|

MEMBUAT TOKOK TAMBAH DALAM AGAMA

  • Mendakwa Nabi ﷺ telah khianat
  • Agama Islam telah sempurna

Orang yang membuat tokok tambah dan mengada-adakan rekaan amalan baharu dalam agama pada hakikatnya mempertikaikan apa yang telah disyariatkan oleh Allah ﷻ.

Barangkali bukan dengan lisannya tetapi perbuatannya seperti mengatakan bahawa syariat terlepas pandang ‘kebaikan’ yang diada-adakannya itu.

Sedangkan tidaklah Nabi ﷺ wafat melainkan sesudah baginda ﷺ menyampaikan segala isi ajaran agama. Kerana itu Allah ﷻ berfirman:

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah reda Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

[Al-Quran, al-Maa’idah, 5:3]

Justeru kata Imam Malik:

“Oleh itu, apa yang bukan sebahagian daripada agama ketika itu (pada zaman Rasulullah ﷺ) maka ia juga tidak akan menjadi sebahagian daripada agama pada hari ini.”

[al-I’tisaam oleh Imam al-Syaatibi, 1/64]

Kerana itu tidak ada amalan kebaikan yang mendekatkan manusia ke syurga melainkan telah diajarkan oleh Nabi ﷺ manakala apa jua keburukan yang mendekatkan manusia ke api neraka melainkan telah ditegah oleh baginda ﷺ. Ini seperti mana dalam sabdanya ﷺ:

إنَّهُ ليس شيءٌ يُقَرِّبُكُمْ إلى الجنةِ إلَّا قد أَمَرْتُكُمْ بهِ، وليس شيءٌ يُقَرِّبُكُمْ إلى النارِ إِلَّا قد نَهَيْتُكُمْ عنهُ.

“Sesungguhnya tiada apa yang mendekatkan kamu ke syurga melainkan aku telah memerintahkan kamu melakukannya, dan tiada apa yang mendekatkan kamu ke neraka melainkan aku telah melarang kamu daripadanya.”

[Hasan. al-Sahihah oleh al-Albani, no. 2866]

Maka barang siapa mendakwa masih ada amalan ‘kebaikan’ lain yang tidak diajarkan oleh Nabi ﷺ maka sesungguhnya dia telah mendakwa bahawa baginda ﷺ telah berdusta dan berlaku khianat dalam menyampaikan risalah Allah ﷻ.

Di samping mengajarkan kebaikan, Nabi ﷺ turut menegah hal-hal keburukan seperti perbuatan membuat tokok tambah dan mengada-adakan rekaan amalan baharu dalam Agama. Sebagaimana dalam sabdanya ﷺ:

“Barang siapa mengada-adakan sesuatu yang baharu dalam urusan kita ini (agama) maka ia adalah tertolak.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Sabdanya ﷺ lagi:

“Barang siapa melakukan sesuatu amalan yang tidak menepati cara kami maka ia adalah tertolak.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

Justeru umat Islam diingatkan supaya menjauhi daripada membuat tokok tambah dan mengada-adakan amalan baharu yang tidak pernah diajarkan oleh Nabi ﷺ mahupun diamalkan oleh para Sahabatnya.

Idris bin Sulaiman
Kajang
20 Rejab 1443H /
22 Februari 2022

Similar Posts

  • |

    WAHABI: GELARAN DARI ORANG BANKRAP HUJAH

    Apabila tidak dapat balas hujah maka mereka bertindak melemparkan gelaran ‘buruk’ ini kepada lawan. Tujuannya untuk mencemarkan nama baik di samping menimbulkan kesangsian dan keraguan orang ramai terhadap lawannya itu. Senjata ampuh menurutnya. Walhal ini bukan cara yang diajar oleh Islam. Hujah sepatutnya dibalas dengan hujah dan sebarang perselisihan perlu…

  • |

    JIHAD PERANG: SATU RENUNGAN

    Semasa peringkat dakwah di Mekah, jihad perang tidak disyariatkan kerana kaum Muslimin lemah waktu itu. Oleh itu, Nabi ﷺ mengarahkan supaya para Sahabat sabar menahan diri dalam menghadapi kezaliman dan penindasan musuh walaupun sampai ada nyawa tidak berdosa dibunuh. [Sahih Bukhari, no. 5858] Mencabar musuh yang lebih kuat menyalahi syariat…

  • |

    PERARAKAN SAMBUTAN

    Amalan berarak sempena sambutan-sambutan tertentu tidak ada dalam Islam. Tiada sebarang anjuran untuk berbuat demikian dalam Al-Quran atau al-Sunah. Nabi ﷺ dan para Sahabat tidak pernah berarak membawa sepanduk dan sebagainya. Sama ada di Mekah atau Madinah, ini semua tidak pernah berlaku. Paling hampir pun ialah ibadah wukuf. Sedangkan ibadah…

  • |

    PENDEKNYA HIDUP DI DUNIA

    PENDEKNYA HIDUP DI DUNIA Perjalanan hidup di dunia teramat pendek sekali. Allah ﷻ berfirman: مِن نُّطۡفَةٍ خَلَقَهُۥ فَقَدَّرَهُۥ ثُمَّ ٱلسَّبِيلَ يَسَّرَهُۥ ثُمَّ أَمَاتَهُۥ فَأَقۡبَرَهُ. “Dari air pekat diciptakannya serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk bertanggungjawab. Kemudian jalan (baik atau buruk) dimudahkan kepadanya (untuk menimbang dan mengambil yang mana satu). Kemudian…

  • |

    MUSIBAH YANG MENIMPA: AZAB ATAU UJIAN

    Bagaimana membezakan antara musibah yang bersifat azab dengan musibah yang Allah ﷻ timpakan atas salah seorang hambaNya sebagai ujian bagi meninggikan darjatnya di sisiNya? Tiada jalan untuk mengetahuinya secara pasti kerana ia merupakan antara perkara-perkara ghaib yang hanya diketahui oleh Allah ﷻ. Apa yang pasti Muslim perlu sentiasa bermuhasabah di…