|

JANGAN MARAH

# Menahan diri ketika marah

Marah merupakan antara bentuk hasutan syaitan yang boleh menimbulkan banyak keburukan dan mudarat.

Kerana itu terdapat banyak nas menjelaskan cara-cara untuk mengatasi penyakit ini serta mengurangkan kesan-kesan buruknya.

Akhirnya, seseorang yang dapat mengawal dirinya ketika marah merupakan insan yang hebat dan berjaya.

Ini berbeza dengan orang yang bersifat pemarah, mudah panas baran dan cepat melatah sehingga bertindak mengikut nafsu amarahnya. Paling buruk jika sampai mengamuk. Jelas orangnya tiada kawalan diri, kurang berakhlak dan mempunyai perwatakan orang gila apabila marah.

Syariat Islam mengajar Muslim cara menangani perkara ini.

Berikut ialah apa yang disarankan oleh Agama ketika marah:

1. MENAHAN DIRI

Ketika seorang Sahabat Nabi ﷺ meminta nasihat, baginda ﷺ bersabda kepadanya:

لَا ‌تَغْضَبْ.

“Jangan marah.”

Hadis sahih. Riwayat Bukhari.

Nabi ﷺ berpesan kepadanya supaya tidak bertindak ketika marah. Adapun rasa marah itu sendiri maka ia di luar kawalan manusia. Sama seperti perasaan sedih, gembira dan sebagainya. Adapun tindakan-tindakan yang diambil ketika marah maka ia boleh dikawal.

2. BERISTIAZAH

Membaca ‘auzubillah min asy-syaitan ar-rajim’ (aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam).

Dalam satu peristiwa di mana dua orang lelaki berselisih faham sehingga salah seorang daripada mereka marah dan mukanya menjadi merah padam manakala urat-urat lehernya timbul, Nabi ﷺ bersabda:

إِنِّي ‌لَأَعْلَمُ ‌كَلِمَةً، لَوْ قَالَهَا لَذَهَبَ عَنْهُ مَا يَجِدُ، لَوْ قَالَ: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ ‌الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

“Sesungguhnya aku mengetahui kalimah yang sekiranya dia mengucapkannya nescaya rasa marahnya itu akan hilang. Andainya dia mengucapkan ‘auzubillah min asy-syaitan ar-rajim’ (aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam).

3. BERDIAM

Sabda Nabi ﷺ:

إِذَا ‌غَضِبَ أَحَدُكُمْ ‌فَلْيَسْكُتْ.

“Sekiranya seseorang kamu marah maka hendaklah dia berdiam.”

Jangan bercakap ketika marah kerana waktu itu fikiran tidak stabil. Besar kemungkinannya kita akan mengucapkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya seperti menghemburkan kata-kata kesat, mencarut, sumpah seranah, memaki hamun dan sebagainya. Dan lumrah suami melafazkan talak ke atas isterinya ketika marah, ibu bapa memukul anak dan guru memukul murid lalu tidak lama kemudian timbul rasa menyesal.

Kerana itu antara ungkapan orang dahulu tentang marah ialah:

أوَّلَهُ جُنُونٌ وَآخِرَهُ النَّدَمِ.

“Permulaannya ialah rasa gila manakala kesudahannya ialah penyesalan”.

Yakni hampir sahaja orang bertindak dengan kata-kata atau perbuatan dalam keadaan marah menyerupai orang gila lalu betapa cepatnya dia menyesal atas tindakannya itu.

4. MENGUBAH POSISI KEPADA DUDUK / BARING

Sabda Nabi ﷺ:

إِذَا ‌غَضِبَ ‌أَحَدُكُمْ وَهُوَ قَائِمٌ ‌فَلْيَجْلِسْ، فَإِنْ ذَهَبَ عَنْهُ الْغَضَبُ وَإِلَّا فَلْيَضْطَجِعْ.

“Sekiranya seseorang kamu marah ketika dalam keadaan berdiri maka hendaklah dia duduk. Sekiranya rasa marahnya masih tidak hilang maka hendaklah dia berbaring.”

Biasa kita melihat orang yang marah akan bangkit berdiri dan jika sedang baring dia akan bangkit duduk sedangkan hal ini bertentangan dengan apa yang disarankan oleh Nabi ﷺ dalam hadis di atas.

5. MENGINGATI ALLAH

Ia bertujuan supaya membangkitkan rasa takut kepada Allah dan mendorong kepada berbuat ketaatan serta menjauhi kemaksiatan.

Firman Allah ﷻ:

وَٱذۡكُر رَّبَّكَ إِذَا نَسِيتَ.

“Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa.”

Surah al-Kahfi; 18:24.

Ingatlah Allah, kerana jika tidak maka syaitan akan mengambil peluang untuk menghasut.

FirmanNya ﷻ:

وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ نَزۡغٞ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِ.

“Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan maka mintalah perlindungan kepada Allah.”

Surah al-A’raaf; 7:200.

Antara kerja syaitan ialah menghasut manusia berbuat kejahatan, termasuklah supaya bertindak mengikut nafsu amarah. Memandangkan syaitan marupakan makhluk Allah yang halus maka tiada jalan bagi manusia untuk menghadapinya melainkan dengan meminta perlindungan serta bantuan daripada Allah.

CATATAN:

Marah terbahagi kepada dua kategori; tercela dan terpuji.

Marah yang tercela ialah marah yang didorong oleh hawa nafsu dan hasutan syaitan, atas rasa ego atau seumpamanya dan barangkali sehingga menyebabkan transgresi ke atas orang lain.

Marah yang terpuji ialah marah kerana Allah, atas rasa cemburu melihat hak-hak Allah dicabuli dan tindakan yang diambil menepati batasan Syarak.

Tulisan di atas menyentuh kategori yang pertama.

Idris bin Sulaiman
Kajang
20 Syaaban 1442H /
03 April 2021
http://www.facebook.com/idrissulaiman

Similar Posts

  • |

    PERBEZAAN ANTARA GANDAAN BALASAN PAHALA & DOSA

    PERBEZAAN ANTARA GANDAAN BALASAN PAHALA & DOSA GANDAAN BALASAN MALAM LAILATULQADAR SOALAN: Adakah perbuatan maksiat pada malam Lailatulqadar dikira sebagai lebih buruk daripada seribu bulan? JAWAPAN: Ulama menjelaskan bahawa gandaan balasan PAHALA KEBAIKAN adalah secara BILANGAN (10, 20, 30 kali ganda dan seumpamanya) dan dari sudut BENTUKNYA (ganjaran pahala yang…

  • |

    SEJARAH KALENDAR HIJRAH

    – Doa awal tahun Hijrah vs Doa awal bulan Semalam saya ada menulis sebuah artikel berkenaan ‘Doa Akhir & Awal Tahun Hijrah’ di mana saya menyatakan bahawa tiada sebarang doa atau amalan yang sabit daripada Nabi ﷺ, para Sahabat atau para ulama muktabar bersempena dengan berakhirnya tahun Hijrah dan awalnya….

  • ULAMA KHILAF

    Sering kali mungkin kita mendengar jawapan ini apabila berdepan dengan isu-isu ‘khilafiat’. Tersebut kisah seorang mufti pada zaman dahulu yang ingin menunaikan haji lalu dia resah kerana tiada sesiapa yang dapat ditabal sebagai penggantinya. Akhirnya kerana tiada pilihan si mufti itu pun meminta anaknya supaya mengambil alih tempatnya sebagai mufti…

  • | |

    SEDEKAH PERLU SECARA ZAHIR ATAU SEMBUNYI?

    SEDEKAH PERLU SECARA ZAHIR ATAU SEMBUNYI? Tidak dinafikan bahawa MENYEMBUNYIKAN SEDEKAH lebih afdal sebagaimana dalam hadis 7 golongan yang bernaung di bawah bayang-bayang Arasy di Padang Mahsyar lalu disebutkan antaranya ialah orang yang bersedekah sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya. Hadisnya sahih dalam Bukhari dan…

  • |

    PENTING IKUT SUNAH NABI

    Beramal ibadah menurut petunjuk Sunah Nabi ﷺ merupakan suatu kewajipan yang amat penting, kerana hanya amalan yang bertepatan dengan ajaran Baginda ﷺ akan diterima di sisi Allah. Ibadah bukan sekadar niat yang baik atau semangat yang tinggi, bahkan ia mestilah dibina atas dasar wahyu dan contoh yang sahih daripada Rasulullah…

  • |

    ‘KEADILAN’ BARAT

    Hukuman bunuh (capital punishment) telah sekian lama dimansuhkan atau tidak lagi diamalkan di kebanyakan negara Barat seperti Amerika Syarikat dan lain atas faktor ‘kemanusiaan’. Kesudahannya, hukuman maksimum atas kesalahan paling berat seperti membunuh hanyalah penjara. Itu hukumannya. Pesalah yang membunuh nyawa tidak berdosa hanya akan dikenakan penjara seumur hidup. Disediakan…