|

BULU KUCING BUKAN NAJIS

  • Pandangan Imam Syafie
  • Pandangan akal ijtihad yang menyalahi nas wajib ditolak

Tular di media sosial pandangan sesetengah pihak yang kata bulu kucing najis, justeru kucing seeloknya diletakkan di luar rumah agar bulunya tidak jatuh merata dan dapat solat dengan tenang tanpa waswas.

Pertamanya, perlu ditegaskan bahawa pandangan di atas adalah salah dan bersifat ghuluw melampau.

Sebetulnya kucing ialah binatang suci, bukan najis, termasuklah bulunya.

Ini berdasarkan riwayat daripada Kabsyah binti Kaab bin Malik, bahawasanya Abu Qatadah datang lalu Kabsyah menuangkan air wuduk untuknya. Kemudian seekor kucing datang dan minum daripada air itu. Ternyata Abu Qatadah mencondongkan bekasnya untuk kucing itu meminum darinya. Beliau melihat Kabsyah memandangnya lalu berkata “Adakah engkau rasa hairan wahai anak perempuan saudaraku?” Kata Kabsyah “Ya.” Jelas beliau “Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ إِنَّمَا هِيَ مِنَ ‌الطَّوَّافِينَ ‌عَلَيْكُمْ.

“Sesungguhnya kucing bukan najis kerana ia haiwan yang berkeliaran mengelilingi kamu.”

[Sahih. Riwayat Tirmizi, no. 92]

Jelas Imam Tirmizi (wafat 279H):

“Hadis ini hasan sahih. Ini adalah pandangan kebanyakan ulama daripada kalangan para Sahabat Nabi ﷺ, Tabiin dan mereka yang datang sesudah mereka seperti Syafie, Ahmad dan Ishak. Mereka melihat air liur kucing tidak mengapa.”

Kata Imam al-Sanani (wafat 1182H):

‌وَفِي ‌التَّعْلِيلِ إشَارَةٌ إلَى أَنَّهُ تَعَالَى لَمَّا جَعَلَهَا بِمَنْزِلَةِ الْخَادِمِ فِي كَثْرَةِ اتِّصَالِهَا بِأَهْلِ الْمَنْزِلِ وَمُلَابَسَتِهَا لَهُمْ وَلِمَا فِي مَنْزِلِهِمْ خَفَّفَ اللَّهُ تَعَالَى عَلَى عِبَادِهِ بِجَعْلِهَا غَيْرَ نَجَسٍ رَفْعًا لِلْحَرَجِ. وَالْحَدِيثُ دَلِيلٌ عَلَى طَهَارَةِ الْهِرَّةِ وَسُؤْرِهَا.

“Sebab yang diberikan memberi petunjuk bahawa ketika mana Allah ﷻ menjadikan kucing seperti khadam yang banyak berinteraksi dengan penghuni rumah, bersentuhan dengan anggota badan mereka serta barangan perkakas mereka maka Allah ﷻ meringankan buat para hambaNya dengan menjadikan kucing bukan najis bagi mengelakkan kesukaran. Dan hadis menunjukkan bahawa kucing dengan air liurnya adalah suci.”

[Subul al-Salam, 1/24]

Justeru ketika mana air liur kucing dihukum sebagai suci maka bulu-bulunya juga dihukum sebagai suci secara lebih utama.

Kata Ibnu Qudamah (wafat 620H):

كُلُّ حَيَوَانٍ حُكْمُ جِلْدِهِ وَشَعْرِهِ وَعَرَقِهِ وَدَمْعِهِ وَلُعَابِهِ حُكْمُ سُؤْرِهِ فِي الطَّهَارَةِ وَالنَّجَاسَةِ.

“Semua haiwan, hukum kulit, bulu dan air peluhnya mengambil hukum air liurnya sama ada suci atau najis.”

[al-Mughni, 1/46]

Bahkan sebetulnya rambut dan bulu semua haiwan sama ada yang boleh dimakan atau yang tidak boleh dimakan adalah suci sebagaimana yang ditegaskan oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah.

Jelas beliau:

إِنَّ ‌جَمِيعَ ‌الشَّعْرِ وَالرِّيشِ وَالْوَبَرِ وَالصُّوفِ طَاهِرٌ سَوَاءٌ كَانَ عَلَى جِلْدِ مَا يُؤْكَلُ لَحْمُهُ أَوْ جِلْدِ مَا لَا يُؤْكَلُ لَحْمُهُ وَسَوَاءٌ كَانَ عَلَى حَيٍّ أَوْ مَيِّتٍ.

“Semua rambut, bulu dan kulit haiwan adalah suci. Tidak kira sama ada yang boleh dimakan dagingnya atau yang tidak boleh dimakan, dan sama ada haiwan itu hidup atau mati.”

[Majmuk Fatawa, 21/38]

Sedangkan maklum bahawa binatang kucing banyak berkeliaran di sekeliling manusia termasuklah di dalam rumah-rumah manakala bulu-bulunya akan banyak jatuh gugur sama ada atas pakaian manusia ataupun barangan perkakas dalam rumah mereka.

