|

BERLEMAH LEMBUT DENGAN IBU BAPA & ISTERI

Muslim dituntut supaya berlemah lembut.

Lemah lembut ialah asbab segala kebaikan berbanding sikap kasar dan bengis.

Aisyah r.a. menceritakan peristiwa bagaimana sekumpulan orang-orang Yahudi datang ke rumah Rasulullah ﷺ dan berkata:

“al-Saam alaikum (Maut atas kamu).”

Mendengar ucapan itu Aisyah r.a. bingkas membalasnya dengan berkata:

“Waalaikum al-Sam wa al-la’nah (Maut dan laknat atas kalian).”

Setelah itu Rasulullah ﷺ menegur Aisyah r.a. dan berkata:

“Sesungguhnya Allah menyukai sikap lemah lembut dalam segala urusan.”

“Wahai Rasulullah, tidakkah engkau mendengar apa yang diucapkan oleh mereka?” tanya Aisyah r.a.

Jawab Rasulullah ﷺ:

“Aku telah pun membalasnya dengan berkata:

Waalaikum (Buat kalian jua).”

[Sahih. Riwayat Bukhari & Muslim]

Nabi ﷺ turut bersabda:

إِنَّ ‌الرِّفْقَ لَا يَكُونُ فِي شَيْءٍ إِلَّا ‌زَانَهُ، وَلَا يُنْزَعُ مِنْ شَيْءٍ إِلَّا شَانَهُ.

“Sesungguhnya lemah lembut itu tidak akan berada pada sesuatu melainkan ia akan menghiasinya. Sebaliknya, tiadalah lemah lembut itu dicabut daripada sesuatu melainkan ia akan membuatnya jadi buruk.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

Demikian Muslim dituntut supaya berlemah lembut dengan ibu bapa dan isteri.

Allah ﷻ berfirman:

وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنًا

“Dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”

[Al-Quran, al-Israa, 17:23]

Dan firmanNya ﷻ:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِ

“Dan bergaullah kalian dengan mereka (isteri-isteri kalian itu) dengan cara yang baik.”

[Al-Quran, al-Nisaa’, 4:19]

Kedua-dua ayat di atas menuntut supaya anak-anak dan para suami melayan ibu bapa dan isteri mereka dengan cara yang baik, berlemah lembut dalam kata-kata, menjaga pertuturan di samping menunaikan kewajipan nafkah dan hidup harmoni dengan keluarga.

Dukacitanya, sebahagian anak dan suami sukar untuk berlemah lembut dengan ibu bapa dan isteri, sebaliknya mereka jadi kasar dan bengis.

Jika di pejabat atau bertemu kawan-kawan dia boleh senyum dan gelak ketawa tetapi mukanya bertukar masam dan tidak tahu bercakap dengan cara baik apabila balik ke rumah.

Bagi si suami, andai isterinya tersilap, awas! Dia akan caci, herdik dan memaki hamun isterinya itu.

Sewaktu di luar rumah, si anak atau suami mungkin terpaksa berlemah lembut dan menunjukkan sikap baik dengan orang luar sedangkan apabila pulang ke rumah, mereka tidak perlu lagi berpura-pura.

Justeru tersingkaplah wajah sebenar mereka bila di rumah.

Ini semua tidak wajar.

Orang yang terdekat sepatutnya didahulukan dengan kebaikan dan sikap lemah lembut sebelum orang jauh.

Sedangkan mereka yang melatih diri mereka dengan sikap lemah lembut sewaktu di rumah akan benar-benar dapat bersikap demikian di luar rumah tanpa berpura-pura.

Kesudahannya lemah lembut jadi sifat sebenar mereka di dalam dan di luar rumah seperti mana sikap Rasulullah ﷺ.

CATATAN

Ada juga yang garang macam harimau di media sosial, padahal jika berdepan mereka tidak begitu.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
19 Rejab 1445H
31 Januari 2024
https://idrissulaiman.com

Similar Posts

  • |

    ORANG DITIMPA MUSIBAH

    – Musibah sebenar Muslim diperintah supaya bersabar saat ditimpa musibah. Sabar menghadapi musibah merupakan sebahagian daripada tuntunan iman kepada qadak dan qadar iaitu keyakinan bahawa segala sesuatu yang berlaku di dunia telah pun ditulis dalam Lohmahfuz dan segala kejadian dalam hidup manusia berlaku mengikut kehendak dan izin Allah ﷻ. Musibah…

  • |

    TADARUS MENGKHATAMKAN AL-QURAN

    TADARUS MENGKHATAMKAN AL-QURAN # Meluruskan salah faham Sekiranya setiap ahli tadarus membaca seluruh 30 juzuk Al-Quran maka benar setiap mereka telah mengkhatamkan bacaan Al-Quran. Adapun sekiranya setiap ahli hanya membaca bahagian tertentu daripada Al-Quran lalu mereka menganggap diri mereka telah mengkhatamkan bacaannya maka hakikatnya ini sedikit sebanyak menimbulkan kekeliruan. Adalah…

  • |

    BACAAN SEMASA KHATIB DUDUK ANTARA DUA KHUTBAH JUMAAT

    Sebahagian ulama menganjurkan bacaan doa semasa khatib duduk antara dua khutbah Jumaat atas alasan untuk meraih waktu mustajab doa pada hari Jumaat. Berdasarkan hadis Abu Musa al-Asyari, katanya: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ ﷺ يقول – يعني في ساعة الجمعة: هِيَ مَا بَيْنَ أَنْ يَجْلِسَ الإِمَامُ إِلى أَنْ تُقْضَى الصَّلاَةُ. “Aku mendengar…

  • |

    PROPAGANDA MEMBURUKKAN ARAB SAUDI

    Ramai bertanya tentang sebuah video tular kononnya kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan sekatan-sekatan baharu bagi bulan Ramadan nanti. Jawapan ringkas saya: Berita yang telah dimanipulasikan bagi memburuk-burukkan kerajaan Islam di sana. Propaganda murahan oleh pembenci-pembenci. Usah mengumpul dosa-dosa kering dengan berita-berita sampah sebegini. Muslim seharusnya tabayun dahulu sebelum menerima dan…

  • |

    NAMA URD DIBERSIHKAN DARIPADA TOHMAHAN FAHAMAN RADIKAL

    Ucapan takziah YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tempoh hari atas pemergian Allahyarham Ustaz Rasul Dahri secara tidak langsungnya membersihkan nama Allahyarham daripada segala tohmahan yang dilemparkan ke atas Allahyarham kononnya beliau membawa fahaman radikal dan keganasan. Sudah bertahun-tahun tohmahan ini dijaja oleh sesetengah pihak sedangkan Allahyarham hanya bersabar…