|

JANGAN MARAH

# Menahan diri ketika marah

Marah merupakan antara bentuk hasutan syaitan yang boleh menimbulkan banyak keburukan dan mudarat.

Kerana itu terdapat banyak nas menjelaskan cara-cara untuk mengatasi penyakit ini serta mengurangkan kesan-kesan buruknya.

Akhirnya, seseorang yang dapat mengawal dirinya ketika marah merupakan insan yang hebat dan berjaya.

Ini berbeza dengan orang yang bersifat pemarah, mudah panas baran dan cepat melatah sehingga bertindak mengikut nafsu amarahnya. Paling buruk jika sampai mengamuk. Jelas orangnya tiada kawalan diri, kurang berakhlak dan mempunyai perwatakan orang gila apabila marah.

Syariat Islam mengajar Muslim cara menangani perkara ini.

Berikut ialah apa yang disarankan oleh Agama ketika marah:

1. MENAHAN DIRI

Ketika seorang Sahabat Nabi ﷺ meminta nasihat, baginda ﷺ bersabda kepadanya:

لَا ‌تَغْضَبْ.

“Jangan marah.”

Hadis sahih. Riwayat Bukhari.

Nabi ﷺ berpesan kepadanya supaya tidak bertindak ketika marah. Adapun rasa marah itu sendiri maka ia di luar kawalan manusia. Sama seperti perasaan sedih, gembira dan sebagainya. Adapun tindakan-tindakan yang diambil ketika marah maka ia boleh dikawal.

2. BERISTIAZAH

Membaca ‘auzubillah min asy-syaitan ar-rajim’ (aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam).

Dalam satu peristiwa di mana dua orang lelaki berselisih faham sehingga salah seorang daripada mereka marah dan mukanya menjadi merah padam manakala urat-urat lehernya timbul, Nabi ﷺ bersabda:

إِنِّي ‌لَأَعْلَمُ ‌كَلِمَةً، لَوْ قَالَهَا لَذَهَبَ عَنْهُ مَا يَجِدُ، لَوْ قَالَ: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ ‌الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

“Sesungguhnya aku mengetahui kalimah yang sekiranya dia mengucapkannya nescaya rasa marahnya itu akan hilang. Andainya dia mengucapkan ‘auzubillah min asy-syaitan ar-rajim’ (aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam).

3. BERDIAM

Sabda Nabi ﷺ:

إِذَا ‌غَضِبَ أَحَدُكُمْ ‌فَلْيَسْكُتْ.

“Sekiranya seseorang kamu marah maka hendaklah dia berdiam.”

Jangan bercakap ketika marah kerana waktu itu fikiran tidak stabil. Besar kemungkinannya kita akan mengucapkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya seperti menghemburkan kata-kata kesat, mencarut, sumpah seranah, memaki hamun dan sebagainya. Dan lumrah suami melafazkan talak ke atas isterinya ketika marah, ibu bapa memukul anak dan guru memukul murid lalu tidak lama kemudian timbul rasa menyesal.

Kerana itu antara ungkapan orang dahulu tentang marah ialah:

أوَّلَهُ جُنُونٌ وَآخِرَهُ النَّدَمِ.

“Permulaannya ialah rasa gila manakala kesudahannya ialah penyesalan”.

Yakni hampir sahaja orang bertindak dengan kata-kata atau perbuatan dalam keadaan marah menyerupai orang gila lalu betapa cepatnya dia menyesal atas tindakannya itu.

4. MENGUBAH POSISI KEPADA DUDUK / BARING

Sabda Nabi ﷺ:

إِذَا ‌غَضِبَ ‌أَحَدُكُمْ وَهُوَ قَائِمٌ ‌فَلْيَجْلِسْ، فَإِنْ ذَهَبَ عَنْهُ الْغَضَبُ وَإِلَّا فَلْيَضْطَجِعْ.

“Sekiranya seseorang kamu marah ketika dalam keadaan berdiri maka hendaklah dia duduk. Sekiranya rasa marahnya masih tidak hilang maka hendaklah dia berbaring.”

Biasa kita melihat orang yang marah akan bangkit berdiri dan jika sedang baring dia akan bangkit duduk sedangkan hal ini bertentangan dengan apa yang disarankan oleh Nabi ﷺ dalam hadis di atas.

5. MENGINGATI ALLAH

Ia bertujuan supaya membangkitkan rasa takut kepada Allah dan mendorong kepada berbuat ketaatan serta menjauhi kemaksiatan.

