|

JANGAN MEMANDAI BACA AL-QURAN?

JANGAN MEMANDAI BACA AL-QURAN?

# Beri galakan, jangan ditakut-takutkan;
# Islam memudahkan, jangan dipersulitkan.

Umat Islam dituntut membaca al-Quran, Kalam Allah yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad ﷺ sebagai petunjuk wahyu, pedoman dan asbab kejayaan Muslim di dunia dan akhirat.

Terdapat banyak nas menjelaskan keutamaan membaca Al-Quran, antaranya sabda Nabi ﷺ:

مثَلُ المؤمنِ الَّذِي ‌يقْرَأُ ‌القرآنَ مثلُ الأُتْرُجَّةِ: ريحهَا طَيِّبٌ وطَعمُهَا حلْوٌ، ومثَلُ المؤمنِ الَّذي لَا ‌يَقْرَأُ ‌القُرْآنَ كَمثَلِ التَّمرةِ: لَا رِيح لهَا وطعْمُهَا حلْوٌ، ومثَلُ المُنَافِق الَّذِي ‌يَقْرَأُ ‌القرْآنَ كَمثَلِ الرِّيحانَةِ: رِيحها طَيّبٌ وطَعْمُهَا مرُّ، ومَثَلُ المُنَافِقِ الَّذِي لَا ‌يَقْرَأُ ‌القرآنَ كَمَثلِ الحَنْظَلَةِ: لَيْسَ لَها رِيحٌ وَطَعمُهَا مُرٌّ.

“Perumpamaan seorang Mukmin yang membaca Al-Quran adalah bagaikan buah utrujah; aromanya wangi dan rasanyta enak. Dan perumpamaan orang Mukmin yang tidak membaca Al-Quran adalah bagaikan buah kurma; tidak ada aromanya tetapi rasanya manis. Sedangkan perumpamaan orang munafik yang membaca Al-Quran adalah bagaikan bunga raihanah; aromanya wangi namun rasanya pahit. Dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Al-Quran adalah bagaikan buah hanzalah; ia tidak memiliki aroma dan rasanya pahit.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Hadis di atas menjelaskan bagaimana orang yang membaca Al-Quran diumpamakan dengan orang yang mengeluarkan aroma wangi dari mulutnya. Masakan tidak kerana dia sedang menuturkan Kalam Allah Yang Maha Agung lagi Maha Mulia.

Banyak ganjaran yang dijanjikan buat Muslim yang membaca Al-Quran, antaranya sabda Nabi ﷺ:

‌منْ ‌قرأَ حرْفاً مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فلَهُ حسنَةٌ، والحسنَةُ بِعشرِ أَمثَالِهَا لَا أَقول: الٓمٓ حَرفٌ، وَلكِن: أَلِفٌ حرْفٌ، ولامٌ حرْفٌ، ومِيَمٌ حرْفٌ.

“Barang siapa membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya satu kebaikan, sedangkan satu kebaikan itu dilipat gandakan menjadi sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan الٓمٓ satu huruf. Sebaliknya alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.”

[Sahih. Riwayat Tirmizi]

Tidak dinafikan bahawa Muslim dianjurkan mencantikkan suara ketika membaca Al-Quran iaitu dengan menyebut huruf-huruf dengan betul dan jelas serta memerdukan bacaan.

Baginda ﷺ bersabda:

مَنْ لَمْ ‌يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ فَلَيْسَ مِنَّا.

“Barang siapa tidak melagukan Al-Quran maka dia bukan daripada kalangan kami.”

[Sahih. Riwayat Abu Daud]

Dalam masa yang sama, maklum bahawa bukan semua orang memiliki bacaan merdu. Demikian juga keupayaan untuk menyebut huruf-huruf Al-Quran dengan betul dan jelas.

Sekiranya dalam kalangan orang Arab sendiri pun ada yang susah menyebut huruf-huruf Al-Quran dari makhrajnya (kerana terbiasa dengan bahasa Arab pasar – ‘ammi), inikan pula orang-orang ajam (bukan Arab).

Oleh itu apa yang penting ialah usaha.

Allah tidak membebankan hambaNya kecuali dengan apa yang mereka mampu. Firman Allah:

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَا.

“Allah tidak membebankan seseorang melainkan dengan apa yang terdaya olehnya.”

