HADIS DAIF: ‘WAJIB IKUT PEGANGAN MAJORITI UMAT ISLAM’ (AL-SAWAD AL-A’ZAM)

Sebahagian pihak mendakwa wajibnya umat Islam berpegang kepada pegangan majoriti umat Islam.

Dalil mereka ialah hadis:

إِنَّ أُمَّتِي لَنْ تَجْتَمِعَ عَلَى ضَلَالَةٍ، فَإِذَا رَأَيْتُمُ الِاخْتِلَافَ ‌فَعَلَيْكُمْ ‌بِالسَّوَادِ ‌الْأَعْظَمِ

“Sesungguhnya umatku tidak akan bersepakat dalam perkara sesat. Jika kalian melihat perselisihan maka hendaklah kalian berada bersama kumpulan umat terbesar.”

Bahagian pertama hadis di atas “Sesungguhnya umatku tidak akan bersepakat dalam perkara sesat” adalah sahih daripada riwayat Tirmizi, no. 2167

Adapun bahagian kedua hadis di atas “Jika kalian melihat perselisihan maka hendaklah kalian berada bersama kumpulan umat terbesar” adalah daif, lemah.

[Silsilah al-Daifah, no. 2896]

DUA SANAD RIWAYAT HADIS

Bahagian kedua hadis di atas diriwayatkan melalui dua sanad:

Sanad pertama diriwayatkan oleh Ibnu Majah (no. 3950), Ibnu Abi al-Asim dalam al-Sunah (no. 84), Abdu bin Hamid dalam al-Muntakhab Min al-Musnad (2/133) dan al-Lalakaie dalam Usul Ahli al-Sunah (1/105/653) daripada jalan riwayat Maan bin Rifaah al-Sulami daripada Abu Khalaf al-Aama daripada Anas bin Malik daripada Nabi ﷺ.

Sanad pertama di atas sangat lemah kerana perawinya Abu Khalaf al-Aama menurut Ibnu Hajar adalah “Matruk (ditolak) dan Ibnu Main menuduh beliau berdusta” dan al-Daraqutni dalam al-Afrad berkata “Beliau menyendiri dalam hadis ini.” Sedangkan perawi Maan bin Rifaah pula ditarafkan sebagai ‘layyin al-hadith’ (lemah dalam riwayat).

Sanad kedua pula ialah daripada riwayat Abu Naim dalam Akhabar Asbahan (2/208) daripada jalan riwayat Baqiyyah bin al-Walid daripada Utbah bin Abu Hakim daripada Artad bin al-Munzir daripada Abu Aun al-Ansari daripada Samurah bin Jundub daripada Nabi ﷺ.

Sanad ini juga lemah kerana beberapa kecacatan:

Pertama kerana terputusnya sanad antara Abu Aun al-Ansari dengan Samurah bin Jundub disebabkan Abu Aun tiada riwayat daripada Sahabat. Bahkan Ibnu Abdul Bar berkata “Beliau (Abu Aun) meriwayatkan daripada Othman (bin Affan) secara mursal (terputus).”

Kedua kerana kedudukan Abu Aun ‘majhul’ tidak dikenali dan beliau tidak dithiqahkan kecuali oleh Ibnu Hibban manakala Ibnu Hajar berkata dalam al-Taqrib “Maqbul” yakni riwayatnya hanya diterima jika ada jalan riwayat lain yang menyokong, jika tiada maka riwayatnya ‘layyin al-hadith’ (lemah).

Ketiga kerana perawi Utbah bin Abu Hakim adalah lemah di mana Ibnu Hajar berkata “Saduq yukhtiu kathiran” (Boleh dipercayai tetapi banyak berbuat kesalahan).

Keempat kerana perawi Baqiyyah bin al-Walid meriwayatkan hadis ini secara ‘an’anah’ (tidak menyatakan secara jelas sama ada dia mendengar riwayat secara langsung atau melalui perantara) sedangkan beliau seorang perawi mudallis (menyembunyikan kelemahan dalam sanad).

PENILAIAN HADIS

Kesimpulannya, hadis ‘Wajib ikut pegangan majoriti umat Islam (al-Sawad al-A’zam)’ adalah daif, lemah, tidak sabit daripada Nabi ﷺ dan tidak boleh diterima.

PERCANGGAHAN DENGAN NAS LAIN

Maksud hadis ‘Wajib ikut pegangan majoriti umat Islam (al-Sawad al-A’zam)’ kontradik dengan ayat Al-Quran:

فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ

“Jika kalian berselisihan dalam sesuatu perkara maka hendaklah kalian mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunah) RasulNya.”

[Al-Quran, al-Nisa, 4:59]

Dalam ayat di atas, Allah ﷻ mewajibkan sebarang perselisihan dikembalikan kepada Al-Quran dan al-Sunah sedangkan hadis ‘Wajib ikut pegangan majoriti umat Islam (al-Sawad al-A’zam)’ bermaksud sebaliknya.

