|

JAWAPAN KEPADA PENJELASAN TENTANG TAREKAT NAQSYABANDIAH AL-ALIYYAH

– Penjelasan Syeikh Lokman Shazly bin Dato’ Seri Azlan
(wakil Tarekat Naqsyabandiah di Malaysia)

Tular di media sosial hari ini penjelasan yang dikemukakan oleh wakil Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah di Malaysia, Syeikh Lokman Shazly bin Dato’Seri Azlanii Zaharin berkenaan apa yang beliau sifatkan sebagai tohmahan, tuduhan dan kekeliruan tentang amalan Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani.

https://www.facebook.com/muftins/posts/345025624324718

Berikut ialah jawapan kepada penjelasan yang beliau kemukakan itu mengikut nombor-nombornya.

PENJELASAN NO. 1 & 4

Kini Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah dipimpin oleh anak Syeikh Nazim al-Haqqani iaitu Syeikh Mehmet Adil (anak 1) yang berakidah Maturidi, berfekahkan Hanafi dan bertasawuf Imam Junayd al-Baghdadi.

JAWAPAN:

Tidakkah pegangan beliau ini boleh menyebabkan pelanggaran syarat yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2020 yang mensyaratkan pengamal hendaklah memastikan tidak berlaku amalan dan perbuatan yang boleh menimbulkan fitnah dan salah faham terhadap agama dan tidak bersesuaian dengan uruf setempat kerana Malaysia dikatakan berpegang kepada akidah Asyairah dan berfekahkan mazhab Syafie?

PENJELASAN NO. 2 & 3

Tariqat Naqsyabandiah al-Aliyyah diputuskan menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2000 tetapi diluluskan pula di Negeri Sembilan pada tahun 2005 kononnya setelah melalui proses penilaian, saringan rapi dan ketat ulama.

JAWAPAN:

Mengapa ada dua fatwa yang berbeza? Adakah ini bermaksud Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2000 telah mengeluarkan keputusan secara semberono tanpa melalui proses penilaian, saringan rapi dan ketat ulama? Berat dakwaan ini.

PENJELASAN NO. 6

Video Syeikh Bahauddin Adil (anak 2) menari bersama iringan muzik ialah video lama pada tahun 2012 dalam temasya ‘farah’ (majlis kahwin?) dan bukan majlis zikir Tarekat atau selawat yang kelazimannya tidak dibenarkan percampuran antara lelaki dan perempuan.

Kononnya ayahandanya Syeikh Nazim al-Haqqani dan kekandanya Syeikh Mehmet Adil telah menegur perbuatan Syeikh Bahauddin itu yang kemudian menginsafi kejadian tersebut.

Tambah pula, Mursyid Tarekat kini ialah Syeikh Mehmet Adil (anak 1) dan bukan Syeikh Bahauddin (anak 2).

JAWAPAN:

Ini kenyataan hendak melepaskan diri dan bersifat penafian semata-mata.

Apa beza antara temasya ‘farah’ dengan majlis zikir atau selawat dari sudut hukum syarak? Dalam majlis pertama halal manakala dalam majlis kedua haram, begitu?

Mana sumber / bukti teguran tersebut? Adakah Syeikh Bahauddin (anak 2) benar-benar telah insaf? Ini hanya dakwaan dan andaian.

Tambah pula ada video yang diterbitkan pada tahun 2017 dan 2018 menunjukkan sebaliknya di mana Syeikh Bahauddin masih menari bersama iringan muzik di hadapan kedua-dua ayahandanya Syeikh Nazim al-Haqqani dan kekandanya Syeikh Mehmet Adil!

Mursyid Tarekat Syeikh Mehmet Adil bin Nazim al-Haqqani (anak 2) pun tidak kurang sesatnya. Boleh lihat video majlis zikirnya dan juga majlis perkahwinan anak perempuannya di bawah.

PENJELASAN NO. 7

Zikir Hu Hu Hu diamalkan oleh tarekat-tarekat muktabar sedunia. Manakala video yang tular adalah dalam majlis tertutup dan bukan untuk tontonan awam.

JAWAPAN:

Apa yang pasti zikir ini bukan muktabar di sisi Al-Quran dan as-Sunah kerana Nabi ﷺ tidak pernah mengajarkannya dan tidak pernah pula diamalkan oleh para Sahabat Nabi ﷺ dan generasi awal Islam. Zikir ini hanya timbul dan direka-reka kemudian.

