| | |

SEMBAH KUBUR DI IBU NEGARA


Gempar semalam dalam media sosial video sekumpulan orang-orang Islam sedang melakukan ritual-ritual tertentu di sebuah perkuburan di ibu negara. Ramai warga maya tertanya-tanya dan melahirkan rasa tidak senang melihat video tersebut manakala laporan media menyifatkannya sebagai ‘amalan ziarah kubur yang agak berlainan’.

Perlu ditegaskan bahawa ziarah kubur yang disyariatkan sama sekali bukan dengan cara sedemikian. Sedar atau tidak inilah yang dikatakan sebagai sembah kubur oleh golongan kuburiyyuun yang percaya bahawa kuburan tertentu mempunyai kelebihan dan fadilat untuk beriktikaf dan beribadah di sisinya.

JEJAS AKIDAH

Si mati dalam kubur dianggap mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu sehingga boleh membantu mereka yang datang ke kuburnya dengan dilakukan ritual-ritual tertentu. Biasanya kubur yang dipilih ialah kuburan orang-orang soleh, guru, alim ulama dan seumpamanya. Alasannya kerana si mati mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah lalu dapat membantu orang-orang yang hidup.

Kepercayaan dan amalan sebegini perlu dibanteras kerana akan menjejaskan akidah umat Islam. Ia tidak berasas dan tiada contohnya sama sekali daripada Nabi ﷺ, para Sahabat dan para ulama muktabar. Malah menyalahi syariat Islam.

MINTA TOLONG DARIPADA ALLAH

Muslim diperintah supaya hanya percaya kepada kuasa Allah, Tuhan, Rabb, pencipta, pemilik, pengatur dan pengurus seluruh alam semesta. Hanya Allah yang layak disembah dan diminta segala hajat, bantuan dan pertolongan. Justeru Muslim diarah hanya menyeru, meminta dan berharap kepada Allah sebagaimana firman Allah ﷻ:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدۡعُونِيٓ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسۡتَكۡبِرُونَ عَنۡ عِبَادَتِي سَيَدۡخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

“Berdoalah kalian kepadaKu nescaya Aku perkenankan permintaan kalian. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadah dan berdoa kepadaKu akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina.”

[Al-Quran, Ghafir, 40: 60]

Jangan sekali-kali meminta daripada selain Allah ﷻ yang tidak memberi apa jua manfaat atau mendatangkan mudarat. Firman Allah ﷻ:

وَلَا تَدۡعُ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَنفَعُكَ وَلَا يَضُرُّكَۖ فَإِن فَعَلۡتَ فَإِنَّكَ إِذًا مِّنَ ٱلظَّٰلِمِينَ

“Dan janganlah engkau berdoa meminta daripada selain Allah apa yang tidak memberi manfaat ataupun mudarat, dan jika engkau berbuat demikian maka engkau tergolong dalam kalangan orang-orang zalim.”

[Al-Quran, Yunus, 10:106]

JANGAN MINTA TOLONG ORANG MATI

Segala apa yang diminta daripada selain Allah ﷻ adalah batil kerana Allah ﷻ berfirman:

ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلۡحَقُّ وَأَنَّ مَا يَدۡعُونَ مِن دُونِهِۦ هُوَ ٱلۡبَٰطِلُ

“Demikian ialah kerana Allah adalah (sembahan) Yang Benar sedangkan apa yang mereka seru dan panggil selain daripadaNya adalah batil.”

[Al-Quran, al-Haj, 22:62]

Tanggapan keadaan orang-orang mati sama seperti orang-orang hidup, boleh mendengar dan membantu dinafikan oleh Allah ﷻ dalam ayat:

وَمَا يَسۡتَوِي ٱلۡأَحۡيَآءُ وَلَا ٱلۡأَمۡوَٰتُۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُسۡمِعُ مَن يَشَآءُۖ وَمَآ أَنتَ بِمُسۡمِعٍ مَّن فِي ٱلۡقُبُورِ

“Dan tidaklah sama orang-orang hidup dengan orang-orang mati. Sesungguhnya Allah yang dapat menjadikan sesiapa yang dikehendakinya mendengar, dan engkau (wahai Muhammad) tidak dapat menjadikan orang-orang yang di dalam kubur mendengar.”

[Al-Quran, Fatir, 35:22]

Orang-orang mati tidak mampu menolong orang-orang hidup sebagaimana firman Allah ﷻ:

إِن تَدۡعُوهُمۡ لَا يَسۡمَعُواْ دُعَآءَكُمۡ وَلَوۡ سَمِعُواْ مَا ٱسۡتَجَابُواْ لَكُمۡۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ يَكۡفُرُونَ بِشِرۡكِكُمۡ

“Kalau kamu memohon kepada mereka (yang kamu sembah itu) mereka tidak mendengar permohonan kamu, dan jika mereka mendengar sekali pun, mereka tidak dapat memberikan apa yang kamu pohonkan itu; dan pada Hari Kiamat mereka akan mengingkari perbuatan syirik kamu.”

[Al-Quran, Fatir, 35:14]

KUBUR BUKAN TEMPAT IBADAH

Ibadah-ibadah seperti doa, solat, berzikir, membaca Al-Quran dan beriktikaf hendaklah dilakukan di masjid, bukan di perkuburan sebagaimana firman Allah ﷻ:

وَأَنَّ ٱلۡمَسَٰجِدَ لِلَّهِ فَلَا تَدۡعُواْ مَعَ ٱللَّهِ أَحَدًا

“Dan sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadah kepada) Allah semata-mata maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.”