CELAAN ATAS MAJORITI

Nas-nas Al-Quran dan hadis mencela keadaan majoriti manusia sebagaimana firman Allah ﷻ:

وَإِن تُطِعۡ أَكۡثَرَ مَن فِي ٱلۡأَرۡضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ

“Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di atas muka bumi nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.”

[Al-Quran, al-An’aam, 6:116]

Dalam Hadis Perpecahan Umat pula Nabi ﷺ bersabda:

وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ مِلَّةً كُلُّهُمْ فِي النَّارِ إِلَّا مِلَّةً وَاحِدَةً

“Dan umatku (umat Islam) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan. Semua mereka dalam neraka kecuali satu golongan sahaja.”

[Hasan. Riwayat Tirmizi, no. 2641]

Daripada 73 kumpulan umat Islam yang berpecah hanya satu kumpulan sahaja selamat, sedangkan baki majoriti yang lain tidak.

KESIMPULAN

Dakwaan bahawa Muslim diwajibkan mengikuti pegangan majoriti umat Islam tidak berasas, sandaran hadisnya daif, tidak sabit daripada Nabi ﷺ, menyalahi perintah Allah ﷻ supaya segala perselisihan dikembalikan kepada Al-Quran dan al-Sunah, dan berlawanan dengan nas-nas Al-Quran dan hadis yang mencela keadaan majoriti manusia.

CATATAN

Ada beza antara maksud ijmak dan majoriti.

Ijmak yang merupakan salah satu dalil sumber agama sesudah Al-Quran dan al-Sunah bermaksud kesepakatan seluruh ulama pada satu zaman. Seluruh mereka, bukan hanya sebahagian.

Sedangkan majoriti pula bermaksud jumhur atau kebanyakan iaitu jumhur kebanyakan ulama, mazhab dan umat Islam. Secara prinsipnya jumhur atau kebanyakan bukanlah dalil kebenaran.

Dalil kebenaran tetaplah firman Allah ﷻ, sabda Rasulullah ﷺ dan amalan ijmak para Sahabat.

Daripada Allah jua kita memohon taufik.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
26 Jamadilakhir 1446H
28 Disember 2024
https://idrissulaiman.com

Similar Posts

  • | | |

    GUNUNG UHUD SAHABAT?

    GUNUNG UHUD SAHABAT? Pandangan bahawa gunung Uhud di Madinah ialah Sahabat kerana ia telah melihat Rasulullah ﷺ adalah pandangan karut mirip falsampah sufi. Tidak dinafikan bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Gunung ini (Uhud) ia mencintai kita dan kita mencintainya”. Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim. Kita yakin dan percaya dengan hadis sahih…

  • KEMPEN SEBAR HADIS 40 IMAM NAWAWI

    Alhamdulillah, Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan baru-baru ini melancarkan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi, inisiatif yang sangat baik dan disambut positif oleh rata-rata masyarakat Islam Malaysia (kecuali segelintir). Ditakdirkan pula beberapa bulan yang lalu buku Syarah Hadis 40 Imam Nawawi saya telah dilancarkan dan mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada sahabat-sahabat,…

  • | |

    ARAB SAUDI MANSUHKAN SUBJEK AGAMA DI SEKOLAH?

    ARAB SAUDI MANSUHKAN SUBJEK AGAMA DI SEKOLAH? # Video propaganda anti Arab Saudi Arab Saudi melalui kementerian pendidikannya mengumumkan bahawa enam mata pelajaran Agama iaitu Al-Quran, Tajwid, Tauhid, Fiqah, Hadis dan Tafsir akan dihimpunkan di bawah satu mata pelajaran iaitu Pendidikan Islam. Pengumuman ini dikeluarkan susulan langkah sama diambil yang…

  • | |

    PENUNTUT ILMU

    PENUNTUT ILMU Terdapat tiga tahap penuntut ilmu iaitu mereka yang: 1. Hafal dan faham; 2. Faham tanpa hafal; dan 3. Hafal tanpa faham. Kedudukan tahap-tahap ini adalah sama mengikut turutan di atas. Firman Allah ﷻ: “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman serta orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama daripada kalangan…

  • | | |

    TULANG KORBAN BOLEH DIBUANG

    Tulang haiwan korban boleh dibuang, tidak wajib tanam. Pandangan sebahagian bahawa tulang haiwan korban perlu ditanam tidak berasas sama sekali. Tiada dalil suruhan atau anjuran daripada syariat supaya tulang haiwan korban ditanam. Hanya pandangan akal sebahagian pihak semata-mata. Sedangkan Muslim tidak boleh sewenang-wenangnya menganjurkan sesuatu dalam bab hukum agama kecuali…

  • | | |

    ULAMA & PERAWI SAHABAT

    ULAMA & PERAWI SAHABAT # Ulama papan kekunci Jumlah para Sahabat Rasulullah ﷺ adalah ribuan. Jumlah mereka yang meriwayatkan hadis (yang tercatat nama mereka dalam kitab-kitab hadis) ialah sekitar 750 orang Sahabat. Jumlah mereka yang berijtihad dan memberi fatwa tidak lebih daripada 150 orang Sahabat. 7 daripada mereka banyak berijtihad…