|

FIKAH JIHAD

Puncak tertinggi agama ialah jihad, bertujuan untuk menyeru manusia kepada Islam, menegakkan agama kebenaran dan menghalang kejahatan musuh.

Tinggal lagi ramai mungkin beranggapan bahawa jihad disyariatkan cukup dengan ada semangat juang dan kemahuan tinggi semata-mata tanpa sebarang syarat atau persiapan.

Memadai jihad dengan apa sahaja kelengkapan dan kekuatan yang ada walaupun sedikit, menurut mereka.

Mereka berhujah dengan perang-perang yang dilalui oleh Rasulullah ﷺ seperti mana dalam Perang Badar di mana jumlah tentera Islam hanya 313 orang berbanding musuh yang jauh lebih ramai sebanyak 1000 orang.

Turut dijadikan dalil ialah firman Allah ﷻ:

كَم مِّن فِئَةٖ قَلِيلَةٍ غَلَبَتۡ فِئَةٗ كَثِيرَةَۢ بِإِذۡنِ ٱللَّهِ

“Berapa banyak golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah.”

[Al-Quran, al-Baqarah, 2:249]

Perlu ditegaskan bahawa sama seperti ibadah-ibadah lain, kewajipan jihad mempunyai syarat-syarat dan ketetapan-ketetapan terutamanya dari sudut kemampuan dan kekuatan sebagaimana firman Allah ﷻ:

وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ

“Dan persiapkanlah untuk menentang mereka segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan, dan daripada pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu.”

[Al-Quran, al-Anfaal, 8:60]

Persiapan segala kekuatan dan kelengkapan penting dalam jihad bagi menggerunkan musuh-musuh Allah dan merealisasikan kemenangan atas lawan.

Sedangkan persiapan paling penting sebelum persiapan ketenteraan dan persenjataan ialah persiapan iman dan tauhid serta menjauhi hal-hal syirik, bidaah dan maksiat sebagaimana mafhum firman Allah ﷻ:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَنصُرُواْ ٱللَّهَ يَنصُرۡكُمۡ وَيُثَبِّتۡ أَقۡدَامَكُمۡ

“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu membela (agama) Allah nescaya Allah akan membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”

[Al-Quran, Muhammad, 47:7]

Ayat di atas merupakan perintah Allah ﷻ ke atas orang-orang beriman supaya menegakkan agamaNya dengan melaksanakan kewajipan-kewajipan dan menjauhi larangan-larangan, manakala kewajipan memantapkan iman dan menegakkan tauhid merupakan sebesar-besar kewajipan, dan syirik pula merupakan sebesar-besar larangan disusuli perkara-perkara bidaah dan maksiat yang perlu dijauhi.

Inilah persiapan yang telah dilaksanakan oleh Nabi ﷺ sepanjang berdakwah di Mekah selama 13 tahun untuk memantapkan iman dan tauhid para Sahabat.

Selama tempoh 13 tahun tersebut tiada dilaungkan seruan jihad sekalipun masyarakat Islam waktu itu berhadapan dengan segala macam penindasan, penganiayaan dan kezaliman daripada kaum musyrikin Quraisy, mengenangkan ketidak sediaan umat Islam pada waktu itu jika disuruh berjihad.

Lihat pula apa yang berlaku dalam Perang Uhud, gara-gara satu maksiat, tidak taat arahan Nabi ﷺ kepada pasukan pemanah supaya tidak turun dari Bukit Pemanah kecuali dengan izin baginda ﷺ lalu sebahagian besar daripada mereka benar-benar mengingkari arahan itu yang Allah ﷻ nyatakan dalam firmanNya:

وَلَقَدۡ صَدَقَكُمُ ٱللَّهُ وَعۡدَهُۥٓ إِذۡ تَحُسُّونَهُم بِإِذۡنِهِۦۖ حَتَّىٰٓ إِذَا فَشِلۡتُمۡ وَتَنَٰزَعۡتُمۡ فِي ٱلۡأَمۡرِ وَعَصَيۡتُم مِّنۢ بَعۡدِ مَآ أَرَىٰكُم مَّا تُحِبُّونَۚ مِنكُم مَّن يُرِيدُ ٱلدُّنۡيَا وَمِنكُم مَّن يُرِيدُ ٱلدُّنۡيَا وَمِنكُم مَّن يُرِيدُ ٱلۡأٓخِرَةَ

“Dan sesungguhnya Allah telah menepati janjiNya (dengan memberikan pertolongan) kepada kalian ketika mana kalian (berjaya) membunuh mereka dengan izinNya, sehingga apabila kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat.”