[Surah Al-Baqarah; 2:286]

Islam itu mudah lagi memudahkan:

https://www.facebook.com/idrissulaiman/posts/10218613925451170

Kerana itu mereka yang membaca Al-Quran dengan bersusah-payah (kerana tidak hafal atau sukar membaca) tetap diberi ganjaran. Sabda Nabi ﷺ:

الَّذِي يَقرَأُ القُرْآنَ وَهُو ماهِرٌ بِهِ معَ السَّفَرةِ الكرَامِ البررَةِ، وَالَّذِي يقرَأُ القُرْآنَ ‌ويتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُو عليهِ شَاقٌّ لَهُ أجْران.

“Orang yang membaca Al-Quran dan dia mahir dalam membacanya bersama para malaikat yang mulia lagi sangat taat. Sedangkan orang yang membaca Al-Quran dengan tertatih-tatih dan bacaan itu terasa sulit baginya maka dia mendapat dua pahala.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Mereka yang membaca Al-Quran dengan bertatih dijanjikan dua pahala.

Kata an-Nawawi dalam Syarah Muslim:

“(Dua pahala kerana) satu pahala untuk bacaan dan satu pahala (lagi) kerana bersusah-payah.”

Justeru setiap orang dengan keupayaan dan kemampuan masing-masing. Sedaya upaya kita pelajari bacaan Al-Quran. Akhirnya, Muslim tetap membaca Al-Quran walaupun dengan bertatih. Agama Islam memudahkan dan Allah tidak membebankan hambaNya kecuali dengan apa yang dia mampu.

Idris bin Sulaiman
Kajang
24 Rejab 1442H /
08 Mac 2021
#http://www.facebook.com/idrissulaiman

Similar Posts

  • |

    JANGAN MARAH

    # Menahan diri ketika marah Marah merupakan antara bentuk hasutan syaitan yang boleh menimbulkan banyak keburukan dan mudarat. Kerana itu terdapat banyak nas menjelaskan cara-cara untuk mengatasi penyakit ini serta mengurangkan kesan-kesan buruknya. Akhirnya, seseorang yang dapat mengawal dirinya ketika marah merupakan insan yang hebat dan berjaya. Ini berbeza dengan…

  • |

    MENGUTUK SERANGAN KE ATAS ARAB SAUDI

    MENGUTUK SERANGAN KE ATAS ARAB SAUDI Sewajarnya dunia umat Islam mengutuk serangan ke atas ARAB SAUDI yang berlaku baru-baru ini sebagai tanda solidariti ikatan ukhuwah sesama negara MUSLIM. Siapa lagi yang patut tampil ke hadapan memberi sokongan dan bantuan kepada negara MUSLIM seperti ARAB SAUDI jika bukan negara-negara MUSLIM lain…

  • |

    AGAMA KUFUR ITU BERBEZA-BEZA ATAU SAMA?

    AGAMA KUFUR ITU BERBEZA-BEZA ATAU SAMA? Firman Allah ﷻ: وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡ. “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan reda terhadapmu sehingga engkau menurut agama mereka (yang terpesong itu).” [Al-Quran, al-Baqarah, 2:120] Ramai daripada kalangan ulama fikah berhujah dengan firmannya: حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ. “Sehingga…

  • |

    (1) USTAZ MOHIB KHOULI MEMBURUK-BURUKKAN ARAB SAUDI

    (1) USTAZ MOHIB KHOULI MEMBURUK-BURUKKAN ARAB SAUDI # UMK Membuat tuduhan liar # Keliru tentang isu menghadkan penggunaan pembesar suara masjid # Arab Saudi tempat akan berlaku jahiliah? Banyak tuduhan-tuduhan beliau terhadap Arab Saudi bersifat melampau dan melulu. Beliau mengambil rujukan daripada laporan akhbar BBC (syarikat penyiaran British) tentang isu…

  • |

    FIKIRAN SIMPLISTIK

    FIKIRAN SIMPLISTIK Orang yang berfikiran simplistik akan melihat sekelilingnya dengan cara yang terlalu mudah. Mengubah sesuatu dengan cara kompleks boleh mengganggu cara fikirnya. Ya Allah, kurniakan buat kami ilmu yang bermanfaat serta amalan yang soleh. Idris bin Sulaiman Kajang 16 Safar 1441H / 16 Oktober 2019 Pagi yang cerah

  • |

    MAKSIAT: PERLU MALU ATAU JANGAN HIPOKRIT?

    Ada yang keliru tentang maksiat sama ada perlu disembunyikan kerana rasa malu atau boleh dizahirkan kepada umum supaya tidak bersifat hipokrit. Contohnya mungkin ada yang berkata “Aku hisap rokok secara terang-terangan kerana tidak mahu hipokrit.” Atau perempuan yang enggan memakai tudung (menutup aurat rambutnya) dengan alasan yang sama, tidak mahu…