Tidak pula diketahui bahawa Nabi ﷺ menjaga kebersihan dirinya daripada bulu-bulu kucing ataupun memerintahkan para Sahabat berbuat demikian.

Tambahan pula baginda ﷺ secara jelas dan tegas bersabda “Sesungguhnya kucing bukan najis.”

Jelaslah bahawa bulu kucing adalah suci manakala bulu-bulunya yang hinggap atas badan atau pakaian tidak menimbulkan apa-apa halangan sama ada dalam solat atau di luar solat.

Adapun pandangan yang membatalkan solat sekiranya terdapat banyak bulu kucing atas badan atau pakaian maka ini pandangan yang tertolak, tidak diterima kerana tidak didasari dalil yang sahih sedangkan petunjuk dalil menunjukkan sebaliknya sebagaimana yang telah dijelaskan di atas.

Maka nas hadis perlu didahulukan manakala mana-mana pandangan akal ijtihad yang menyalahi petunjuk hadis wajib ditolak.

CATATAN

Sahabat Nabi ﷺ yang paling banyak meriwayatkan hadis iaitu Abu Hurairah mendapat jolokan nama ini (Abu Hurairah) kerana beliau gemar memelihara kucing (hurairah). Tiada walau satu pun riwayat daripada beliau menghukum bulu kucing sebagai najis. Malah beliau antara yang meriwayatkan hadis “Kucing bukan najis.”

Rujukan:

https://islamqa.info/ar/answers/176304/حكم-الصلاة-في-الثوب-الذي-يعلق-به-شعر-من-شعور-القطط

Allah jua pemberi petunjuk.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
11 Syawal 1445H
20 April 2024
https://idrissulaiman.com

Similar Posts

  • |

    BUKTI ‘ALLAH DI ATAS’ DALAM BAHASA MELAYU

    Biasa digunakan ayat “Panjatkan doa kepada Allah.” Pernahkah anda bertanya mengapa digunakan istilah ‘panjatkan’? Mengapa tidak digunakan istilah ‘kedepankan’ atau ‘turunkan’ doa itu? Sedangkan ‘panjat’ menurut Kamus Dewan ialah ‘naik ke atas’. Ini hanya contoh mudah. Sedangkan dalil-dalil menunjukkan ‘Allah di atas’ terlalu banyak dalam Al-Quran dan al-Sunah. CATATAN Adakah…

  • |

    KESENANGAN BUKAN DENGAN BERSENANG

    Kesenangan tidak dikecapi dengan bersenang-senang. Sebaliknya ia datang sesudah orangnya gigih berusaha, bersusah payah dan memerah keringat. Barang siapa mendahulukan bersenang, bersantai dan berehat maka dia akan terlepas kesenangan yang sebenarnya. Sejauh mana seseorang itu gigih berusaha dan bersusah-payah maka sejauh itulah kesenangan yang akan dikecapinya di hari kemudian. Tidak…

  • |

    AZAM TAHUN BAHARU BUKAN BUDAYA ISLAM

    ‘Azam tahun baharu’ sinonim bila tiba awal tahun baharu Masihi. Sedar atau tidak budaya ini kembali ke zaman pagan Babylon lebih 4000 tahun dahulu. https://www.abc.net.au/news/2023-12-31/new-year-resolutions-began-as-ancient-rituals-4000-years-ago/103271974 Maka penting ditegaskan bahawa ‘azam tahun baharu’ bukan budaya Islam dan lebih penting lagi ia sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam. Berbeza dengan mereka yang berazam…

  • |

    KESEMPURNAAN AGAMA: TIDAK PERLU TOKOK TAMBAH

    Sedar atau tidak mereka yang melakukan amalan-amalan ibadah yang tidak dilakukan oleh Nabi ﷺ dan para Sahabat mempertikaikan kesempurnaan dan kesyumulan agama. Pada tanggapan mereka agama Islam belum cukup sempurna dan belum cukup cantik sehingga ia perlu kepada penambahan-penambahan tertentu. Seolah-olah Nabi ﷺ terlepas pandang atau tidak sempat mengajarkannya kepada…

  • |

    JANGAN MARAH

    # Menahan diri ketika marah Marah merupakan antara bentuk hasutan syaitan yang boleh menimbulkan banyak keburukan dan mudarat. Kerana itu terdapat banyak nas menjelaskan cara-cara untuk mengatasi penyakit ini serta mengurangkan kesan-kesan buruknya. Akhirnya, seseorang yang dapat mengawal dirinya ketika marah merupakan insan yang hebat dan berjaya. Ini berbeza dengan…

  • |

    AJARAN TUAN GURU

    – Selawat Masyisyiah – Ustaz keturunan Nabi ﷺ Dalam sebuah video tular seorang yang dikatakan daripada keturunan Nabi ﷺ yang baru-baru ini datang ke Malaysia, kelihatan beliau mengajarkan bacaan selawat yang dinamakannya ‘Selawat Masyisyiah’. Kata beliau “Ada sebahagian ulama yang mengatakan bahawa termasuk selawat yang dapat sangat mendekatkan kepada Sayyidina…