|

AZAM TAHUN BAHARU BUKAN BUDAYA ISLAM

‘Azam tahun baharu’ sinonim bila tiba awal tahun baharu Masihi.

Sedar atau tidak budaya ini kembali ke zaman pagan Babylon lebih 4000 tahun dahulu.

https://www.abc.net.au/news/2023-12-31/new-year-resolutions-began-as-ancient-rituals-4000-years-ago/103271974

Maka penting ditegaskan bahawa ‘azam tahun baharu’ bukan budaya Islam dan lebih penting lagi ia sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam.

Berbeza dengan mereka yang berazam pada awal tahun dengan cita-cita dan angan-angan, Islam menekankan budaya bersegera dalam tindakan dan tidak bertangguh-tangguh.

Justeru Muslim tidak hanya bercita-cita dan berniat tetapi disuruh supaya berlumba-lumba dalam mendapatkan kebaikan sebagaimana firman Allah ﷻ:

فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٰتِ

“Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan.”

[Al-Quran, al-Baqarah, 2:148]

Malah jika sudah berazam maka hendaklah terus dilaksanakan dengan berserah kepada Allah ﷻ dengan penuh yakin, tanpa teragak-agak atau tertangguh-tangguh sebagaimana firmanNya ﷻ:

فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ

“Kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakallah kepada Allah.”

[Al-Quran, Aali Imran, 3:159]

Dalam hadis, Nabi ﷺ bersabda:

كُنْ فِي الدُّنيَا كَأَنَّكَ غَرِيْبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ.

“Jadilah engkau di dunia seperti orang yang asing atau orang yang bermusafir.”

[Hadis sahih. Riwayat Bukhari]

Apa yang disarankan dalam hadis di atas hanya dapat dicapai dengan banyak mengingati kematian, mengurangkan cita-cita dan angan-angan di samping senantiasa bersiap untuk ke negeri akhirat dengan amalan-amalan soleh.

Nabi ﷺ menceritakan keadaan dunia serta tempoh masanya yang singkat dalam sabdanya ﷺ:

مَا ‌لِي ‌وَلِلدُّنْيَا، مَا أَنَا فِي الدُّنْيَا إِلَّا كَرَاكِبٍ اسْتَظَلَّ تَحْتَ شَجَرَةٍ ثُمَّ رَاحَ وَتَرَكَهَا.

“Aku tidak berkehendak kepada dunia. Tiadalah aku di dunia kecuali seperti orang musafir yang singgah berteduh di bawah sebuah pokok lalu dia meninggalkan pokok itu dan meneruskan perjalanannya.”

[Sahih. Riwayat Tirmizi, no. 2377]

Dalam athar, Ibnu Omar berkata:

إِذَا أَمْسَيْتَ فَلا تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ، وَإِذَا أَصْبَحتَ فَلا تَنْتَظِرِ الـمَسَاءَ. وَخُذْ مِن صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ، وَمِنْ حَيَاتِكَ لـمَوْتِكَ.

“Jika tiba waktu petang maka janganlah engkau tunggu waktu pagi, dan jika tiba waktu pagi maka janganlah engkau tunggu waktu petang. Manfaatkanlah masa sihatmu sebelum tiba masa sakitmu, dan masa hidupmu sebelum tiba kematianmu.”

[Hadis sahih. Riwayat Bukhari]

Adapun mereka yang berazam pada awal tahun, kebanyakan azam itu hanya kekal angan-angan kerana sikap berlengah-lengah (procrastinate), aral atau ajal yang mendatang terlebih dahulu.

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
19 Jamadilakhir 1445H
01 Januari 2024
https://idrissulaiman.com

Similar Posts

  • PENDAPAT JUMHUR ULAMA ADALAH BENAR?

    # Pendapat majoriti tidak semestinya benar Sekiranya pendirian jumhur ulama adalah ukuran kebenaran maka ini bererti bahawa setiap pendapat minoriti adalah salah. Lalu setiap pandangan ulama yang menyalahi jumhur dalam apa jua permasalahan perlu disaring dan dianggap batil semata-mata kerana ia menyalahi pendirian jumhur ulama. Tiada mana-mana ulama yang berkata…

  • |

    ‘PENTAKSUBER’ & FITNAH

    ‘Pentaksuber’ ialah golongan fanatik yang sanggup mempertahankan sesuatu walaupun bukti dalil menunjukkan sebaliknya. Termasuklah mempertahankan kata cela nista guru dengan pelbagai alasan dan sebab. Ini tidak wajar. Muslim dilarang bersikap demikian. Lebih 10 tahun lalu kami dihamburkan oleh beliau dengan kata nista, termasuklah menuduh kami menerima suapan RM15 ribu sebulan…

  • |

    MENGHABISKAN MASA DENGAN BERITA TERKINI

    MENGHABISKAN MASA DENGAN BERITA TERKINI Saya fikir jika seseorang itu tidak banyak menghabiskan masanya melihat akhbar dan mengikuti setiap satu perkembangan yang dihidangkan kepadanya sama ada melalui media rasmi ataupun media sosial, sebaliknya dia memanfaatkan sisa waktunya untuk apa yang dapat menjana kebaikan buatnya di akhirat dengan membaca Al-Quran, menuntut…

  • |

    ADAT BUDAYA ZAMAN ARAB JAHILIAH

    ADAT BUDAYA ZAMAN ARAB JAHILIAH Zaman jahiliah merujuk kepada zaman kesesatan masyarakat Arab sebelum kedatangan Nabi Muhammad ﷺ dan kebangkitan beliau membawa risalah agama Islam. Zaman ini dinamakan sedemikian kerana kejahilan manusia yang berleluasa ketika itu serta kehidupan mereka dalam suasana gelap sebelum datangnya sinar Islam. Kejahilan ini tampak pada…

  • |

    YAHUDI SERANG GAZA PALESTIN

    Ya Allah, selamatkan saudara-saudara kami di Palestin dan segerakanlah hukumanMu ke atas golongan pelampau yang menindas. Berikan perlindungan dan keamanan buat kaum Muslimin di sana. Awas tipu daya Yahudi laknatullah yang dibantu kelompok-kelompok dukungan Syiah Iran untuk menimpakan bala bencana buat Ahli Tauhid dan Sunah atas nama jihad supaya Yahudi…

  • |

    SIMBOL MENYALAHI AJARAN ISLAM

    Simbol V for Vendetta (Guy Fawkes) melambangkan penentangan terhadap pemerintah. Dalam Islam, melawan pemerintah Muslim adalah dilarang, walaupun mereka zalim, kecuali jika berlaku kufur yang nyata. Islam menolak jalan revolusi dan huru-hara kerana membawa kerosakan yang lebih besar, sebaliknya mengajar supaya bersabar, nasihat secara hikmah, serta menjaga keamanan dan kesatuan…