KUBURIYYUN (2) – GOLONGAN PEMUJA KUBUR
– Menghidupkan amalan jahiliah
– Kubur ‘wathan’
Sebahagian kaum Muslimin hari ini keliru tentang erti makna akidah Islam yang benar yang menekankan tauhid serta mengesakan Allah ﷻ dalam segala amalan ibadah.
Akibat kekeliruan ini mereka mendatangi kubur guru-guru mereka, wali-wali dan orang-orang soleh untuk mengadakan ritual-ritual tertentu dengan berzikir, berselawat dan berdoa sedangkan amalan-amalan seperti ini di kubur tiada dalam Islam sama sekali.
Malah jika dilihat dalam sejarah awal Islam, Nabi ﷺ pernah melarang para Sahabat menziarahi kubur kerana waktu itu mereka baru memeluk Islam dan ritual-ritual jahiliah masih segar dalam hati mereka termasuklah amalan-amalan syirik yang mereka lakukan di kubur sebelum masuk Islam.
Nabi ﷺ bersabda:
كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ أَلَا فَزُورُوهَا، فَإِنَّهُ يُرِقُّ الْقَلْبَ، وَتُدْمِعُ الْعَيْنَ، وَتُذَكِّرُ الْآخِرَةَ، وَلَا تَقُولُوا هُجْرًا.
“Dahulu aku melarang kalian menziarahi kubur tetapi sekarang ziarahilah ia (kerana) sesungguhnya ia dapat melunakkan hati, menitiskan air mata dan mengingatkan tentang Hari Akhirat. (Akan tetapi) janganlah kalian berkata hal-hal yang buruk.”
[Sahih. Riwayat al-Hakim]
Hal-hal yang buruk ialah perkataan-perkataan yang tidak diredai Allah ﷻ terutamanya yang berbaur syirik.
[al-Taisir oleh al-Munawi, 2/45]
Lihat bagaimana Nabi ﷺ pada awalnya melarang para Sahabat daripada menziarahi kubur kerana khuatir mereka akan terjebak dalam perbuatan-perbuatan syirik.
Hanya setelah baginda ﷺ melihat bahawa para Sahabat sudah faham akidah Islam, memahami erti tauhid dan menjauhi syirik barulah baginda ﷺ mengizinkan mereka ziarah kubur.
Persoalan di sini, apakah amalan syirik di kubur pada zaman Arab jahiliah dahulu?
Jawapannya ialah amalan bergantung pada si mati, meminta pertolongannya, mengharapkan bantuan syafaat dan bertawassul dengan menjadikannya perantara dengan Allah bagi mendapatkan hajat.
Inilah amalan syirik di kubur yang dilakukan oleh orang-orang dahulu sampailah ke hari ini.
Dukacitanya sebahagian kaum Muslimin pada hari ini terjebak dalam amalan-amalan serupa tanpa sedar bahawa ia boleh membatalkan kalimah syahadah mereka.
Dan dapat dilihat bagaimana kubur-kubur ini dikeramatkan dengan ditinggikan binaannya dan dicantikkan dengan bermacam-macam perhiasan sedangkan ini semua dilarang oleh Agama.
Dalam hadis Jabir radiallahuanhu, katanya:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُجَصَّصَ الْقَبْرُ وَأَنْ يُبْنَى عَلَيْهِ وَأَنْ يُقْعَدَ عَلَيْهِ.
“Rasulullah ﷺ melarang perbuatan menyimen kubur, membuat binaan atasnya dan duduk di atasnya.”
[Sahih. Riwayat Muslim]
Sebetulnya tanah kubur itu perlu diratakan tanpa sebarang binaan atau hiasan di atasnya.
Memadai diletakkan sebuah batu sebagai tanda ia kubur agar tiada sesiapa yang duduk atau melangkah atasnya.
Justeru menziarahi kubur sememangnya dianjurkan dalam Islam bertujuan untuk melunakkan hati serta mengingatkan diri akan hari kematian yang pasti tiba. Tetapi jangan lebih daripada itu.
——————-
CATATAN:
Kubur yang disembah dalam bahasa Arab disebut ‘wathan’ (وَثَن). Tidak wajar sama sekali ada kubur-kubur ‘wathan’ yang didatangi oleh orang Islam.
KUBURIYYUN (1):
——————-
Daripada Allah jua kita memohon petunjuk hidayah.
Idris bin Sulaiman
Kajang
20 Syawal 1443H /
21 Mei 2022
One Comment
Comments are closed.