|

HUKUM MENCIUM KAKI ULAMA

– Perbuatan tunduk sujud kepada manusia
– Pengikut Tarekat Naqsyabandiah Memberhalakan Guru Mereka?

Dalam tulisan sebelum ini saya sengaja tidak membahaskan permasalahan mencium kaki ulama kerana melihat adanya keluasan dalam perkara ini.

JAWAPAN KEPADA PENJELASAN TENTANG TAREKAT NAQSYABANDIAH AL-ALIYYAH

Tetapi apabila melihat kecenderungan sebahagian pihak gigih mempertahankan amalan yang dilakukan oleh pengikut-pengikut Tarekat Naqsyabandiah yang tunduk sujud dan mencium kaki guru mereka maka saya terpanggil untuk memberi penjelasan tentang hal ini.

Secara dasarnya memang telah sabit hadis sebahagian Sahabat mencium kaki Nabi ﷺ.

Tetapi perlu ditegaskan bahawa ini bukan amalan kelaziman mereka secara berterusan.

Kerana terdapat hanya dua buah hadis masyhur tentangnya iaitu hadis Safwan bin Assal radiallahuanhu yang menceritakan kisah dua orang Yahudi mencium kaki Nabi ﷺ dan hadis delegasi Abdul Qais yang apabila sampai ke Madinah mereka segera mendapatkan Nabi ﷺ lalu mencium tangan dan kaki baginda ﷺ.

Maklum bahawa jika amalan mencium kaki Nabi ﷺ menjadi kebiasaan para Sahabat maka tentu ada banyak riwayat yang menceritakannya. Ternyata tidak ada sama sekali riwayat-riwayat sedemikian.

CARA BENAR HORMAT ULAMA

Perlu ditegaskan bahawa cara yang benar untuk menghormati para ulama ialah dengan memberi salam dan berjabat tangan seperti mana sabit dalam hadis-hadis tentang kelebihan dan fadilat kedua-duanya.

Sabda Nabi ﷺ:

أَوَلا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ؟ أَفْشُوا السَّلامَ بَيْنَكُمْ.

“Mahukah kalian aku tunjukkan sesuatu yang mana jika kamu lakukan nescaya kalian akan saling menyayangi sesama kalian? Sebarkanlah salam sesama kamu.” [Riwayat Muslim]

Sabda Nabi ﷺ:

مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ، فَيَتَصَافَحَانِ إِلَّا غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَفْتَرِقَا.

“Tidak ada dua Muslim yang bertemu lalu mereka berjabat tangan melainkan diampunkan kedua-dua mereka sebelum mereka berpisah.” [Sahih. Riwayat Abu Daud]

Justeru walaupun dibolehkan mencium kaki guru tetapi keharusan ini bersyarat.

Ia tidak dibolehkan bagi guru-guru yang prihatin supaya murid-muridnya berbuat demikian. Seperti mana ada sebahagian yang siap menghulurkan tangannya supaya murid-muridnya menciumnya. Orang-orang seperti ini tidak layak tangannya dicium apatah lagi kakinya.

Di samping itu hendaklah ciuman ini tidak dilakukan kecuali jarang-jarang sahaja dan mengikut kesesuaian, bukan secara berterusan dalam setiap pertemuan.

Ini berdasarkan sabda Nabi ﷺ:

قَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ الرَّجُلُ مِنَّا يَلْقَى أَخَاهُ أَوْ صَدِيقَهُ أَيَنْحَنِي لَهُ؟ قَالَ: «لَا». قَالَ: أَفَيَلْتَزِمُهُ وَيُقَبِّلُهُ؟ قَالَ: «لَا». قَالَ: أَفَيَأْخُذُ بِيَدِهِ وَيُصَافِحُهُ؟ قَالَ: «نَعَمْ».

“Seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah! Sekiranya salah seorang daripada kami bertemu saudaranya atau rakannya, adakah dia tunduk untuknya? Jawab Nabi ﷺ “Tidak.” Dia berkata: Adakah dia memeluknya dan menciumnya? Jawab Nabi ﷺ “Tidak.” Dia bertanya lagi: Adakah dia mengambil (sebelah) tangannya dan berjabat tangan dengannya? Jawab Nabi ﷺ “Ya.” [Sahih. Riwayat Tirmizi]

Nabi ﷺ dalam hadis di atas secara tegas melarang perbuatan tunduk (apatah lagi sujud), memeluk dan mencium apabila bertemu saudara kenalan dan menganjurkan supaya berjabat tangan.

HUKUM SUJUD KEPADA MANUSIA

Perbuatan sujud kepada sesama manusia hukumnya haram secara sepakat di sisi para ulama.

Ulama hanya berbeza pendapat sama ada pelakunya melakukan dosa besar atau telah jatuh syirik dan kufur.

Kata Imam al-Qurtubi:

وَهَذَا السُّجُودُ الْمَنْهِيُّ عَنْهُ: قَدِ اتَّخَذَهُ جُهَّالُ الْمُتَصَوِّفَةِ عَادَةً فِي سَمَاعِهِمْ وَعِنْدَ دُخُولِهِمْ عَلَى مَشَايِخِهِمْ وَاسْتِغْفَارِهِمْ، فَيُرَى الْوَاحِدُ مِنْهُمْ إِذَا أَخَذَهُ الْحَالُ ـ بِزَعْمِهِ ـ يَسْجُدُ لِلْأَقْدَامِ، لِجَهْلِهِ.

“Sujud yang dilarang ini telah dijadikan oleh golongan ahli tasawuf yang jahil sebagai kebiasaan di tempat pengajian mereka, apabila masuk mengadap guru-guru mereka dan apabila berada di dalam majlis zikir-zikir mereka. Sampaikan salah seorang daripada mereka akan tunduk sujud mengadap kaki (gurunya) kononnya kerana sedang terlalu asyik dek kejahilannya.” [Tafsir al-Qurtubi, 1/294]

Kata Imam al-Nawawi:

مَا يَفْعَلُهُ كَثِيرٌ مِنْ الْجَهَلَةِ مِنْ السُّجُودِ بَيْنَ يَدَيْ الْمَشَايِخِ… ذَلِكَ حَرَامٌ قَطْعًا، بِكُلِّ حَالٍ، سَوَاءٌ كَانَ إلَى الْقِبْلَةِ أَوْ غَيْرِهَا، وَسَوَاءٌ قَصَدَ السُّجُودَ لِلَّهِ تَعَالَى، أَوْ غَفَلَ، وَفِي بَعْضِ صُوَرِهِ مَا يَقْتَضِي الْكُفْرَ، أَوْ يُقَارِبُهُ.

“Apa yang dilakukan oleh ramai orang jahil dengan sujud di hadapan guru-guru… perbuatan ini haram secara pasti dalam apa jua keadaan, sama ada dengan mengadap kiblat atau tidak, dan sama ada orangnya berniat sujud kerana Allah atau dia dalam keadaan lalai. Malah dalam beberapa keadaan boleh jatuh kufur atau hampir jatuh kufur.” [al-Majmuk, 4/69]

KESIMPULAN PERBUATAN PENGIKUT TAREKAT NAQSYABANDIAH

Berdasarkan keterangan di atas, dapat disimpulkan bahawa perbuatan pengikut-pengikut Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah mencium kaki guru mereka jelas termasuk dalam apa yang dilarang Agama kerana terdapat unsur-unsur melampau (ghuluw) yang jelas khususnya dengan mengambil kira sikap taasub mereka menggantungkan potret-potret guru mereka di dinding, amalan ‘Rabitah’ membayangkan wajah guru semasa solat dan yang lain.

——————-

SYIRIKNYA AMALAN ‘RABITAH’:

HALUSNYA SYIRIK

——————-

Adapun perbuatan mereka tunduk sujud di hadapan guru mereka maka itu jelas haram. Ulama hanya berbeza pendapat sama ada ia dosa besar atau orangnya benar-benar telah jatuh syirik dan kufur.

Daripada Allah ﷻ jua kita memohon hidayah.

Idris bin Sulaiman
Kajang
11 Ramadan 1443H /
13 April 2022

Similar Posts