|

BACAAN SEMASA KHATIB DUDUK ANTARA DUA KHUTBAH JUMAAT

Sebahagian ulama menganjurkan bacaan doa semasa khatib duduk antara dua khutbah Jumaat atas alasan untuk meraih waktu mustajab doa pada hari Jumaat.

Berdasarkan hadis Abu Musa al-Asyari, katanya:

سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ ﷺ يقول – يعني في ساعة الجمعة: هِيَ مَا بَيْنَ أَنْ يَجْلِسَ الإِمَامُ إِلى أَنْ تُقْضَى الصَّلاَةُ.

“Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda (mengenai waktu mustajab doa pada hari Jumaat): Waktunya antara imam duduk (sejurus selepas naik mimbar dan memberi salam) hingga solat (Jumaat) selesai.”

[Sahih. Riwayat Muslim, no. 853]

Hanya sahaja tidak sabit daripada Nabi ﷺ atau para Sahabat sebarang doa atau zikir khusus semasa khatib duduk antara dua khutbah Jumaat ini.

Hadis Abu Musa al-Asyari di atas pula tidak menetapkan waktu mustajab doa semasa khatib duduk antara dua khutbah Jumaat secara spesifik, sebaliknya duduk yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah sejurus selepas khatib naik mimbar dan memberi salam.

[Syarah Sahih Muslim oleh al-Nawawi, 6/140]

Maka tidak wajar untuk ditetapkan mana-mana bacaan doa atau zikir untuk diamalkan secara berterusan setiap kali semasa khatib duduk antara dua khutbah Jumaat.

Kata al-Hafis Ibnu Hajar:

وإذا اشتغلوا بالدعاء فالأولى أن يكون سرا، لما في الجهر من التشويش على بعضهم، ولأن الإسرار هو الأفضل في الدعاء.

“Jika mereka (sidang Jumaat) berdoa maka sebaiknya dibaca secara perlahan. Ini kerana bacaan doa secara kuat akan mengganggu jemaah lain. Sedangkan afdalnya doa dibaca secara perlahan..”

[al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/251]

Menurut Muhammad Rashid Reda:

أما رفع اليدين والأصوات بالدعاء عند جلوس الخطيب بين الخطبتين فلا نعرف له سنة تؤيده، ولا بأس به لولا التشويش، وأنهم جعلوه سنة متبعة بغير دليل. المأثور: طلب السكوت إذا صعد الإمام المِنبر، وإنما السكوت للسماع؛ لذلك نقول: لا بأس بالدعاء في غير وقت السماع، ولكن يدعو خُفية، لا يؤذي غيره بدعائه، ولا يرفع كل الناس أيديهم، فيكون ذلك شعارًا من شعائر الجمعة بغير هداية من السنة فيه؛ بل إنهم يخالفون صريح السنة.

“Adapun mengangkat kedua-dua tangan dan meninggikan suara bacaan doa semada khatib duduk antara dua khutbah Jumaat maka tidak diketahui sebarang hadis yang menyokong perbuatan ini. Ia tidak mengapa jika tidak mengganggu orang lain. Tetapi kini hal ini dilakukan secara berterusan tanpa dalil. Padahal syariat menuntut supaya para hadirin diam apabila khatib naik mimbar untuk mereka dengar (khutbah), sekalipun dibolehkan berdoa apabila khatib duduk antara dua khutbah tetapi hendaklah doa dibaca secara perlahan, jangan sampai mengganggu orang lain, dan jangan pula dengan orang ramai semua mengangkat tangan lalu ia dijadikan sebagai amalan pada hari Jumaat secara berterusan tanpa panduan daripada al-Sunah. Malah perbuatan sebegini menyalahi al-Sunah.”

