|

PERSENDA AGAMA

Mempersendakan agama serta memperolok-olokkan Muslim yang mengamalkan ajaran agama ialah antara pembatal agama.

Ia merupakan sikap orang kafir dan munafik.

Mereka yang mempersendakan agama dihukum murtad terkeluar daripada Islam.

Ini kerana hal agama tidak boleh dijadikan sebagai gurauan dalam apa jua keadaan.

Sebagaimana firman Allah ﷻ:

وَقَدۡ نَزَّلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أَنۡ إِذَا سَمِعۡتُمۡ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ يُكۡفَرُ بِهَا وَيُسۡتَهۡزَأُ بِهَا فَلَا تَقۡعُدُواْ مَعَهُمۡ حَتَّىٰ يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيۡرِهِۦٓ إِنَّكُمۡ إِذٗا مِّثۡلُهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ جَامِعُ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ وَٱلۡكَٰفِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا.

“Dan sesungguhnya Allah telah pun menurunkan kepada kamu di dalam Kitab (Al-Quran): Jika kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan dipersendakan maka janganlah kamu duduk dengan mereka sehingga mereka membicarakan perkara yang lain; kerana jika tidak tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan orang munafik dan orang kafir dalam neraka jahanam.”

[Al-Quran, al-Nisa, 4:140]

Imam al-Qurtubi dalam mentafsirkan ayat di atas berkata:

فدل بهذا على وجوب اجتناب أصحاب المعاصي إذا ظهر منهم منكر، لأن من لم يجتنبهم فقد رضي فعلهم، والرضا بالكفر كفر، قال الله عز وجل: إنكم إذا مثلهم. فكل من جلس في مجلس معصية ولم ينكر عليهم يكون معهم في الوزر سواء. وينبغي أن ينكر عليهم إذا تكلموا بالمعصية وعملوا بها، فإن لم يقدر على النكير عليهم فينبغي أن يقوم عنهم حتى لا يكون من أهل هذه الآية.

“Ini menunjukkan wajibnya menjauhi ahli maksiat sekiranya mereka berbuat kemungkaran, dan barang siapa yang tidak menjauhi mereka maka dia telah meredai perbuatan mereka. Walhal meredai kekufuran ialah kufur. (Kerana) Allah berfirman “Tentulah kamu sama seperti mereka.” Maka sesiapa yang duduk dalam majlis maksiat dan tidak mengingkari maksiat yang berlaku maka dia turut sama mendapat dosa. Wajib diingkari perkataan dan perbuatan maksiat yang dilakukan. Jika tidak mampu maka hendaklah beredar meninggalkan majlis itu agar tidak tergolong dalam kalangan mereka yang disebut dalam ayat ini.”

Kata Imam al-Sam’ani dalam kitab Tafsirnya:

أما إذا قعد معهم . . . ورضي بما يخوضون فيه، فهو كافر مثلهم، وهو معنى قوله: إنكم إذا مثلهم. وإن قعد، ولم يرض بما يخوضون فيه، فالأولى أن لا يقعد، ولكن لو قعد كارها، فلا يكفر.

“Jika dia duduk bersama mereka… meredai apa yang mereka perkatakan maka dia jatuh kafir seperti mereka. Ini makna firmanNya “Tentulah kamu sama seperti mereka.” Sekiranya dia tidak meredai apa yang diperkatakan maka hendaklah dia beredar. Tetapi andainya dia duduk bersama mereka dalam keadaan terpaksa maka dia tidak jatuh kufur.”

ORANG MUNAFIK PERSENDA
RASULULLAH & SAHABAT

Mengenai kisah orang-orang munafik yang mempersendakan Rasulullah ﷺ dan para Sahabat di mana Allah ﷻ turunkan firmanNya ﷻ:

وَلَئِن سَأَلۡتَهُمۡ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلۡعَبُۚ قُلۡ أَبِٱللَّهِ وَءَايَٰتِهِۦ وَرَسُولِهِۦ كُنتُمۡ تَسۡتَهۡزِءُونَ لَا تَعۡتَذِرُواْ قَدۡ كَفَرۡتُم بَعۡدَ إِيمَٰنِكُمۡ

“Dan jika kamu tanyakan kepada mereka nescaya mereka menjawab: Sesungguhnya kami hanya bergurau senda dan bermain-main sahaja. Katakan: Patutkan nama Allah, ayat-ayatNya serta RasulNya kalian jadikan sebagai bahan ejekan? Janganlah kalian berdalih kerana sesungguhnya kalian telah kufur sesudah kamu (menzahirkan) iman.”

[Al-Quran, al-Taubah, 9:65-66]

Ibnu Omar menceritakan:

“Semasa Perang Tabuk, seorang lelaki berkata “Kita belum pernah melihat orang-orang yang seperti para Pembaca Al-Quran ini yang lebih buncit perutnya, lebih banyak berbohong dan lebih pengecut apabila berdepan dengan musuh” yakni Rasulullah ﷺ dan para Sahabat. Auf bin Malik berkata kepada lelaki itu “Engkau berbohong! Engkau munafik, dan aku akan maklumkan kepada Rasulullah ﷺ.” Auf pergi mendapatkan Rasulullah ﷺ untuk menceritakan kepada baginda ﷺ apa yang berlaku tetapi ternyata wahyu Al-Quran telah pun mendahuluinya. Lelaki itu kemudian datang kepada Rasulullah ﷺ semasa baginda ﷺ berada di atas untanya.

