Ashrafi Mahal and Jama Masjid Mosque in Mandu, Madhya Pradesh, India
|

AJARAN TUAN GURU

– Selawat Masyisyiah
– Ustaz keturunan Nabi ﷺ

Dalam sebuah video tular seorang yang dikatakan daripada keturunan Nabi ﷺ yang baru-baru ini datang ke Malaysia, kelihatan beliau mengajarkan bacaan selawat yang dinamakannya ‘Selawat Masyisyiah’.

Kata beliau “Ada sebahagian ulama yang mengatakan bahawa termasuk selawat yang dapat sangat mendekatkan kepada Sayyidina Rasulullah ﷺ adalah Selawat Masyisyiah.”

Demikian dakwaan beliau.

Perlu ditegaskan bahawa ‘Selawat Masyisyiah’ ini tidak sabit dalam mana-mana hadis sahih.

Ia hanyalah selawat rekaan yang diada-adakan oleh pihak-pihak tertentu.

AL-QURAN & HADIS vs IJTIHAD ULAMA

Setiap Muslim harus jelas bahawa sumber agama Islam ialah Al-Quran dan hadis sahih.

Semua pendapat dan pandangan serta ijtihad ulama harus dikembalikan kepada kedua-dua sumber agama ini.

Mana yang menepati dalil Al-Quran dan hadis sahih diterima manakala apa yang menyalahinya harus ditolak.

MENYEMBAH TUAN GURU

Termasuk dalam erti syirik sekiranya seseorang itu mentaati ulama dalam menghalalkan apa yang Allah ﷻ haramkan atau mengharamkan apa yang Allah ﷻ halalkan.

Ini sebagaimana firman Allah ﷻ:

ٱتَّخَذُوٓاْ أَحۡبَارَهُمۡ وَرُهۡبَٰنَهُمۡ أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَٱلۡمَسِيحَ ٱبۡنَ مَرۡيَمَ وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُوٓاْ إِلَٰهٗا وَٰحِدٗاۖ لَّآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَۚ سُبۡحَٰنَهُۥ عَمَّا يُشۡرِكُونَ.

“Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Sembahan Yang Maha Esa; tiada Sembahan melainkan Dia. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka syirikkan.”

[Al-Quran, al-Taubah, 9: 31]

Mendengar ayat di atas, Adi bin Hatim al-Tha’i r.a. yang asalnya beragama Kristian sebelum memeluk Islam berkata “Wahai Rasulullah, kami tidak menyembah mereka (pendeta dan rahib).”

Nabi ﷺ menjawab:

أَلَيْسَ يُحَرِّمُونَ مَا أَحَلَّ اللهُ فَتُحَرِّمُونُهُ، ويُحِلُّونَ مَا حَرَّمَ اللهُ فَتَسْتَحِلُّونَهُ؟ فَتِلْكَ ‌عِبَادَتُهُمْ.

“Bukankah mereka mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah lalu kalian mengharamkannya, dan mereka menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah lalu kalian menghalalkannya? Demikian (bentuk kalian) menyembah mereka.”

[Sahih. Riwayat al-Tirmizi]

Kedua-dua nas di atas menjelaskan bahawa syirik tidak terbatas dengan hanya rukuk dan sujud kepada selain Allah ﷻ akan tetapi syirik turut merangkumi perbuatan mematuhi hukum serta amalan guru yang menyalahi apa yang ditetapkan oleh syarak.

Perbuatan sedemikian termasuk dalam erti menyembah selain Allah ﷻ dan menjadikan guru-guru itu sekutu-sekutu bagi Allah ﷻ.

Khususnya jika ia dilakukan dalam keadaan setuju dan reda serta menganggapnya baik sedangkan telah jelas ia menyalahi syariat.

Perkara ini turut diingatkan oleh Allah ﷻ dalam firmanNya:

أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَٰٓؤُاْ شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُ.

“Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan – mana-mana bahagian daripada agama mereka – sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?”

[Al-Quran, al-Syura, 42: 21]

وَإِنۡ أَطَعۡتُمُوهُمۡ إِنَّكُمۡ لَمُشۡرِكُونَ.

“Dan jika kamu menurut mereka maka sesungguhnya kamu tetap menjadi orang-orang musyrik.”

[Al-Quran, al-An’aam, 6: 121]

Justeru segala ketetapan hukum dan amalan ibadah adalah hak milik Allah ﷻ semata-mata.

Sebagaimana firman Allah ﷻ:

أَلَا لَهُ ٱلۡخَلۡقُ وَٱلۡأَمۡرُ.

“Ingatlah, bagi Allah jualah urusan penciptaan dan penetapan hukum.”

[Al-Quran, al-A’raaf, 7: 54]

FirmanNya ﷻ lagi:

وَمَا ٱخۡتَلَفۡتُمۡ فِيهِ مِن شَيۡءٖ فَحُكۡمُهُۥٓ إِلَى ٱللَّهِ.

“Apa jua perkara yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah.”

[Al-Quran, al-Syura, 42: 10]

Dan firman Allah ﷻ:

فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ.

“Kemudian jika kamu berselisihan dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (hadis) RasulNya – jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.”

