Old fountain pen
|

ARTIKEL AJARAN MARTABAT TUJUH: KOMEN USTAZ IQBAL ZAIN

Salah seorang ustaz yang hadir dalam seminar Ilmu Martabat Tujuh beberapa hari lepas, Ustaz Iqbal Zain (UIZ) telah memberi komen terhadap artikel saya semalam berkenaan ajaran Martabat Tujuh.

AJARAN MARTABAT TUJUH

Beliau yang berpendirian bahawa ajaran Martabat Tujuh tidak bertentangan dengan akidah Ahli Sunah Wal Jemaah malah mendakwa ia menepati erti akidah yang benar mengatakan bahawa tulisan saya tidak cermat dan menyalahi manhaj ilmu yang sebenar.

Ajaib.

Bagaimana pula seorang yang mengangkat individu seperti Ibnu Arabi (mati 638H) dan menobatkannya sebagai seorang ‘imam’ boleh berkata sedemikian.

Sedangkan Ibnu Arabi jelas merupakan seorang tokoh sesat, pengasas ajaran Wehdatul Wujud dan pengarang buku Fusus al-Hikam yang penuh dengan kebatilan dan kekufuran kerana tidak membezakan antara Allah ﷻ dengan makhluk dan menganggap bahawa semua zat yang wujud ialah Allah ﷻ.

Bukunya Fusus al-Hikam menjadi sebesar-besar bukti kesesatan beliau serta ajaran Wehdatul Wujud yang dibawa.

Kata Ibnu Arabi “Sesungguhnya Allah tidak disucikan daripada apa-apa kerana segala sesuatu itu ain dan zatNya. Malah sesiapa yang mensucikanNya daripada segala apa yang wujud maka dia jahil tentang Allah dan tidak mengenaliNya.” [Fusus al-Hikam, hlm. 86]

Katanya lagi “Dan antara namaNya ialah al-‘Ali (Yang Tinggi). Tinggi atas siapa? Sedangkan tiada siapa kecuali Dia. Maka Dialah yang tinggi pada zatNya. Atau atas apa? Sedangkan tiada ia kecuali Dia. Maka tinggiNya ialah untuk diriNya. Adapun pada yang wujud maka Dialah ain segala yang wujud. Adapun nama-nama (yang wujud) itulah perkara-perkara baharu yang tinggi pada zatnya dan tiadalah kecuali Dia.” [Fusus al-Hikam, hlm. 76]

Akhirnya kata Ibnu Arabi “Justeru barang siapa memahami apa yang telah kami jelaskan iaitu bahawasanya penafian sesuatu itu dalam waktu yang sama menjadi penetapannya akan tahu bahawa (Tuhan) Yang Hak yang disucikan merupakan makhluk yang ditasybihkan (diserupakan dengan makhluk).” [Fusus al-Hikam, hlm. 78]

Demikian sebahagian kecil daripada ungkapan-ungkapan kufur Ibnu Arabi.

UIZ mengatakan saya keliru sedangkan saya berpandangan bahawa UIZ sama ada tidak faham ajaran Martabat Tujuh dan Wehdatul Wujud di samping tidak tahu wajah sebenar pelopor ajaran sesat ini, Ibnu Arabi atau beliau sekadar bermuslihat dan berbohong.

Saya mahu rasa yang pertama.

Dalam masa yang sama, bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Abdul Fattah Haron yang banyak membongkar kebatilan ajaran sesat di Malaysia menjelaskan bahawa rata-rata penganut ajaran Martabat Tujuh dan Wehdatul Wujud daripada kalangan masyarakat awam menyangka bahawa mereka ahli tasawuf sedangkan sedar atau tidak ajaran yang mereka anuti mempunyai banyak unsur-unsur batiniah yang menganggap bahawa Rasulullah ﷺ sekadar membawa syariat zahir sahaja sedangkan ‘Ada batin di sebalik setiap zahir dan zahir itu kulit di mana jika sudah dapat isi maka kulit tidak berguna lagi’.

Prof. Abdul Fattah turut mengatakan bahawa dalam kalangan sebahagian penganut ajaran ini bermuka-muka khususnya apabila mereka mengerjakan suruhan syariat di hadapan ‘orang-orang syariat’ sedangkan apabila berjauhan mereka berkata “Orang-orang syariat bodoh kerana hanya mengutamakan kulit sedangkan kita mengutamakan isi.”