Nas-nas Al-Quran yang dibawakan jelas telah diselewengkan pemahamannya kerana jika ia benar nescaya telah disampaikan sendiri oleh Nabi ﷺ atau difahami sedemikian oleh para Sahabat baginda ﷺ.

Ternyata Nabi ﷺ tidak pernah mentafsirkan nas-nas Al-Quran itu dengan pemahaman sedemikian dan para Sahabat Nabi ﷺ serta generasi awal Islam pun tidak memahaminya begitu. Ini menunjukkan bahawa zikir Hu Hu Hu dan tafsiran nas-nas Al-Quran yang dijadikan sebagai sandarannya adalah batil dan tertolak.

Sejak bila pula dalam Islam ada perbezaan antara majlis zikir tertutup dan terbuka? Ini antara sekian banyak bukti yang menunjukkan kesesatan Tarekat ini dan bahawasanya banyak ajaran dan amalan Tarekat ini yang dirahsiakan daripada pengetahuan umum kerana ia pelik dan ganjil. Sedangkan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi ﷺ bersifat syumul dan untuk semua lapisan masyarakat. Tidak ada istilah amalan khas bagi kelompok-kelompok tertentu. Sabda Nabi ﷺ “Dan aku diutus untuk semua manusia” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

PENJELASAN NO. 8

Rakaman video di Pulau Besar menunjukkan Syeikh Adnan Kabbani sedang tawassul (menjadikan sesuatu / seseorang sebagai perantara dengan Allah ﷻ), istighathah (meminta pertolongan) dan tabarruk (mengambil berkat) dengan wali yang telah meninggal dunia.

Tingkah laku tersebut sepatutnya tidak dilakukan oleh Syeikh Adnan kerana tidak sesuai dengan uruf setempat dan beliau telah bertaubat dan meminta maaf pada tahun 2014 di pejabat JAKIM.

Syeikh Mehmet Adil (anak 1) pula memberi jaminan bahawa amalan sedemikian telah ditinggalkan.

JAWAPAN:

Sekali lagi maaf, ini hanya kenyataan untuk melepaskan diri dan bersifat dakwaan semata-mata.

Apa yang pasti, perbuatan pergi ke kubur meminta pertolongan (istighathah) adalah syirik yang jelas di mana saban hari Muslim membaca firman Allah ﷻ “Engkaulah sahaja (ya Allah) Yang kami sembah dan kepada Engkau sahaja kami memohon pertolongan” (Al-Quran, al-Fatihah, 1:5) dan firman Allah ﷻ “Janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah” (Al-Quran, al-Jin, 72:18).

Amalan ritual di kubur yang dilakukan oleh Tarekat ini adalah antara sekian banyaknya bukti yang menunjukkan kesesatan dan penyimpangannya daripada ajaran Islam yang murni.

Malah Syeikh Mehmet Adil (anak 1) dilihat turut melakukan hal yang sama pergi ke kubur untuk tawassul, istighathah atau tabarruk seperti dalam video di bawah.

PENJELASAN NO. 10

Gambar Syeikh Nazim al-Haqqani (ayah) bersalaman dengan wanita ajnabi ialah perkara khilafiah tetapi pihak Tarekat telah dinasihatkan untuk tidak membenarkannya.

JAWAPAN:

Ini antara banyak sebab mengapa Tarekat ini dan pengasasnya bermasalah dan membawa banyak syubhah sehingga difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2000.

Sedangkan Nabi ﷺ bersabda:

لَأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطٍ مِنْ حَدِيدٍ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ ‌يَمَسَّ ‌امْرَأَةً لَا تَحِلُّ لَهُ.

“Sekiranya dicucuk kepala salah seorang kamu dengan jarum daripada besi itu adalah lebih baik buatnya berbanding dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya.” (Sahih. Riwayat al-Tabarani)

——————-

Akhir kata, firman Allah ﷻ “Tidaklah sesudah kebenaran itu melainkan kesesatan.” (Al-Quran, Yunus, 10:32)

Apa yang benar ialah apa yang terkandung dalam Al-Quran, dan as-Sunah mengikut fahaman para Sahabat Nabi ﷺ manakala apa yang menyalahinya adalah kesesatan dan kebatilan.

Daripada Allah ﷻ jua kita memohon petunjuk dan bimbingan.

Idris bin Sulaiman
Kajang
09 Ramadan 1443H /
11 April 2022

Similar Posts

One Comment

Comments are closed.