Dia berkata “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami hanya bergurau dan bermain di samping berbual-bual untuk mengisi masa perjalanan kami.” Seolah-olah aku melihatnya memegang sabuk pelana unta Rasulullah ﷺ manakala kedua-dua kakinya tersandung batu semasa dia berkata “Sesungguhnya kami hanya bergurau dan bermain-main sahaja.” Rasulullah ﷺ membalasnya dengan membaca firmanNya ﷻ:

قُلۡ أَبِٱللَّهِ وَءَايَٰتِهِۦ وَرَسُولِهِۦ كُنتُمۡ تَسۡتَهۡزِءُونَ

“Patutkah nama Allah, ayat-ayatNya serta RasulNya kalian jadikan sebagai bahan ejekan?”

[Al-Quran, al-Taubah, 9:65]

Baginda ﷺ tidak menoleh kepadanya dan tidak berkata kepadanya lebih daripada itu.”

[Tafsir al-Tabari]

Muslim wajib mengingkari kemungkaran sedaya upaya, manakala ingkar dalam hati ialah selemah-lemah iman sebagaimana sabda Nabi ﷺ:

مَن رَأَى مِنكُم مُنكَراً فَليُغَــيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطعْ فَبِقَلبِه وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإيمَان.

“Barang siapa di antara kalian melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengingkarinya dengan tangannya. Jika dia tidak mampu maka hendaklah dengan lisannya, dan jika dia masih tidak mampu maka hendaklah dengan hatinya sedangkan itu adalah selemah-lemah iman.”

[Hadis sahih. Riwayat Muslim]

Justeru syariat bukan sahaja memandang berat perbuatan mempersendakan agama, mereka yang menonton dan menyaksikan agama dipermainkan turut diingatkan supaya membenci hal itu dan meninggalkan majlisnya, kerana jika tidak maka mereka turut sama berdosa kerana meredai kemungkaran dan bersekongkol dengannya.

KESIMPULAN

Ajaran agama sama ada solat, Al-Quran, al-Sunah, janggut bagi lelaki, hijab dan niqab bagi Muslimah di samping yang lain tidak boleh dijadikan sebagai bahan untuk bergurau senda. Walaupun dalam lakonan dan teater. Seperti mana Al-Quran tidak boleh dipijak sekalipun atas alasan lakonan. Kerana mempersendakan agama dan menghinanya adalah antara pembatal agama, sikap orang kafir dan munafik, manakala orangnya dihukum murtad terkeluar daripada Islam.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
22 Rejab 445H
03 Februari 2024
https://idrissulaiman.com

Similar Posts

  • |

    HUKUM BOIKOT BARANGAN ORANG KAFIR

    Ada dua keadaan: Keadaan Pertama:Jika Diarah oleh Pemerintah Jika pemerintah sesebuah negara Islam memerintahkan supaya barangan tertentu atau barangan negara-negara tertentu diboikot maka rakyat negara tersebut wajib mentaati arahan itu. Selari dengan firman Allah ﷻ: يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah…

  • |

    PROMOSI BUKU: TERIMA KASIH USTAZ REZA

    Terkejut apabila ada yang memaklumkan bahawa buku 80 Hadis Puasa Ramadan telah dipromosikan dalam rancangan siaran langsung televisyen Bernama pagi tadi. Dalam program bertajuk ‘Langkah Baru di Bulan Ramadan’ al-Fadhil Ustaz Reza Kamarudin berbicara mengenai persiapan untuk menyambut ketibaan bulan puasa. Kita perlu persiapkan diri dengan ilmu terlebih dahulu, tegas…

  • |

    ‘MAZHAB TIDAK BERMAZHAB’?

    – Allamazhabiyyah – Mazhab Salaf al-Soleh Khatib dalam khutbah Jumaat semalam membuat analogi menyamakan antara golongan liberal sesat dengan golongan yang dinamakan sebagai golongan ‘mazhab tidak bermazhab’ atau Allamazhabiyyah kerana menurutnya kedua-dua modusnya dikatakan menjatuhkan kredibiliti dan autoriti ulama-ulama silam. Tidak dinyatakan siapa golongan Allamazhabiyyah ini secara spesifik. Apa yang…

  • |

    BERTENANG

    BERTENANG Semua pihak harus tampil membantu menenangkan keadaan. Memandangkan bahawa terdapat sebahagian daripada masyarakat yang panik apabila terus menerus membaca berita penularan wabak penyakit. Apatah lagi pihak-pihak berkepentingan yang mengambil kesempatan. Ingat, di sebalik kegawatan ada sahaja yang mencari keuntungan. Suasana panik hanya akan mengeruhkan keadaan. Barangkali kesan panik akibat…

  • |

    USTAZ ZAINUL ASRI: TAUBAT TANPA TAUBAT

    – Isu Inkarnasi Perpindahan Roh Alhamdulillah. Ustaz Zainul Asri telah menarik balik kenyataan beliau tentang inkarnasi perpindahan roh dari jasad ke jasad lain. https://www.facebook.com/watch/?v=1033385820715926 Beliau berkata: “Saya tidak mahu memanjangkan isu (ini). Saya tarik balik kenyataan itu. Dan saya mengatakan bahawa saya pun tak tahu. (Ia) bukan kenyataan saya (dan)…

  • |

    MASJIDIL HARAM: EMPAT MIHRAB

    – Pengajaran Gambar-gambar yang disertakan di sini ialah gambar-gambar lama Masjidilharam, Makkah semasa musim haji tahun 1953, kira-kira 70 tahun yang lalu. Jelas Masjidilharam telah melalui banyak perubahan sejak itu di mana bangunannya telah diluaskan manakala kemudahan asasnya dinaik taraf dan dimodenkan. Menariknya, kelihatan antara gambar ini di sekeliling Kaabah…