[Al-Quran, Aali Imran, 3:152]

Hanya satu maksiat sudah cukup untuk menyebabkan tentera Islam tewas dan kalah dalam Perang Uhud.

Bagaimana pula keadaan umat Islam pada hari ini dari sudut persediaan iman serta tauhid, dan bagaimana pula hendak diharapkan doa mustajab jika dalam kalangan tentera Muslimin masih ada yang terpalit dengan hal-hal syirik percaya kepada tangkal dan hal-hal khurafat, beramal dengan bidaah dan bergelumang dengan maksiat?

Walhal punca rezeki yang haram sahaja sudah cukup untuk membuatkan doa tidak dimakbulkan oleh Allah ﷻ sebagaimana mafhum hadis sahih.

Sedangkan doa meminta pertolongan yang mustajab penting untuk menang di medan jihad dan mengalahkan musuh.

Jelasnya perkara-perkara ini perlu diberi perhatian besar.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
17 Rejab 1445H
29 Januari 2024
https://idrissulaiman.com

Similar Posts

  • |

    PENDEK AKAL PENDEMONSTARASI JALANAN

    PENDEK AKAL PENDEMONSTARASI JALANAN Mereka mengadakan demonstrasi jalanan kerana masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat. Persoalan di sini, adakah cara demonstrasi jalanan yang diambil dapat menyelesaikan masalah-masalah itu? Percayalah, jauh sekali. Bahkan demonstrasi jalanan seperti ini akan menambahkan lagi masalah masyarakat dan negara. Ibarat marahkan nyamuk bakar kelambu . Jangan biarkan…

  • |

    PELANTIKAN ORANG KAFIR ATAS ORANG ISLAM

    PELANTIKAN ORANG KAFIR ATAS ORANG ISLAM Firman Allah: وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا (Dan Allah tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang yang beriman) [Surah An-Nisa’, ayat 141] قال القاضي ابن العربيِّ: “إنَّ الله سبحانه لا يَجعل للكافرين على المؤمنين سبيلاً بالشَّرع، فإن وجد فبِخلاف…

  • |

    PROMOSI BUKU: TERIMA KASIH USTAZ REZA

    Terkejut apabila ada yang memaklumkan bahawa buku 80 Hadis Puasa Ramadan telah dipromosikan dalam rancangan siaran langsung televisyen Bernama pagi tadi. Dalam program bertajuk ‘Langkah Baru di Bulan Ramadan’ al-Fadhil Ustaz Reza Kamarudin berbicara mengenai persiapan untuk menyambut ketibaan bulan puasa. Kita perlu persiapkan diri dengan ilmu terlebih dahulu, tegas…

  • |

    SYEIKH RABI’ AL-MADKHALI & IKHWAN MUSLIMIN

    SYEIKH RABI’ AL-MADKHALI & IKHWAN MUSLIMIN Semoga Allah merahmati Syeikh Rabi’ bin Hadi Al-Madkhali hafizahullah. Beliau telah menghabiskan sebahagian besar umurnya membongkar kebejatan pertubuhan Ikhwan Muslimin, perancangan dan kerosakan yang mereka lakukan, di kala ramai ilmuan apatah lagi masyarakat awam yang tidak tahu mengenai pertubuhan ini. Kini pendiriannya telah sampai…

  • |

    SAMBUTAN / PERAYAAN SEBAHAGIAN DARIPADA AGAMA ATAU ADAT?

    SAMBUTAN / PERAYAAN SEBAHAGIAN DARIPADA AGAMA ATAU ADAT? (Hantaran asal pada 24.01.2020 tetapi seperti telah disêkãt oleh FB) Sebahagian membolehkan MUSLIM turut serta dalam SAMBUTAN / PERAYAAN KUFFAR sekiranya ia hanya melibatkan ADAT atau sekiranya TIADA UNSUR KEAGAMAAN. Kebiasaannya alasan yang diberikan ialah untuk menjaga perpaduan, permuafakatan antara kaum, menjaga…

  • |

    KHILAF ULAMA

    Sebahagian apabila ditegur kerana sesuatu kesalahan akan mencari pendapat ulama yang cocok dengan kesalahannya untuk dijadikan sebagai dalil bagi membenarkan kesalahannya itu. Perlu ditegaskan bahawa pendapat ulama bukan hujah apatah lagi jika hendak dijadikan sebagai dalil bagi menolak nas Al-Quran dan al-Sunah. Justeru khilaf ulama tidak harus dijadikan sebagai hujah…