|

PERSELISIHAN UMAT ADALAH RAHMAT?

Sering dalam permasalahan khilaf kedengaran suara yang berkata “Perselisihan umat ialah rahmat” yang mengira bahawa khilaf umat Islam dalam hal-hal agama adalah baik dan elok.

Malah barangkali ada yang menganggap bahawa perselisihan-perselisihan tersebut seeloknya dibiarkan dan dikekalkan.

Masakan tidak kerana ia adalah rahmat buat umat ini, menurut mereka.

Rahmat bermaksud kebaikan dan nikmat, kurniaan Tuhan.

Asal ungkapan ini dalam bahasa Arabnya ialah:

اخْتِلافُ أمَّتِي رَحْمَةٌ.

“Perselisihan umatku ialah rahmat!”

Perlu ditegaskan bahawa ungkapan di atas sama sekali bukan hadis.

Lebih pelik dan buruk, ungkapan ini tidak diketahui dari mana asal sumbernya malah tidak mempunyai sanad riwayat untuk dihukum daif atau palsu.

Apa yang pasti, ia merupakan kenyataan yang batil, buruk dan tertolak kerana menyalahi apa yang ditetapkan oleh syarak.

Syariat Islam secara jelas menyuruh umat Islam supaya bersatu dan bersepakat di samping melarang perselisihan dan perpecahan sebagaimana firman Allah ﷻ:

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْ

“Dan berpegang teguhlah kalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu berpecah.”

[Al-Quran, Aali Imran, 3:103]

Malah dijelaskan keburukan perselisihan dalam firmanNya ﷻ:

وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡ

“Dan janganlah kalian berselisihan (kerana) jika tidak nescaya kalian menjadi lemah manakala kekuatan kalian akan hilang.”

[Al-Quran, al-Anfaal, 8:46]

Perselisihan menyebabkan umat Islam jadi lemah dan hilang kekuatan.

Tambah buruk, perselisihan dan perpecahan adalah budaya kaum musyrikin sebagaimana firman Allah ﷻ:

وَلَا تَكُونُواْ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ مِنَ ٱلَّذِينَ فَرَّقُواْ دِينَهُمۡ وَكَانُواْ شِيَعٗاۖ كُلُّ حِزۡبِۢ بِمَا لَدَيۡهِمۡ فَرِحُونَ

“Dan janganlah kamu tergolong dalam kalangan kaum musyrikin, iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing lalu mereka menjadi berpuak-puak; setiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya.”

[Al-Quran, Rum, 30:31-32]

Perselisihan akan membawa kepada perpecahan yang akhirnya menimbulkan rasa taasub dan sikap berpuak-puak, di mana setiap puak berbangga dengan dirinya dan menganggap puaknya yang terbaik.

Walhal Allah ﷻ berfirman:

فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ

“Jika kalian berselisih dalam sesuatu perkara maka hendaklah kalian kembalikan kepada Allah dan Rasul.”

[Al-Quran, al-Nisaa’, ayat 59]

Justeru setiap perselisihan wajib diatasi dengan dikembalikan kepada Al-Quran dan al-Sunah untuk dinilai dan ditentukan antara mana yang benar dengan mana yang salah supaya akhirnya hanya pendapat yang benar mengikut dalil diterima manakala pendapat yang bertentangan dengan Al-Quran dan al-Sunah ditolak.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
13 Rejab 1445H
25 Januari 2024
https://idrissulaiman.com

Similar Posts

  • Tengok boleh, percaya jangan

    Firman Allah ﷻ: يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ. “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan…

  • |

    HADIS SEMUA BIDAAH SESAT

    – Faedah & pengajaran – Bidaah hasanah Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah, katanya: Rasulullah ﷺ apabila berkhutbah, kedua-dua matanya memerah, suaranya meninggi, tampak sekali kemarahan baginda sehingga seakan-akan baginda sedang memberi peringatan kepada sebuah pasukan tentera dengan berkata ‘Musuh akan datang menyerang kalian pada waktu pagi…

  • |

    MUZIK DISEMAT AL-QURAN DIPINGGIRKAN

    Ternyata sebahagian umat Muhammad ﷺ memilih untuk meminggirkan Al-Quran. Firman Allah ﷻ: وَقَالَ ٱلرَّسُولُ يَٰرَبِّ إِنَّ قَوۡمِي ٱتَّخَذُواْ هَٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ مَهۡجُورٗا “Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini sesuatu yang ditinggalkan, tidak dipakai.” [Al-Quran, al-Furqan, 25:30] Menurut Ibnu Kathir, termasuk dalam erti meminggirkan Al-Quran ialah tidak…

  • |

    LELAKI PANJANG RAMBUT IKUT SUNAH NABI ﷺ?

    LELAKI PANJANG RAMBUT IKUT SUNAH NABI ﷺ? Memanjangkan rambut tidak termasuk dalam erti sunah yang diberi pahala kepada Muslim kerana ia merupakan antara perkara-perkara adat (bukan ibadah). Tidak dinafikan bahawa Nabi ﷺ pernah memanjangkan rambutnya hingga ke paras cuping telinga atau hingga antara telinga dan bahunya. Jika panjang, baginda ﷺ…

  • |

    MAKSIAT: PERLU MALU ATAU JANGAN HIPOKRIT?

    Ada yang keliru tentang maksiat sama ada perlu disembunyikan kerana rasa malu atau boleh dizahirkan kepada umum supaya tidak bersifat hipokrit. Contohnya mungkin ada yang berkata “Aku hisap rokok secara terang-terangan kerana tidak mahu hipokrit.” Atau perempuan yang enggan memakai tudung (menutup aurat rambutnya) dengan alasan yang sama, tidak mahu…