[Majalah al-Manar, 6/792]

KESIMPULAN

Semasa khatib duduk antara dua khutbah Jumaat, para hadirin dibolehkan berdoa atau berzikir tetapi hendaklah dilakukan secara bersendirian dengan suara perlahan, bukan beramai-ramai dengan suara kuat. Tetapi ia tidak boleh dijadikan sebagai amalan rutin yang dilakukan pada setiap kali khutbah Jumaat. Adapun amalan bilal masjid membaca secara kuat ayat Al-Quran yang perintah supaya berselawat (33:56) dan para jemaah menadah tangan seperti mengaminkan bacaan ayat Al-Quran itu maka ia tiada asasnya dalam al-Sunah malah menyalahi al-Sunah itu.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
25 Rejab 1445H
06 Februari 2024
https://idrissulaiman.com

Similar Posts

  • |

    AJAR ANAK AL-FATIHAH

    AJAR ANAK AL-FATIHAH # Saranan buat ibu bapa Solat merupakan tiang Agama manakala bacaan al-Fatihah dalam solat merupakan salah satu rukunnya. Antara tanggungjawab ibu bapa ialah menjaga dan mendidik anak dengan didikan Agama dan akhlak yang baik. Salah satu daripada apa yang sewajarnya diberi perhatian oleh ibu bapa ialah mengajar…

  • |

    AGAMA DIJADIKAN BAHAN SENDA GURAU

    Agama tidak boleh dijadikan sebagai bahan senda gurau. Allah ﷻ memberi ancaman ke atas mereka yang menjadikan agamanya sebagai bahan senda gurau dalam firmanNya ﷻ: ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُواْ دِينَهُمۡ لَهۡوٗا وَلَعِبٗا “Orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan.” [Al-Quran, al-A’raaf, 07:51] Daripada Allah jua kita memohon petunjuk….

  • |

    ULAMA TAK BERSUARA?

    Antara fitnah akhir zaman serta kekacauan dan kecelaruan yang menimpa atas umat Islam ialah ketika mana timbulnya golongan awam dan jahil yang mengedepankan diri mereka dengan pandangan dan saranan buat seantero masyarakat. Golongan ini memberi pendapat dan komen malah mungkin sampai berfatwa secara melulu dan membuta sedangkan mereka tidak pernah…

  • |

    FATWA LAMA SYEIKH BIN BAZ MENGENAI JEMAAH TABLIGH

    SOALAN: Fatwa di atas dikeluarkan oleh Fatawa al-Lajnah, jilid 34, hal 91, diputuskan atas nama Syekh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, Abdur Razzaq ‘Afifi, Abdullah bin Qa’uud, dan Abdullah bin Ghadiyan rahimahumullah Jami’an. Apa komen Ustaz? . . JAWAPAN UIS: Zahirnya ini adalah fatwa lama beliau rahimahullah. Sepertimana fatwa…

  • |

    MENYAMAKAN ANTARA YANG SAMA & MEMBEZAKAN ANTARA YANG BERLAINAN

    MENYAMAKAN ANTARA YANG SAMA & MEMBEZAKAN ANTARA YANG BERLAINAN # Kaedah-Kaedah Ilmiah # Kaedah 13 Kaedah ini bersesuaian dengan akal yang sihat serta fitrah yang benar. Atas kaedah inilah Syariah didirikan di mana hukum atas sesuatu diberikan bersesuaian dengan apa yang semisalnya manakala apa yang sebaliknya diberikan hukum yang berbeza….

  • |

    MENJAWAB SYUBHAH-SYUBHAH

    MENJAWAB SYUBHAH-SYUBHAH TENTANG HUBUNGAN ANTARA RAKYAT & PEMERINTAH . Oleh Ustaz Idris bin Sulaiman . . 1. Retorik ‘Taat Kepada Pemerintah’ . Terdapat sebahagian kelompok yang mendakwa berpegang kepada prinsip taat kepada pemerintah, tetapi jika diperhalusi, ternyata bahawa apa yang mereka maksudkan dengan pemerintah ialah Yang di-Pertuan Agong sahaja; tidak…