tree on water
|

NABI ILYAS PENJAGA POKOK? NABI KHIDIR PENJAGA AIR?

#Khurafat dari meja penceramah

Baru-baru ini ada yang berkongsi video di bawah bertanya tentang sejauh mana kesahihan apa yang disampaikan dalam video tersebut.

Sejujurnya saya terkejut mendengar apa yang disampaikan dalam video tersebut. Saya tidak menyangka hal seperti ini boleh diucapkan oleh seorang ustaz.

Beliau berkata:

“Nak ambil pokok aloe vera buat ubat KENA MINTA DENGAN PENJAGA POKOK… SIAPA JAGA TUMBUH-TUMBUHAN itu? Nabi Ilyas alaihissalam..”

“SIAPA pula yang JAGA AIR? Nabi Khidir…”

Perlu ditegaskan bahawa kedua-dua dakwaan di atas tiada asasnya sama sekali dalam mana-mana nas yang sahih.

Malah ia merupakan suatu khurafat, kepercayaan karut dan tahyul.

Dakwaan seperti ini jika diamati ia berakar umbi dalam kepercayaan khurafat masyarakat Melayu dahulu yang percaya kepada ‘semangat roh’ dan ‘semangat alam semula jadi’ lalu mereka melakukan pemujaan untuk menghormati ‘semangat-semangat’ tersebut.

Kepercayaan ini ada kaitannya dengan animisme iaitu kepercayaan bahawa setiap benda (batu, pokok dan sebagainya) mempunyai ‘semangat roh’ yang menjaganya.

Kepercayaan Khurafat Orang Melayu Dahulu:

KEPERCAYAAN KHURAFAT ORANG MELAYU DAHULU (1)

Cuma jika dahulu apa yang dimaksudkan dengan ‘semangat roh’ ialah jin, syaitan dan hantu, kita dapati pada hari ini ‘semangat roh’ ini ditukar pula kepada nabi dan malaikat sesuai dengan kefahaman masyarakat yang semakin dekat dengan Agama berbanding dahulu.

Percaya kepada hantu dilihat kolot dan tidak sesuai dengan zaman moden hari ini.

Walau bagaimanapun, kepercayaan bahawa sesuatu itu sama ada batu, pokok dan sebagainya mempunyai PENJAGANYA DI ALAM GHAIB selain ALLAH merupakan SYIRIK menyalahi ajaran Islam.

Seharusnya perkara ini diberi perhatian dan penekanan yang setinggi-tinginya agar kefahaman masyarakat tidak terpesong daripada akidah Islam yang lurus.

Tidak ada yang lebih penting daripada meluruskan Akidah.

ALLAH PEMILIK & PENJAGA SEGALA-GALANYA

Firman ALLAH:

إِنَّ رَبَّكُمُ ٱللَّهُ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٖ ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰ عَلَى ٱلۡعَرۡشِۖ يُغۡشِي ٱلَّيۡلَ ٱلنَّهَارَ يَطۡلُبُهُۥ حَثِيثٗا وَٱلشَّمۡسَ وَٱلۡقَمَرَ وَٱلنُّجُومَ مُسَخَّرَٰتِۢ بِأَمۡرِهِۦٓۗ أَلَا لَهُ ٱلۡخَلۡقُ وَٱلۡأَمۡرُۗ تَبَارَكَ ٱللَّهُ رَبُّ ٱلۡعَٰلَمِينَ.

“Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Dia beristiwa di atas Arasy; Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Dia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, KEPADA ALLAH jualah SEGALA URUSAN PENCIPTAAN (sekalian makhluk) dan URUSAN PEMERINTAHAN. Maha Suci ALLAH YANG MENCIPTA dan MENTADBIR sekalian alam.

[Surah al-A’raaf, ayat 54]

Ayat di atas menegaskan bahawa segala urusan makhluk terletak di bawah kuasa ALLAH semata-mata.

Firman ALLAH:

قُلۡ مَنۢ بِيَدِهِۦ مَلَكُوتُ كُلِّ شَيۡءٖ وَهُوَ يُجِيرُ وَلَا يُجَارُ عَلَيۡهِ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

“Tanyakan: Siapakah yang MEMEGANG KUASA PEMERINTAHAN SETIAP SESUATU, serta DIA dapat melindungi (segala-galanya) dan tidak ada sesuatupun yang dapat disembunyikan daripadaNYA? (Jawablah) jika kamu mengetahui!”

[Surah al-Mukminun, ayat 88]

Ayat di atas sekali lagi menegaskan bahawa segala urusan yang berkait dengan makhluk termasuklah pokok, air dan selainnya terletak di bawah JAGAAN dan PEMELIHARAAN ALLAH semata-mata.

