ISLAM MODERATE

ISLAM MODERATE

Akibat terkesan dengan gaya fikir orang Barat dan terpukau dengan syubhat mereka, terdapat segelintir orang Islam merasa kagum dengan sikap sebahagian pemimpin Barat, NGO dan institusi di sana yang ‘zahirnya’ menyokong Islam, memperjuangkan hak-hak Muslim dan menuntut keadilan buat mereka.

Betapa bijaknya syaitan mempermainkan pemikiran mereka yang dangkal ini.

Mereka adalah golongan yang terpedaya dengan ‘waqi’ apa yang mereka lihat sedangkan ia hanya fatamorgana yang hakikatnya tidak seperti apa yang mereka sangka.

Ini bahana apabila kita membelakangkan Al-Quran dan Hadis serta pegangan Salaf As-Soleh, lalu merasa diri hebat mendakwa bahawa Islam itu perlu disesuaikan dengan perubahan zaman dan keadaan.

Walhal, mereka ini hanya mengajak Umat masuk ke dalam lubang biawak Yahudi dan Nasrani sebagaimana dalam hadis:

“Kamu akan terikut-ikut dengan orang-orang yang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta lalu jika mereka masuk ke dalam LUBANG BIAWAK pun, kamu akan turut sama memasukinya.”

(Sahih. Riwayat Ahmad)

Mereka lupa firman Allah:

“Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani sama sekali TIDAK AKAN REDA dengan kamu sehingga kamu ikut agama mereka.”

(Al-Baqarah: ayat 120)

Bagaimana pula dengan pemimpin Barat yang menyatakan sokongan mereka kepada Islam?

Di sini seorang Muslim perlu bijak menilai.

Ibarat pepatah, “Don’t judge a book by its cover.”

Perlu ditanya: Islam apakah yang mereka sokong? Islam menurut definisi siapa?

Jangan lupa, peperangan zaman Dajjal penuh muslihat.

‘By Deception We Shall Make War’

Dengan tipu muslihat kita melancarkan peperangan.

Demikian motto agensi perisikan Mossad negara Yahudi.

Adalah ‘naif’ berfikiran lurus bendul jika menyangka bahawa Islam yang dicanangkan oleh Barat adalah fahaman Islam tulen berteraskan Al-Quran dan Hadis menurut kefahaman Sahabat Nabi radhiallahu anhum.

Anda sedang bermimpi menipu diri sendiri dan lebih buruk lagi, anda telah membelakangi nas Al-Quran dan Hadis yang telah disebutkan sebahagiannya di sini.

Ketahuilah bahawa Islam yang dilaung-laungkan oleh Barat adalah Islam yang selari dengan ‘selera’ hawa nafsu mereka. Ia adalah fahaman Islam yang menepati rancangan Barat kafir untuk melemahkan Umat Islam dan menjauhkan mereka daripada Agama dan Tuhan mereka.

Mereka tahu bahawa Umat Islam tidak mudah meninggalkan Agama mereka dan menjadi ateis seperti ramai masyarakat Barat hari ini.

Untuk itu mereka menggunakan tipu helah memperdaya Umat Islam untuk menyangka bahawa Barat bersedia untuk menerima Islam dan
mempertahankan hak-hak Muslim.

Jangan lupa kita berbicara tentang para pemimpin Barat, kerajaan dan NGO-NGO mereka. BUKAN MASYARAKAT AWAM yang mungkin jujur membantu.

Jika Islam Pluralisma terlalu ekstrem (menganggap bahawa semua Agama itu sama, hanya nama tuhan sahaja yang berbeza), ia sukar diterima oleh kebanyakan masyarakat Islam, maka mereka akan mengajak kepada fahaman Islam Modern.

Islam Moden (Islamic Modernism) ialah fahaman yang mengajak supaya dilakukan pembaharuan ‘tajdid’ pada asas-asas fahaman dan pengamalan Islam agar ia selari dengan perkembangan zaman.

Bagi mereka, Islam di zaman Rasulullah sallalahu alaihi wassalam tidak lagi relevan dan tidak boleh dipraktik lagi di zaman sekarang.

Oleh itu, menurut mereka Islam perlu berubah mengikut aliran zaman dan keadaan sosial yang berbeza.

Cukup sahaja ditekankan hak individu dan budaya kemasyarakatan berasaskan tanggungjawab bersama, keadilan dan kebebasan.

Itulah fahaman Islam yang diinginkan oleh Barat. Itulah fahaman Islam Moderate (Islam Sederhana), Islam Liberal dan ‘Islam Tajdid’.

Adapun pentingnya menegakkan Tauhid, mengesakan Allah dalam ibadah, menjauhi syirik dan kufur, dan pentingnya ‘wala’ sayang dan memenangkan Agama dan orang Muslim, disamping ‘bara’ berlepas diri daripada hal syirik kufur serta orang-orangnya, ia diketepikan sama sekali atau ia didiamkan oleh para pendukung fahaman Islam Modern ini.

Menurut mereka:

“Bukan ini masanya”, “kita fokus kepada membanteras kezaliman dan menegakkan keadilan sejagat”, “apa yang penting adalah kita hormat menghormati”, “kita tunjukkan toleransi kita dan sisi positif agama kita” dan seumpamanya.

