|

ERTI KEMAJUAN SEBENAR: NEGARA MAJU & NEGARA MUNDUR

Antara istilah yang biasa digunakan pada hari ini ialah istilah ‘negara maju’ bagi banyak negara-negara Barat manakala majoriti negara-negara Islam disebut ‘negara membangun’ atau ‘dunia ketiga’ – istilah lain bagi menyatakan tentang negara-negara yang mundur.

Hakikatnya penilaian kemajuan ini hanya dari sudut pembangunan material semata-mata dan mengabaikan sama sekali pembangunan kerohanian.

Sedangkan Muslim yakin tujuannya dijadikan di atas muka bumi tiada lain kecuali untuk mengesakan Allah dan beribadah kepadaNya semata-mata.

Sebagaimana firman Allah ﷻ:

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

[Al-Quran, al-Zariyat, 51:56]

Satu-satunya tujuan manusia diciptakan ialah untuk beribadah dan mengabdikan diri kepada Allah ﷻ.

Ini menjelaskan sedikit sebanyak mengapa tiada pembangunan dunia yang dipelopori Rasulullah ﷺ, membina bangunan tinggi, membuat saliran air dan sebagainya.

Apakah hendak dikatakan bahawa zaman Nabi ﷺ adalah zaman yang mundur lagi kolot?

Tidak wajar sama sekali.

Malah sebaliknya, zaman Nabi ﷺ dan para Sahabat adalah sebaik-baik zaman, dan mereka telah mencapai kemuncak kemajuan dan kegemilangan apabila mereka berjaya merealisasikan tauhid dan menjauhi segala bentuk syirik sehingga mengundang keredaan Allah ﷻ dan pujian RasulNya ﷺ.

Firman Allah ﷻ:

وَٱلسَّٰبِقُونَ ٱلۡأَوَّلُونَ مِنَ ٱلۡمُهَٰجِرِينَ وَٱلۡأَنصَارِ وَٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُم بِإِحۡسَٰنٖ رَّضِيَ ٱللَّهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُ

“Dan orang-orang yang terdahulu daripada kalangan kaum Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang menurut jejak langkah mereka dengan kebaikan, Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia.”

[Al-Quran, al-Taubah, 9:100]

Sabda Nabi ﷺ:

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

“Sebaik-baik manusia adalah kurunku (para Sahabat), setelah itu mereka yang datang kemudian (Tabiin) dan setelah itu mereka yang datang kemudian (Tabi Tabiin).”

[Sahih. Riwayat Tirmizi]

Penjelasan ini bukan bererti bahawa pembangunan dunia tidak patut atau tidak bagus.

Hanya sahaja ia bukan tolok ukur kemajuan yang sebenar.

Sebaliknya kemajuan yang sebenar ialah apabila mana manusia mentauhidkan Allah dan menjauhi segala bentuk syirik sebagaimana yang telah direalisasikan oleh para pendahulu umat Islam daripada kalangan para Sahabat, Tabiin dan Tabi Tabiin.

Sedangkan menilai kemajuan semata-mata berdasarkan kedudukan material dan mengabaikan sudut kerohanian tauhid adalah dangkal dan salah.

Masyarakat yang bergelumang dengan kesyirikan dan maksiat sama sekali tidak boleh dianggap sebagai masyarakat yang maju.

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
19 Jamadilakhir 1446H
21 November 2024
https://idrissulaiman.com

Similar Posts

  • |

    HALAU ANAK KECIL

    Ada pihak halau anak kecil dari saf depan masjid kerana anggap najis sedangkan jemput penceramah ajar benda syirik khurafat dianggap baik pula. Dr. Idris bin SulaimanKajang08 Zulkaedah 1445H17 Mei 2024https://idrissulaiman.com

  • |

    ALLAH AL-KARIM

    ALLAH AL-KARIM Di antara nama ALLAH ﷻ ialah al-Karim. Makna al-Karim bagi ALLAH ﷻ antaranya ialah: Yang memberi tanpa meminta balasan; Yang memberi tanpa sebab; Yang memberi tanpa perlu perantara; Yang memberi tanpa mempedulikan siapa yang diberi; sama ada orang yang berbuat baik atau tidak, orang Islam atau kafir; orang…

  • |

    SYEIKH UBAID AL-JABIRI RAHIMAHULLAH

    Syeikh Ubaid al-Jabiri terdiri daripada kalangan ulama besar Salafi yang gigih mengajar dan menyampaikan ilmu. Beliau antara bekas pengajar di Universiti Islam Madinah. Antara kenangan manis sewaktu saya belajar di sana semasa tahun akhir kuliah pada tahun 2002, usai mendengar tausiah Syeikh Rabi bin Hadi al-Madkhali hafizahullah dalam sebuah pertemuan…

  • |

    SIKAP MUSLIM DENGAN IBADAHNYA

    Muslim sentiasa melihat amal ibadahnya sedikit. Dan amalan ibadahnya memang sedikit dan dia melihatnya begitu. Sama sekali dia tidak akan menganggapnya banyak ataupun merasa ujub kagum dengannya. Sebaliknya dia senantiasa melihatnya serba kurang. Sikap sebegini penting kerana ia akan membuatkan orangnya terus berusaha menambahkan lagi amalannya serta berusaha untuk memperbaikinya….

  • |

    KUMPULAN ‘MADKHALI’

    KUMPULAN ‘MADKHALI’ Mereka tidak mengkafirkan pemerintah Islam, Tidak mengkafirkan sesama saudara Muslim, Tidak menyertai demonstrasi, Tidak terlibat dalam revolusi menjatuhkan pemerintah, Tidak mencela ulama, Tidak menimbulkan fitnah kekacauan. Kerana itu mereka dimusuhi oleh golongan Ikhwani dan dimomokkan dengan istilah ‘Madkhali’ ini. ——————— Syeikh Rabi’ Membongkar Hakikat Gerakan Ikhwan Muslimin: https://www.facebook.com/1588241794/posts/10211289074014462/…

  • |

    PERMOHONAN MAAF

    Beberapa hari lepas sebuah video bertajuk ‘Imam Shafie Akui Tidak Menguasai Ilmu Hadis’ telah dimuat naik di laman Facebook Dr Idris Sulaiman yang mengundang pelbagai reaksi warga maya. Sebahagian mengkritik tajuknya dan menganggapnya biadap terhadap tokoh besar Islam ini manakala sebahagian lain menginterpretasikan isi videonya bermaksud saya mengatakan Imam al-Syafie…