[Al-Quran, al-Jin, 72:18]

Nabi ﷺ mengingatkan supaya memperbanyakkan solat sunat di rumah, dan jangan dibiarkan rumah jadi seperti kuburan, isyarat jelas bahawa kubur bukan tempat beribadah. Sabdanya ﷺ:

لَا تَتَّخِذُوا ‌بُيُوتَكُمْ ‌قُبُورًا، صَلُّوا فِيهَا

“Jangan kalian jadikan rumah-rumah kalian seperti kubur. Solatlah di dalamnya.”

[Sahih. Riwayat Ahmad, no. 17030]

BAHAYA SYIRIK

Allah ﷻ mengharamkan syurga bagi mereka yang melakukan syirik sebagaimana dalam firmanNya ﷻ:

إِنَّهُۥ مَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدۡ حَرَّمَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِ ٱلۡجَنَّةَ وَمَأۡوَىٰهُ ٱلنَّارُ

“Sesungguhnya barang siapa menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain maka sesungguhnya Allah haramkan ke atasnya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka.”

[Al-Quran, al-Maidah, 5: 72]

CATATAN

Muslim dianjurkan ziarah kubur untuk mengingati kematian dan Hari Akhirat di samping mendoakan kebaikan buat si mati, bukan meminta tolong daripadanya.

Allah jua pemberi taufik.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
27 Jamadilakhir 1446H
29 Disember 2024
https://idrissulaiman.com

Similar Posts

  • | |

    PENTINGNYA TAUHID, BAHAYANYA SYIRIK

    Dalam sebuah hadis kudsi, Anas RA mengatakan aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah ﷻ berkata: Wahai anak Adam, andainya kamu datang kepadaKu dengan dosa sepenuh jagat sedangkan kamu mati tidak berbuat syirik denganKu nescaya Aku berikan ampunan kepadamu sepenuh jagat jua.” [Hadis sahih. Riwayat al-Tirmizi, no. 3540] CATATAN Jagat: Alam,…

  • |

    MAJLIS ZIKIR BERGENDANG MENARI

    Celaan Allah ﷻ ke atas mereka yang menjadikan urusan agama mereka sebagai hiburan dan permainan. Firman Allah ﷻ: ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُواْ دِينَهُمۡ لَهۡوٗا وَلَعِبٗا وَغَرَّتۡهُمُ ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَاۚ فَٱلۡيَوۡمَ نَنسَىٰهُمۡ كَمَا نَسُواْ لِقَآءَ يَوۡمِهِمۡ هَٰذَا وَمَا كَانُواْ بِآيَٰتِنَا يَجۡحَدُونَ. “Orang-orang yang menjadikan urusan-urusan agama mereka sebagai hiburan dan permainan, dan orang-orang yang…

  • PELAJAR UNIVERSITI ISLAM MEMBERSIHKAN KUIL?

    PELAJAR UNIVERSITI ISLAM MEMBERSIHKAN KUIL? # Bandingkan dengan gotong-royong membersihkan kandang ‘ba alif ba ya’ Satu perkembangan baharu sedang berlaku dalam negara yang sepatutnya membimbangkan kita semua apabila sekumpulan pelajar Muslim tanah air telah melancarkan inisiatif untuk membersihkan sebuah kuil yang terkesan dengan banjir besar yang berlaku baru-baru ini. https://www.facebook.com/211591442051/posts/10160161864202052/…

  • | |

    KASIHAN MUALAF

    Selepas ucap kalimah syahadah disuruh menghadap kubur pula. Dilema antara gembira dan sedih. Gembira dengan adanya Muslim saudara baharu. Tetapi sedih kerana dikelirukan oleh golongan pelampau pemuja kubur. Sedangkan Islam berlepas diri daripada segala bentuk pemujaan kubur. Muslim disuruh mengabdikan diri kepada Allah ﷻ semata-mata, berdoa, meminta, menyeru di alam…

  • | | | |

    TEGAHAN MEMBUAT BINAAN ATAS KUBUR

    Tidak ada sebarang bentuk binaan atas kubur pada zaman Sahabat Nabi ﷺ dan generasi awal Islam dahulu. Sebaliknya binaan-binaan atas kubur hanya diada-adakan kemudian pada zaman Kerajaan Buwaihiyyah, Syiah sekitar kurun keempat Hijrah. Para ulama sepakat akan larangan membuat binaan atas kubur. Kata Imam al-Syaukani: اعْلَمْ أنَّه قَدْ اتَّفَقَ النَّاسُ،…

  • |

    DOALAH KEPADA ALLAH; BUKAN MALAIKAT ATAU LAIN

    Firman Allah ﷻ: إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَخۡفَىٰ عَلَيۡهِ شَيۡء فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَا فِي ٱلسَّمَآءِ “Sesungguhnya tiada apa yang tersembunyi bagiNya di bumi ataupun di langit.” [Al-Quran, Aali Imran, 3:5] Firman Allah ﷻ: لِلَّهِ مُلۡكُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَمَا فِيهِنَّۚ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡء قَدِيرُۢ “Allah jualah yang menguasai langit dan bumi…