Firman Allah ﷻ:

وَٱذۡكُر رَّبَّكَ إِذَا نَسِيتَ.

“Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa.”

Surah al-Kahfi; 18:24.

Ingatlah Allah, kerana jika tidak maka syaitan akan mengambil peluang untuk menghasut.

FirmanNya ﷻ:

وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ نَزۡغٞ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِ.

“Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan maka mintalah perlindungan kepada Allah.”

Surah al-A’raaf; 7:200.

Antara kerja syaitan ialah menghasut manusia berbuat kejahatan, termasuklah supaya bertindak mengikut nafsu amarah. Memandangkan syaitan marupakan makhluk Allah yang halus maka tiada jalan bagi manusia untuk menghadapinya melainkan dengan meminta perlindungan serta bantuan daripada Allah.

CATATAN:

Marah terbahagi kepada dua kategori; tercela dan terpuji.

Marah yang tercela ialah marah yang didorong oleh hawa nafsu dan hasutan syaitan, atas rasa ego atau seumpamanya dan barangkali sehingga menyebabkan transgresi ke atas orang lain.

Marah yang terpuji ialah marah kerana Allah, atas rasa cemburu melihat hak-hak Allah dicabuli dan tindakan yang diambil menepati batasan Syarak.

Tulisan di atas menyentuh kategori yang pertama.

Idris bin Sulaiman
Kajang
20 Syaaban 1442H /
03 April 2021
http://www.facebook.com/idrissulaiman

Similar Posts

  • |

    IKUT NABI ATAU MAJORITI?

    Semua Muslim mengakui bahawa jalan Nabi ﷺ harus didahulukan atas jalan masyarakat dan bahawasanya jalan baginda ﷺ adalah satu-satunya jalan yang membawa ke syurga. Tetapi apakan daya realitinya ramai memilih untuk mendahulukan pegangan dan amalan majoriti berbanding sunah Nabi ﷺ atas pelbagai alasan dan sebab. Dan ini juga adalah pilihan…

  • VIDEO RAKAMAN: MAKMUM KELIRU MENEGUR BACAAN IMAM

    – Berpada-pada memberi pendapat – Beza dalil qat’i dan zhanni Rakaman menunjukkan saat imam membaca ayat 13, surah Hud lalu salah seorang makmum di belakangnya menegur bacaannya tetapi tidak diendahkan oleh imam. Makmum itu berkali-kali menegurnya tetapi imam tetap teguh dengan bacaannya. Ternyata bacaan sang imam benar manakala makmum itu…

  • |

    JANGAN BERSEDIH DENGAN MUSIBAH

    Ujian dan cubaan ialah asam garam kehidupan. Setiap manusia akan melaluinya. Tinggal lagi bagaimana seseorang itu menghadapinya, itulah yang membezakan antara orang beriman dengan yang tidak. Bagi orang yang beriman, dia akan menghadapi segala ujian dan cubaan yang mendatang dengan penuh kesabaran dan kecekalan. Firman Allah ﷻ: وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَيۡءٖ مِّنَ…

  • |

    MENCELA ULAMA

    Orang-orang munafik pada zaman Rasulullah ﷺ mencela para Sahabat dengan berkata: مَا رَأَيْنَا مِثْلَ قُرَّائِنَا هَؤُلاَءِ، أَرْغَبُ بُطُوْناً، وَلاَ أَكْذَبُ أَلْسُناً، وَلاَ أَجْبَنُ عِنْدَ اللِّقَاءِ. “Kami tidak pernah melihat orang-orang yang seperti para pembaca Al-Quran ini (para Sahabat) yang mana perut mereka besar, banyak berbohong dan paling pengecut apabila berdepan…

  • | |

    KEBENARAN WAJIB DIJELASKAN

    Wajib ada pihak dalam kalangan umat Islam yang berdakwah menyeru kepada kebaikan dan melarang kemungkaran. Firman Allah ﷻ: وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ “Dan hendaklah ada di antara kamu pihak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan dan menyuruh berbuat kebaikan serta melarang…

  • |

    CINTA YANG BENAR

    Beza antara orang yang berkata dengan lisannya ‘Aku mencintaimu’ tetapi tiada pentujuk sedemikian pada perbuatannya dengan orang yang lisannya diam tetapi perbuatan-perbuatannya semua menunjukkan sedemikian. [Ibnu al-Qayyim, Tariq al-Hijratain, hlm. 314] Begitulah cinta Nabi ﷺ yang benar dengan menghayati sunnahnya dalam ibadah-ibadah yang dilakukan. Bukan sekadar berslogan. Dr. Idris bin…