SEGALA SESUATU HANYA TUNDUK KEPADA ALLAH

Firman ALLAH:

أَلَمۡ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ يَسۡجُدُۤ لَهُۥۤ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَن فِي ٱلۡأَرۡضِ وَٱلشَّمۡسُ وَٱلۡقَمَرُ وَٱلنُّجُومُ وَٱلۡجِبَالُ وَٱلشَّجَرُ وَٱلدَّوَآبُّ وَكَثِيرٞ مِّنَ ٱلنَّاسِۖ وَكَثِيرٌ حَقَّ عَلَيۡهِ ٱلۡعَذَابُۗ وَمَن يُهِنِ ٱللَّهُ فَمَا لَهُۥ مِن مُّكۡرِمٍۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَفۡعَلُ مَا يَشَآءُ.

“Tidakkah engkau mengetahui bahawa SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN DI BUMI TUNDUK SUJUD KEPADA ALLAH dan (di antaranya termasuklah) matahari, bulan, bintang-bintang, gunung-ganang, pokok-pokok kayu, binatang-binatang dan ramai daripada kalangan manusia? Dan ramai juga (daripada manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufuran dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka dia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya.

[Surah al-Hajj, ayat 18]

Ayat di atas menegaskan bahawa segala sesuatu itu hanya tunduk kepada Allah selaku pencipta, pemilik dan penjaganya.

MUSLIM BERGANTUNG & MEMINTA HANYA DARIPADA ALLAH

Sabda Nabi ﷺ:

إِذَاَ سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللهَ، وَإِذَاَ اسْتَعَنتَ فَاسْتَعِن بِاللهِ.

“Sekiranya engkau meminta sesuatu maka mintalah daripada Allah. Sekiranya engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan daripada Allah.”

Hadis sahihi. Riwayat Tirmizi.

Artikel berkaitan:

Khurafat ‘Kaedah Pagar Laut Supaya Pencuri Berenang Dalam Rumah’:

KHURAFAT: ‘Kaedah Pagar Laut Supaya Pencuri Berenang Dalam Rumah’

Kepada Allah jua kita memohon petunjuk dalil dan kejayaan.

Idris bin Sulaiman
Kajang
Pentingnya akidah tauhid
14 Rejab 1442H /
26 Februari 2021
#http://www.facebook.com/idrissulaiman

Similar Posts

  • | | |

    SYIRIK DI KUBURAN SYIAH

    Perkuburan Syiah di Najf, Iraq, dikatakan sebagai tanah perkuburan terbesar di dunia dengan dianggarkan hampir enam juta kubur terdapat di sini. Namun amat menyedihkan, hampir setiap kubur dibuat binaan di atasnya. Ini ditambah dengan pelbagai amalan khurafat dan perbuatan syirik turut berlaku di tempat ini. Firman Allah: وَأَنَّ ٱلۡمَسَٰجِدَ لِلَّهِ…

  • |

    KESELAMATAN PEMIKIRAN

    Manhaj Salaf menjamin keselamatan pemikiran dari bahaya fahaman melampau tarekat yang memandulkan akal. Sebagai contohnya amalan sapu ludah dan minum air basuh kaki guru untuk dapat berkat. Amalan ini tidak berasas sama sekali dalam agama kerana tidak pernah dicontohkan oleh para Sahabat Nabi ﷺ antara sesama mereka. Demikian generasi Salaf…

  • |

    ASAS DAKWAH TAUHID

    – Esakan Allah / jauhi khurafat, syirik, taghut Asas akidah tauhid yang bebas daripada segala unsur khurafat dan syirik perlu menjadi pegangan setiap Muslim, dan berdasarkan asas inilah dakwah Islam perlu digiatkan sepertimana dakwah para rasul zaman berzaman. Firman Allah ﷻ: وَلَقَدۡ بَعَثۡنَا فِي كُلِّ أُمَّةٖ رَّسُولًا أَنِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ…

  • | |

    WALI ALLAH?

    Kyai Zaini Abdul Ghani @ Guru Sekumpul ialah seorang guru agama dari Indonesia. Dalam sebuah rakaman video ceramah di masjid kelihatan beliau secara tiba-tiba bangun dan mengangkat kain sarung di hadapan khalayak ramai. Sesuatu perbuatan yang sangat pelik dan memalukan. Walau bagaimanapun, kedudukan beliau yang kononnya sudah sampai ke darjat…

  • | |

    SEMBAH KUBUR DI NEGARA ISLAM

    Syeikh Muzammil Faqiri, seorang pendakwah Sudan menunjukkan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh para dai di negaranya. Kelihatan beberapa bangunan berkubah tiga segi dibina di atas sesetengah kubur di Sudan. Sesetengah masyarakat Islam di sana mempercayai bahawa penghuni kubur-kubur ini memiliki keistimewaan-keistimewaan di samping mampu memberi manfaat-manfaat tertentu buat para pengunjungnya…

  • | |

    HARI ASYURA ALA SYIAH AFGHANISTAN

    – Bidaah tanpa sempadan Jika Syiah Iran menyambut Hari Asyura (10 Muharam) dengan memukul belakang mereka dengan tali cemeti maka Syiah Afghanistan tidak mahu ketinggalan untuk turut menyambutnya. Video yang dilampirkan menunjukkan sekumpulan pengikut agama Syiah di Afghanistan mengadakan ritual menyambut Hari Asyura dengan cara meletakkan kaki atas bara api…