|

PERAGA KEMEWAHAN DI MEDIA SOSIAL

Kejahatan ada pintunya manakala sifat ujub takbur ialah kunci yang membuka pintu itu.

Individu yang mempunyai sifat buruk ini akan terjebak dalam banyak perbuatan hodoh di mana dia berbangga dengan dirinya dan berperasaan lebih tinggi dan mulia berbanding orang lain.

Sejarah umat dahulu menunjukkan bahawa orang-orang yang ujub takbur merupakan golongan pertama yang mendustakan para nabi dan rasul lalu mereka halang dakwah disampaikan.

Orang yang ujub takbur melihat dirinya hebat manakala orang-orang lain cacat dan hina dek kelebihan yang Allah ﷻ berikan kepadanya sama ada dalam bentuk kemewahan harta, kecantikan rupa, kedudukan dalam masyarakat dan sebagainya sedangkan ia semua hanyalah kesenangan dunia yang sementara.

Nikmat akhirat jualah yang baik bagi para hamba Allah ﷻ bertakwa.

Jika orang ujub takbur itu tahu betapa besarnya kemurkaan Allah ﷻ atasnya nescaya dia akan segara meninggalkan sifat buruk itu.

Ujub ialah rasa kagum dengan diri sendiri atas suatu nikmat kelebihan dan merasa senang dengan kelebihan itu kerana ia suatu kebaikan buat diri, bukan kerana ia kurniaan daripada Tuhan.

Dia merasa kagum kerana kelebihan itu ada pada dirinya, bukan kerana ia nikmat daripada Allah ﷻ.

Takbur pula ialah perasaan tinggi diri, menganggap diri lebih mulia dan bagus berbanding orang lain.

Sedangkan Nabi ﷺ bersabda:

بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمشِي في حُلَّةٍ تُعْجِبُهُ نَفْسُهُ، مُرَجِّلٌ رَأسَهُ، يَخْتَالُ فِي مَشْيَتهِ، إِذْ خَسَفَ اللهُ بِهِ، فَهُوَ ‌يَتَجَلْجَلُ في الأَرضِ إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ.

“Ketika seorang itu memakai pakaian dalam keadaan ujub, rambutnya tersisir, dan dia berjalan dengan penuh sombong lalu bumi menenggelamkannya dan dia terus meronta-ronta dalam perut bumi sampai ke Hari Kiamat.”

[Hadis sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Sabdanya ﷺ:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ. الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ، وَغَمْطُ النَّاسِ.

“Tidak akan masuk syurga sesiapa yang dalam hatinya ada sifat takbur walaupun sebesar biji sawi. Takbur bermaksud menolak kebenaran dan memandang hina orang lain.”

[Hadis sahih. Riwayat Muslim]

Usah diperagakan kemewahan.

Kerana Nabi ﷺ bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْعَبْدَ التَّقِيَّ الْغَنِيَّ الْخَفِيَّ.

“Sesungguhnya Allah menyukai hamba yang bertakwa, berkecukupan (tidak meminta-minta) dan al-khafiy.”

[Hadis sahih. Riwayat Muslim]

al-Khafiy ialah orang yang menyembunyikan dirinya dengan beribadah, membaiki diri dan tidak menunjukkan amalannya kepada orang lain.

Sedangkan perbuatan menunjuk-nunjuk, suka popular dan ingin terkenal bercanggah dengan sifat al-khafiy ini.

Justeru kata al-Fudhail bin Iyadh:

إنْ قُدِرْتَ أن لا تُعْرَف فَافْعَل، وَمَا عَلَيْكَ ألاَّ تُعْرَف؟ وَمَا عَلَيْكَ ألاَّ يُثْنَى عَلَيْك؟ وَمَا عَلَيْكَ أن تَكُونَ مَذْمُومًا عِنْدَ النَّاسِ إذَا كُنْتَ مَحْمُودًا عِنْدَ اللهِ عَزَّ وَجَل؟

“Jika engkau dapat biarkan dirimu tidak dikenali maka lakukanlah. Ada apa jika engkau tidak dikenali? Ada apa jika engkau tidak dipuji? Ada apa jika engkau dicela oleh manusia tetapi dipuji oleh Allah ﷻ?

[al-Tawaduk oleh Ibnu Abi al-Dunia, hlm. 43]

Pentingnya sifat tawaduk menjauhkan diri daripada sifat menunjuk-nunjuk terutamanya di media sosial.

Semoga Allah ﷻ pelihara kita daripada fitnah cubaan media sosial.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
03 Syaaban 1444H
24 Februari 2023

Similar Posts

  • |

    RAMBUT & BARANG PENINGGALAN RASULULLAH

    RAMBUT & BARANG PENINGGALAN RASULULLAH Kebelakangan ini kita melihat terdapat banyak barang-barang yang dikatakan milik Rasulullah sallalahu alaihi wassalam yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu. Sama ada rambut, capal, serban, pedang dan sebagainya. Supaya jangan keliru, perlu ditegaskan bahawa KEMULIAAN dan KEBERKATAN NABI adalah satu perkara, manakala MEMBUKTIKAN bahawa sesuatu BARANGAN…

  • |

    EKSTREM & MELAMPAU DALAM AGAMA

    – Definisi Muslim yang baik Sikap ekstrem dan melampau (ghuluw) ditegah oleh agama. Sabda Nabi ﷺ: إِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ فِي الدِّينِ، فَإِنَّهُ أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمُ ‌الْغُلُوُّ ‌فِي ‌الدِّين. “Jangan kamu bersikap melampau dalam agama kerana sesungguhnya apa yang telah membinasakan orang-orang sebelum kamu ialah sikap mereka yang melampau dalam beragama.”…

  • |

    MANUSIA SEPERTI BUKU

    MANUSIA SEPERTI BUKU Ada buku yang dibaca dapat difahami dan diambil manfaat daripadanya. Dalam masa yang sama, ada buku yang dibaca tetapi isinya tidak dapat difahami. Terdapat juga buku yang dibaca tetapi maklumatnya tidak disampaikan dengan betul maka ia menimbulkan salah faham pembacanya. Demikian ada buku yang luarannya tampak cantik…

  • |

    ISLAM MEMERANGI KEGANASAN

    Keamanan merupakan nikmat besar kurniaan Allah ﷻ. Maslahat negara dan masyarakat tidak akan dapat direalisasikan tanpa ada keamanan. Justeru sebarang tindakan menggugat keamanan dan keharmonian awam menyalahi syariat Islam, hukumnya haram dan termasuk dalam dosa besar. Termasuklah perbuatan menumpahkan darah dan membunuh nyawa yang tidak berdosa. Firman Allah ﷻ: مَن…

  • |

    DOA AWAL TAHUN HIJRAH

    Tiada doa atau sebarang amalan khusus sempena awal tahun Hijrah. Usah menokok tambah Agama. Sabda Nabi ﷺ: مَنْ ‌أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ. “Barang siapa buat perkara baharu dalam urusan kita ini (Agama) maka ia tertolak”. [Riwayat Bukhari dan Muslim] Daripada Allah jua kita memohon petunjuk….

  • |

    AMALAN MERENJIS TEPUNG AIR TAWAR

    AMALAN MERENJIS TEPUNG AIR TAWAR Amalan merenjis tepung air tawar atau apa jua jenis air tidak pernah dicontohkan oleh Nabi ﷺ ataupun diamalkan oleh para Sahabat yang mulia. Sedangkan sabda Nabi ﷺ: مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ، فَهُوَ رَدٌّ. “Barang siapa mengada-adakan SESUATU YANG BAHARU dalam urusan…