[Al-Quran, al-Nisa, 4: 59]

AMALAN TOKOK TAMBAH DALAM AGAMA

Berdasarkan keterangan di atas, Nabi ﷺ melarang perbuatan mengada-adakan amalan-amalan baharu dalam agama.

Sebagaimana dalam sabdaNya ﷺ:

وإيَّاكم وَمُحْدَثاتِ الأمُورِ، فَإنَّ ‌كُلَّ ‌بِدْعَةٍ ‌ضَلالَةٌ.

“Hendaklah kalian menjauhi perkara-perkara baharu (dalam agama) kerana sesungguhnya setiap bidaah (pembaharuan dalam agama) ialah kesesatan.”

[Sahih. Riwayat Abu Daud]

Sabdanya ﷺ:

مَنْ ‌أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ.

“Barang siapa mengada-adakan sesuatu yang baharu dalam urusan kita ini (agama) maka ia adalah tertolak.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Sabdanya ﷺ lagi:

مَنْ ‌عَمِلَ ‌عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.

“Barang siapa melakukan sesuatu amalan yang tidak menepati cara kami maka ia adalah tertolak.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

Nas-nas hadis di atas secara jelas mencela dan menolak amalan-amalan baharu yang diada-adakan dalam agama.

CATATAN

Kayu ukur kedudukan seseorang itu sama ada baik atau buruk bukanlah pada keturunan ataupun raut wajahnya akan tetapi pada ketakwaannya kepada Allah ﷻ; melaksanakan suruhan dan menjauhi larangan Allah ﷻ. (Al-Quran, 49: 13)

Keturunan seseorang itu tidak bererti apa-apa jika pegangan agamanya rosak seperti mana Abu Lahab, pakcik Rasulullah ﷺ.

Kerana Nabi ﷺ bersabda:

ومَنْ بَطَّأ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بهِ نَسَبُهُ.

“Barang siapa amalannya melambatkannya maka nasabnya tidak akan mempercepatkannya.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
21 Rabiulawal 1444H
18 Oktober 2022

Similar Posts

  • |

    ISTERI PENGHUNI SYURGA

    Semua manusia mahu rumah tangga bahagia. Tinggal lagi bagaimana mengacapinya, apakah cara-cara dan rahsianya? Hakikatnya sikap toleransi, empati dan merendahkan ego memainkan peranan yang cukup besar dan penting. Dalam sebuah hadis, Nabi ﷺ menceritakan tentang isteri-isteri yang menjadi penghuni syurga serta sifat-sifat yang melayakkan mereka mendapat tempat bahagia itu. Sabda…

  • | |

    SIJIL PROGRAM PENGAJIAN HADIS ULAMA MADINAH

    SIJIL PROGRAM PENGAJIAN HADIS ULAMA MADINAH Alhamdulillah, baru-baru ini telah selesai program pengajian hadis bersama Syeikh Abdul Razzaq al-Badr, ulama besar Madinah secara atas talian membahaskan beberapa buah tulisan karangan ulama seperti al-Kabair oleh az-Zahabi, Tahrim al-Qatl oleh al-Maqdisi dan al-Arba’in oleh an-Nawawi. Program ini telah berlangsung selama hampir setahun…

  • |

    BILL GATES – MENGURANGKAN POPULASI DUNIA

    BILL GATES – MENGURANGKAN POPULASI DUNIA (HUMAN DEPOPULATION) “Dunia hari ini mempunyai 6.8 bilion orang dan sedang menuju ke arah mencapai kira-kira 9 bilion. Sekiranya kita dapat melakukan apa yang terbaik untuk menghasilkan vaksin baharu, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan kesihatan kelahiran, berkemungkinan kita akan dapat mengurangkannya sebanyak 10-15 peratus” –…

  • |

    MENCARI KEBENARAN ATAU BERSILAT LIDAH

    Dalam setiap permasalahan, sekiranya penjelasan yang mencukupi sudah diberikan maka bicara selebihnya akan membawa kepada perbalahan. Perbalahan di mana kebiasaannya lawan rasa kagum dengan pendapatnya sendiri, kebenaran yang dibawa jadi lemah, hati bertukar keras manakala kekeliruan dan kesulitan semakin bertambah. Muslim yang bijak akan menjauhi situasi-situasi seperti ini. Oleh itu…

  • |

    AMALAN MEMBACA BISMILLAH 786 KALI??

    # Amalan tertolak dari meja penceramah Tersebar di media sosial video seorang penceramah menyarankan supaya diamalkan membaca bismillah sebanyak 786 kali kerana kelebihan-kelebihan yang tertentu. Peliknya dalam masa yang sama, beliau mengakui bahawa amalan yang diajarkannya itu tiada dalilnya dalam Al-Quran mahupun as-Sunah. Lebih pelik beliau mengandaikan bahawa sesuatu amalan…

  • |

    JANGAN MEMANDAI BACA AL-QURAN?

    JANGAN MEMANDAI BACA AL-QURAN? # Beri galakan, jangan ditakut-takutkan; # Islam memudahkan, jangan dipersulitkan. Umat Islam dituntut membaca al-Quran, Kalam Allah yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad ﷺ sebagai petunjuk wahyu, pedoman dan asbab kejayaan Muslim di dunia dan akhirat. Terdapat banyak nas menjelaskan keutamaan membaca Al-Quran, antaranya sabda Nabi…