِ… وَدَلِيلُ ‌الشَّافِعِيِّ وَمُوَافِقِيهِ قَوْلُ اللَّهِ تَعَالَى وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَى وَقَوْلُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا مات بن آدَمَ ‌انْقَطَعَ ‌عَمَلُهُ…

“Adapun bacaan Al-Quran, pandangan yang masyhur dalam mazhab al-Syafie ialah bahawa pahalanya tidak sampai kepada si mati… dan dalil (Imam) al-Syafie dan mereka yang sependapat dengan beliau ialah firman Allah “Dan sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang melainkan balasan apa yang diusahakannya” (Al-Quran, al-Najm, 53:39) dan sabda Nabi ﷺ “Jika anak Adam mati maka terputuslah amalannya…” (Sahih. Riwayat Muslim).

[Syarah Sahih Muslim oleh al-Nawawi, 1/90]

2. Kelihatan sang ustaz keliru tentang maksud ‘mengkhususkan bacaan Al-Quran di kubur’ sehingga beliau menafikannya dengan alasan bahawa beliau turut membaca Al-Quran di tempat-tempat lain.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘mengkhususkan bacaan Al-Quran di kubur’ ialah amalan sebahagian masyarakat Islam pergi ke kubur dengan tujuan untuk membaca Al-Quran, tidak kira sama ada untuk membaca surah Yasin atau yang lain.

Maksud pegawai Arab itu jelas kerana sang ustaz itu benar-benar telah datang dari jauh semata-mata untuk menziarahi kubur yang ada di situ lalu membaca Al-Quran.

Daripada banyak-banyak tempat yang ada di Mekah beliau telah memilih untuk pergi ke kubur, dan daripada banyak-banyak kitab yang ada beliau telah memilih untuk membaca kitab suci Al-Quran di kubur.

Itulah maksud ‘mengkhususkan bacaan Al-Quran di kubur’.

Maksud teguran pegawai Arab itu jelas cuma zahirnya sang ustaz lebih suka melawan dan membantah.

3. Memang patut pegawai Arab itu meminta daripada sang ustaz mengemukakan hadis yang menyokong pandangannya kerana demikianlah sepatutnya cara setiap Muslim beramal. Berpandukan hadis Nabi ﷺ.

Dan sememangnya tidak ada hadis yang menyokong amalan menghadiahkan pahala bacaan Al-Quran kepada orang mati.

Malah zahir makna nas Al-Quran “Dan sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang melainkan balasan apa yang diusahakannya” dan hadis “Jika anak Adam mati maka terputuslah amalannya…” menunjukkan bahawa menghadiahkan pahala bacaan Al-Quran kepada orang mati tidak sampai kepadanya sebagaimana pendirian Imam al-Syafie di atas.

Kelihatan sang ustaz kurang menguasai ilmu agama apabila beliau meminta daripada pegawai Arab itu memberikan hadis yang melarang perbuatannya membaca Al-Quran di kubur.

Beliau seolah-olah mahukan adanya hadis spesifik seperti ‘jangan baca Al-Quran di kubur’ sedangkan hadis seperti itu sememangnya tidak ada.

Tetapi begitu juga dengan larangan membaca Al-Quran dalam tandas di mana tidak ada hadis spesifik seperti ‘jangan baca Al-Quran dalam tandas’ tetapi ini tidak bererti bahawa ia tidak dilarang.

Sebenarnya ada dalil larangan iaitu istinbat daripada perbuatan Nabi ﷺ dan para Sahabat yang tidak pernah walau sekali pergi ke kubur untuk membaca Al-Quran dan menghadiahkan pahala bacaannya kepada orang mati.

Untuk lebih jelas lagi, Nabi ﷺ sesudah berhijrah ke Madinah telah datang ke Mekah sebanyak empat kali; tiga kali untuk umrah dan sekali untuk haji.

Tidak pernah walau sekalipun Nabi ﷺ menziarahi kubur isterinya Khadijah radiallahuanha dan menghadiahkan pahala bacaan Al-Quran kepadanya sedangkan maklum bahawa baginda ﷺ sangat sayang kepadanya sehingga isterinya Aisyah radiallahuanha cemburu.

Adakah sang ustaz dan para jemaahnya mahu mendakwa lebih sayang kepada Khadijah radiallahuanha berbanding Rasulullah ﷺ sendiri? Tidak mungkin.

Adapun hadis:

انْصِبُوا لي خِيمَةً عِنْدَ قَبْرِ خَدِيجَة.

“Tegakkan untukku sebuah khemah di kubur Khadijah.”