Tambah beliau pengikut-pengikut ajaran sesat ini bergerak secara rahsia sehinggakan mana-mana murid yang mahu belajar dikehendaki bersumpah tidak membocorkan rahsia manakala isi ajaran bagi seorang murid mungkin berbeza daripada murid lain sekalipun mereka belajar daripada guru yang sama.

Kerana terlalu rahsia, seorang penganut ajaran Wehdatul Wujud pernah berterus terang “Ilmu ini sepatutnya diajarkan oleh guru kepada murid secara bertentangan empat biji mata dalam sebuah bahtera di tengah lautan kerana jika diberitahu dalam rumah dikhuatiri sang cicak mendengarnya lalu ia masuk syurga!” kata Prof Abdul Fattah.

UIZ di akhir komennya meminta supaya saya kongsikan nama tokoh ulama Martabat Tujuh yang saya jadikan sebagai rujukan.

Maaf, saya khuatir UIZ akan meminta nombor ISBNnya pula.

Supaya lebih mudah, mengapa tidak UIZ huraikan sahaja ajaran Martabat Tujuh dan sejauh mana kaitannya dengan fahaman Wehdatul Wujud, dan apa alasan UIZ menobatkan Ibnu Arabi sebagai seorang tokoh sedangkan jelas beliau seorang yang sesat.

Walau apa pun saya tidak terlalu optimis kerana acap kali melihat UIZ memberi huraian panjang lebar sehingga hampir berjela-jela tanpa guna kerana tidak memberi jawapan tuntas.

Idris bin Sulaiman
Kajang
07 Zulhijah 1443H /
07 Julai 2022

Similar Posts

  • |

    ANTARA TAKAFUL SYARIE & TAKAFUL KONVENSIONAL

    Yang pertama bertujuan untuk tolong-menolong, manakala yang kedua ialah untuk menjana keuntungan. Apa yang diasaskan untuk ‘tolong-menolong’ = Badan Kebajikan. Apa yang diasaskan untuk menjana ‘keuntungan’ = Syarikat Perniagaan. Syarikat Perniagaan = untuk jana keuntungan; BUKAN untuk kerja-kerja kebajikan. Badan Kebajikan = untuk kerja-kerja bantuan secara sukarela, mengumpul dana bagi…

  • |

    ARAK HALAL?

    ARAK HALAL? Di antara tanda akhir zaman ialah berleluasanya minum arak atas nama bukan arak. Sabda Nabi ﷺ: إن من أشراط الساعة أن يرفع العلم ويظهر الجهل ويفشو الزنا ويشرب الخمر. “Sesungguhnya di antara tanda (hampirnya) Hari Kiamat ialah ilmu diangkat, kejahilan terserlah, zina dan minum arak berleluasa”. Sahih. Riwayat…

  • | |

    MENOLAK DAKWAAN USTAZ MUHAIZAD:

    MENOLAK DAKWAAN USTAZ MUHAIZAD: ILMU HADIS DIBINA ATAS SANGKAAN Ringkasan dakwaan Ustaz Muhaizad: – Kita tidak boleh mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ benar-benar bersabda secara pasti dan yakin termasuklah para ulama ahli hadis kerana mereka menerima hadis itu secara riwayat sedangkan perawi itu walaupun dia thiqah tetapi mungkin dia berdusta; –…

  • |

    ETIKA BERPAKAIAN

    ETIKA BERPAKAIAN Cara seseorang berpakaian mencerminkan peribadi. Terdapat pakaian yang baik seperti mana terdapat pakaian yang buruk. Ungkapan Inggeris menyebut ‘First impression counts’ (Tanggapan pertama sangat penting). Kerana itu lumrah bagi manusia untuk menjaga pakaiannya apabila keluar rumah lebih-lebih lagi apabila ada urusan penting seperti temu duga kerja, majlis keramaian…

  • | |

    BERITA LUCAH ARTIS MENCEMARKAN KESUCIAN RAMADAN

    Baru-baru ini negara gempar dengan isu stoking kalimah Allah yang menimbulkan kemarahan orang ramai kerana menghina nama Allah ﷻ dan mencemarkan kesucian bulan Ramadan. Kini media tempatan tanpa segan silu menyajikan pula berita-berita lucah, perbuatan curang menjalin hubungan terlarang antara sesama artis. Ini tidak wajar apatah lagi di hujung bulan…