SANGGAHAN KENYATAAN PEGUAM: BUKU HADIS 40 AJAR MURID SEKOLAH BERPERANG

Tular di media sosial tulisan seorang peguam perempuan Muslim yang meluahkan rasa tidak senangnya dengan pendirian kerajaan untuk mengetengahkan buku Hadis 40 Imam Nawawi kepada pelajar-pelajar sekolah.

Menurutnya, ini kerana terdapat sebuah hadis di dalamnya yang menyuruh supaya memerangi manusia sehingga mereka memeluk Islam di samping memerangi mereka yang tidak solat dan bayar zakat.

“Bayangkan mahu mengajar budak-budak sekolah berperang.”

Kata peguam itu.

Hakikatnya beliau telah memberi tanggapan salah dan buruk dalam kenyataannya di atas.

Hadis ke-8 buku Imam Nawawi itu tidak memaksudkan sedemikian sama sekali.

Tetapi begitulah apabila seseorang berbicara dalam bukan bidangnya maka pelbagai ‘keajaiban’ yang dibawanya.

Fahamannya itu sama seperti jika diandaikan firman Allah ﷻ “Wahai Nabi! Berjihadlah menentang orang-orang kafir dan orang-orang munafik” (al-Tahrim, 66:9) bermaksud bahawa Agama menyuruh supaya membunuh kedua-dua orang-orang kafir dan orang-orang munafik.

Ini salah.

Realitinya, risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ telah membuatkan manusia terbahagi kepada dua; golongan yang Allah ﷻ limpahkan cahaya ke dalam hatinya lalu mereka menerima Islam, mengesakan Allah ﷻ dan menuruti syariatNya, dan golongan yang Allah ﷻ padamkan mata hatinya sampai berselaput dan jadi gelap lalu orangnya menolak dakwah Islam yang dibawa oleh baginda ﷺ.

Demikian Allah ﷻ berfirman:

“Ini kerana orang-orang kafir telah menurut perkara yang salah, dan sesungguhnya orang-orang beriman telah menurut perkara yang benar daripada Tuhan mereka.”

[Al-Quran, Muhammad, 47:3]

Allah ﷻ memerintahkan supaya golongan yang menolak agamaNya diseru secara bersungguh-sungguh dengan cara sebaik-baiknya, dan jika mereka berdegil maka hendaklah dipastikan jangan pula mereka halang kebaikan ini sampai kepada orang-orang lain.

Hendaklah mereka membuka laluan agar cahaya kebenaran Islam dapat dilihat oleh orang lain.

Jika mereka berkeras menolak dan berusaha untuk memadamkannya sehingga mendirikan tembok penghalang dakwah Islam disampaikan maka ketika itu hendaklah tembok itu dirobohkan dan segala halangan dipatahkan.

Ini yang dimaksudkan oleh hadis ke-8 buku Hadis 40 Imam Nawawi.

Sabda Nabi ﷺ:

“Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan ‘laa ilaaha illa Allah’ (Tiada sembahan kecuali Allah) ‘wa anna Muhammad Rasulullah’ (dan bahawasanya Muhammad Pesuruh Allah), mendirikan solat dan mengeluarkan zakat.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Baginda ﷺ dalam hadis di atas diperintahkan supaya menyebarkan agama Islam serta menghapuskan segala halangan yang didirikan oleh pihak-pihak yang menentang Islam dan memusuhinya.

Agama Islam sama sekali tidak mendahagakan pertumpahan darah dan mahu membunuh nyawa-nyawa insan tidak berdosa.

Islam ialah agama rahmat dan kasih sayang.

Kerana itu tiada sesiapa boleh dipaksa memeluk Islam, dengan syarat jangan mereka halang dakwah kebenaran disebarkan.

Firman Allah ﷻ:

لَآ إِكۡرَاهَ فِي ٱلدِّينِۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَيِّ

“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur).”

[Al-Quran, al-Baqarah, 2:256]

Adapun mengenai kedudukan orang-orang bukan Islam, semua mereka yang bukan harbi iaitu golongan musta’man, zimmi dan mu’ahad ialah nyawa yang maksum terpelihara, tidak boleh diapa-apakan sebagaimana yang diperincikan oleh para ulama dalam buku-buku fikah.

CATATAN

Bukan semua jihad perang dengan senjata tumpah darah tetapi ada dengan hujah lisan dan tulisan.

Ternyata bukan sahaja daripada kalangan ‘non Muslim’ tetapi daripada orang Islam sendiri ada yang menentang dakwah sedangkan penawar kejahilan ialah bertanya.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
12 Safar 1445H
29 Ogos 2023

Similar Posts