black metal framed glass lamp
|

‘MAULA’ / ‘MAULANA’ – Sejauh mana kewajarannya

Perkataan ‘maula’ atau ‘maulana’ dalam bahasa Arab mempunyai banyak makna.

Antara maknanya ialah pemilik, penaung, tuan, hamba, tuan yang membebaskan hamba sahaya dan hamba sahaya yang telah dibebaskan oleh tuannya.

Dahulu dikatakan “Si fulan maula si fulan” bermaksud si fulan bekas tuan atau bekas hamba sahaya.

Contohnya Zaid bin Harithah maula Rasulullah ﷺ kerana baginda ﷺ telah membebaskan Zaid daripada perhambaan.

Demikian Aisyah binti Abu Bakar al-Siddiq maula Barirah kerana Aisyah telah membebaskan Barirah.

Secara dasarnya Allah ﷻ adalah ‘maula’ semua manusia kerana Dia ﷻ Pencipta dan Pemilik mereka.

Firman Allah ﷻ:

ثُمَّ رُدُّوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ مَوۡلَىٰهُمُ ٱلۡحَقِّ.

“Kemudian mereka dikembalikan kepada Allah ‘Maula’ mereka yang sebenar.”

[Al-Quran, al-An’am, 6: 62]

Allah ﷻ jua adalah ‘maula’ orang-orang beriman selaku Penaung yang memberi perlindungan dan jagaan buat mereka, sebagaimana firmanNya:

ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ مَوۡلَى ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَأَنَّ ٱلۡكَٰفِرِينَ لَا مَوۡلَىٰ لَهُمۡ.

“Balasan yang demikian kerana sesungguhnya Allah menjadi ‘Maula’ Pelindung orang-orang yang beriman, dan sesungguhnya orang-orang yang kafir, mereka tiada ‘maula’ yang dapat memberikan sebarang perlindungan kepada mereka.”

[Al-Quran, Muhammad, 47: 11]

SEBAIKNYA DIELAKKAN

Dalam Kamus Dewan ‘maulana’ diertikan sebagai gelaran untuk ulama besar.

Sekalipun ada pandangan yang membolehkan tetapi sebaiknya penggunaan istilah ‘maula’ atau ‘maulana’ tidak diluaskan.

Di samping penetapannya bagi Allah ﷻ selaku Pemilik, Penaung dan Pelindung orang-orang yang beriman, ia lebih dikhususkan kepada hamba sahaya dan pemilik hamba sahaya.

Tambah pula generasi Salaf al-Soleh dahulu tidak menggunakannya apabila membahasakan diri mereka antara satu sama lain.

Tidak ada dalam kalangan Sahabat Nabi ﷺ yang memanggil khalifah dengan gelaran ‘Maulana Abu Bakar’, ‘Maulana Omar al-Khattab’, ‘Maulana Uthaman’ atau ‘Maulana Ali’.

Di bawah hadis:

لَا يَقُلِ الْعَبْدُ لِسَيِّدِهِ: ‌مَوْلَايَ فَإِنَّ مولاكم اللَّهُ.

“Janganlah seorang hamba berkata kepada tuannya ‘maula’ kerana ‘maula’ kalian ialah Allah.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

al-Nawawi dalam syarahnya menyimpulkan bahawa larangan dalam hadis di atas bersifat makruh dan bahawasanya istilah ini sebaiknya dielakkan.