Sungguh mereka orang yang menyimpang.

Sedangkan di sisi Allah, perkara Tauhid dan membanteras syirik itulah yang menjadi keutamaan. Kerana perbuatan syirik dan kufur itulah kezaliman, penyelewengan dan perkara jijik yang paling besar.

“Sesungguhnya syirik adalah kezaliman yang paling besar.”

(Luqman, ayat 13)

Akhirnya, tidak dinafikan bahawa Agama Islam menuntut supaya kita bertindak bijaksana dalam berdakwah dan menonjolkan akhlak budi pekerti yang baik.

Tetapi jangan pula sampai tunduk menggadaikan Agama dan Akidah semata-mata kerana mahu meraih ihsan dan keredaan orang kafir.

Ini jelas menyalahi prinsip Agama yang melarang perbuatan mengangkat orang kafir sebagai teman rapat, sekutu, ketua, pendamping, penasihat dan teman pergaulan.

Firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman jangan kamu jadikan musuh-Ku dan musuhmu sebagai wali teman rapatmu”

(Al-Mumtahinah: ayat 1)

Sabda Nabi:

“Seseorang itu bersama dengan orang yang dicintainya”

(Sahih. Riwayat Ahmad)

Wallahu a’lam.

✍ Ustaz Idris Sulaiman
9 Jamadil awal 1438H bersamaan 6 Februari 2017

Tidak mahu terlepas artikel-artikel UIS? Klik saja di sini t.me/penaustazidrissulaiman

#penaustazidrissulaiman

Similar Posts

  • NIKMAT LEBIH DARI SYURGA

    NIKMAT LEBIH DARI SYURGA Apakah nikmat yang lebih daripada balasan syurga dengan segala isi kenikmatan yang terdapat di dalamnya; mahligai istana, pokok-pokok, buah-buahan, sungai-sungai, intan permata, emas, perak, bidadari-bidadari dan sebagainya? Jawapannya ialah nikmat dapat melihat Allah ﷻ. Sabda Nabi ﷺ: “Setelah ahli syurga memasuki syurga, Allah ﷻ berkata: Adakah…

  • HUKUM PERKATAAN DAN PANDANGAN MANUSIA

    HUKUM PERKATAAN DAN PANDANGAN MANUSIA #Kaedah-Kaedah Ilmiah (6) Segala perkataan dan pandangan manusia dalam apa yang berkait dengan Syariat perlu dikembalikan kepada al-Quran dan as-Sunah. Sekiranya perkataan dan pandangan seseorang itu menepati al-Quran dan as-Sunah maka ia kebenaran dan diterima. Sekiranya perkataan dan pandangan seseorang itu menyalahi al-Quran dan as-Sunah…

  • DOA MUSTAJAB KETIKA HAMPIR BERBUKA PUASA?

    DOA MUSTAJAB KETIKA HAMPIR BERBUKA PUASA? # Meluruskan salah faham Dianjurkan bagi orang yang berpuasa supaya memperbanyakkan doa sepanjang hari dia berpuasa berdasarkan sabda Nabi ﷺ: ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ. “Tiga (golongan) yang doa mereka tidak akan ditolak.” Kemudian Nabi ﷺ menyebutkan salah satu golongan tersebut ialah: الصَّائِمُ ‌حَتَّى ‌يُفْطِرَ….

  • SOLAT DI KUBUR

    SOLAT DI KUBUR Agama Islam MELARANG SOLAT di KUBUR. Tak kira di mana jua kubur itu berada. Nabi bersabda: لَعَنَ اللَّهُ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى اتَّخَذُوا قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِد “ALLAH MELAKNAT orang-orang Yahudi dan Nasrani. Mereka menjadikan KUBUR nabi-nabi mereka sebagai MASJID.” Riwayat Bukhari dan Muslim. Apa maksud menjadikan ‘KUBUR SEBAGAI MASJID’?…

  • KEBENARAN TIDAK DIUKUR DENGAN ORANG

    KEBENARAN TIDAK DIUKUR DENGAN ORANG #Kaedah-Kaedah Ilmiah (5) الحَقُّ لا يُعْرَفُ بِالرِّجَالِ وَإنَّمَا الرِّجَالُ يُعْرَفُونَ بِالحَقِّ. Kebenaran tidak diukur dengan mana-mana individu. Sebaliknya seseorang itu diukur dengan kebenaran. “The truth is not known by men, rather men are known by the truth”. Kebenaran ialah apa yang menepati dalil tanpa mengira…

  • KENDURI ARWAH & MERATAP

    KENDURI ARWAH & MERATAP Jika ada kematian SYARIAT menyarankan supaya masyarakat sekeliling menyediakan makanan buat keluarga si mati. Tujuannya jelas bagi MERINGANKAN beban yang dihadapi oleh keluarga si mati. Adapun budaya keluarga si mati perlu mengadakan jamuan kenduri arwah untuk tetamu yang datang, ini jelas MEMBEBANKAN. Bukan sahaja sekali pada…