Riwayat ini tidak sabit daripada Nabi ﷺ dan tidak diketahui sumbernya kecuali dari mulut sesetengah pendakwah di Timur Tengah.

4. Pegawai Arab itu nampak tegas dan profesional.

Beliau sekadar menyampaikan tegurannya kerana itulah tugasnya di situ bagi memastikan hal-hal khurafat dan syirik tidak berlaku seperti mana di sesetengah negara.

Apabila melihat sang ustaz berdegil maka beliau terus beredar agar situasi tidak bertukar tegang lalu mengeruhkan keadaan.

——————-

Kuburiyyun (Golongan Penyembah Kubur):

KUBURIYYUN – GOLONGAN PENYEMBAH KUBUR

Kuburiyyun (2):

KUBURIYYUN (2) – GOLONGAN PEMUJA KUBUR

——————-

CATATAN

Mujur pegawai Arab itu tidak mengambil tindakan ke atas sang ustaz kerana ‘menghalang tugas penjawat awam’.

Tetapi kalau diambil tindakan sekalipun ustaz boleh sahaja baca Al-Quran dalam lokap balai ‘pulis’.

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan bimbingan.

Idris bin Sulaiman
Kajang
03 Zulkaedah 1443H /
03 Jun 2022

Similar Posts

  • |

    MENGUTUK SERANGAN KE ATAS ARAB SAUDI

    MENGUTUK SERANGAN KE ATAS ARAB SAUDI Sewajarnya dunia umat Islam mengutuk serangan ke atas ARAB SAUDI yang berlaku baru-baru ini sebagai tanda solidariti ikatan ukhuwah sesama negara MUSLIM. Siapa lagi yang patut tampil ke hadapan memberi sokongan dan bantuan kepada negara MUSLIM seperti ARAB SAUDI jika bukan negara-negara MUSLIM lain…

  • |

    MEDIA SOSIAL: PENGGUNA NAMA SAMARAN

    Muslim perlu mengambil berat tentang sumber dari mana dia mengambil pengetahuan agamanya. Kata ulama besar salaf, Ibnu Sirin: ‌إِنَّ ‌هَذَا ‌الْعِلْمَ ‌دِينٌ، فَانْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ دِينَكُمْ. “Sesungguhnya ilmu ini agama maka lihatlah daripada mana kalian ambil agama kalian.” [Sahih Muslim, 1/14] Ini bererti memastikan sumber yang betul adalah penting dalam…

  • |

    TEGAHAN IKHTILAT

    Ikhtilat atau percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dilarang oleh agama berdasarkan banyak dalil daripada Al-Quran dan hadis. Antaranya ialah apa yang dapat dilihat dalam kedudukan saf solat di mana Nabi ﷺ menempatkan kaum lelaki di hadapan manakala kaum perempuan di belakang. Secara prinsipnya dalam solat berjemaah seseorang…

  • | |

    TRANSKRIP PENGAJIAN HADIS SYKEIKH ABDUL RAZZAQ BIN ABDUL MUHSIN AL-BADR

    TRANSKRIP PENGAJIAN HADIS SYKEIKH ABDUL RAZZAQ BIN ABDUL MUHSIN AL-BADR Minggu lepas merupakan permulaan Program Pengajian Hadis secara atas talian bersama Syeikh Abdul Razzaq al-Badr – hafidhahullah, ulama besar Madinah, Arab Saudi. Program yang berlangsung dalam bahasa Arab ini disertai lebih 4,000 peserta dari seluruh dunia. Pendaftaran masih terbuka buat…

  • ZIKIR MENARI

    – Sanggahan dalil-dalil lawan Pertamanya, ada perbahasan dalam kalangan para ulama berkenaan hukum menari bagi kaum lelaki. Majoriti para ulama memakruhkannya dengan alasan bahawa ia merupakan perbuatan yang hina (دَنَاءَةٌ), bodoh (سَفَهٌ), menjatuhkan kewibawaan(مُرُوءَةٌ) dan termasuk dalam hal-hal yang melalaikan (لَهوٌ). [al-Mauwsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 23/10] Ini kerana firman Allah ﷻ:…

  • |

    NAMPAK HEBAT TETAPI…

    Seorang ustaz dalam video yang tular kelihatan sedang berzikir menggunakan biji-biji tasbih gergasi dalam masjid bersama jemaah yang hadir. Nampak hebat dan bagus. Sama seperti video seorang jemaah haji yang melontar di jamrah, Mina dengan penuh gaya dan semangat seolah-olah dia benar-benar menyasarkan syaitan. Perlu diingatkan bahawa bukan semua yang…