[Syarah Sahih Muslim, 15/6]

Syeikh Ibnu Baz rahimahullah turut berpandangan serupa kerana istilah-istilah ini boleh menimbulkan rasa sombong dan ujub dalam diri orang yang dipanggil, di samping rasa taasub dan ‘ghuluw’ dalam diri orang yang memanggil.

https://binbaz.org.sa/fatwas/18132/حكم-قول-مولانا-وسيدنا

Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad hafizahullah turut senada bahawa penggunaannya sebaiknya tidak diluaskan kerana kemungkinannya digunakan untuk mereka yang tidak layak.

https://ar.islamway.net/fatwa/32916/حكم-استعمال-كلمة-مولانا-في-حق-الآدمي

KESIMPULAN

Penggunaan istilah ‘maula’ atau ‘maulana’ sebaiknya dielakkan kerana ia lebih banyak digunakan oleh generasi umat Islam dahulu bagi merujuk kepada hubungan antara hamba sahaya dengan bekas tuan pemilik yang membebaskannya.

‘Maula’ orang-orang beriman ialah Allah ﷻ, Dialah Maulana dan Dialah sebaik-baik Penaung dan Penolong. [Al-Quran, 6:40]

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
19 Rabiulawal 1444H
16 Oktober 2022

Similar Posts

  • |

    KEDUDUKAN HADIS SEBAGAI HUJAH

    Hadis menjadi hujah dengan sendirinya. Hadis sahih tidak perlu kepada sokongan daripada pendapat mana-mana ulama atau mazhab untuk diamalkan. Malah pendapat ulama dan mazhab itulah yang perlu kepada sokongan dalil daripada Al-Quran dan hadis. Kata Imam al-Syafie: وَيَجِبُ أنْ يُقْبَلَ الخَبَرُ فِي الوَقْتِ الَّذِي ثَبَتَ فِيهِ وَإنْ لمَ يَمْضَ عَمَلٌ…

  • |

    NIKMAT SYURGA

    NIKMAT SYURGA ISTERI BERSAMA SUAMINYA ATAU BOLEH MEMILIH SUAMI LAIN? Syurga merupakan tempat nikmat yang sempurna yang Allah ﷻ sediakan buat para hambaNya yang soleh dan bertakwa. Nikmat-nikmat yang Allah sediakan dalam syurga tidak terkata dan melangkaui khayalan manusia berdasarkan firman Allah ﷻ: “Maka tidak ada seorang pun yang mengetahui…

  • |

    AJAR PELAJAR SEKOLAH PAKAI KONDOM?

    Kononnya bagi menangi kes-kes cabul dan rogol yang kesudahannya membuatkan mangsanya hamil dan melahirkan bayi luar nikah, sekali gus meningkatkan lagi kes pembuangan bayi. https://www.mstar.com.my/lokal/viral/2022/07/21/pelajar-lelaki-malu-malu-disuruh-sarung-kondom-depan-rakan-nampak-kekok-ramai-tak-setuju-latihan-amali-pendidikan-seks-di-sekolah Maka subjek pendidikan seks di sekolah dilihat penting bagi membendung isu sosial dalam kalangan remaja, ini termasuklah dengan mengajar para pelajar cara memakai kondom. Falasi…

  • |

    BERSABAR, DIUJI ATAU MEMPEROLEH KEJAYAAN: MANA AFDAL?

    Ujian ialah persiapan Mukmin untuk memperoleh kejayaan di dunia. Dikatakan bahawa Imam al-Syafie ditanya tentang yang mana afdal; sama ada bersabar, diuji atau memperoleh kejayaan? Beliau berkata “Mendapat kejayaan merupakan darjat para nabi, sedangkan kejayaan itu tidak diperoleh melainkan sesudah diuji. Jika diuji maka hendaklah bersabar, dan jika seseorang itu…

  • | |

    PERLEMBAGAAN ARAB SAUDI MENOLAK MAJORITI HADIS?

    PERLEMBAGAAN ARAB SAUDI MENOLAK MAJORITI HADIS? Tersebar sejak beberapa bulan lepas dakwaan bahawa Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman (MBS) menolak majoriti hadis dan tidak mengiktirafnya sebagai sebahagian daripada perlembagaan negaranya. Dakwaan ini timbul selepas satu wawancara televisyen diadakan dengan beliau pada bulan April 2021. Hakikatnya ini adalah sebahagian…