|

MAKSIAT: PERLU MALU ATAU JANGAN HIPOKRIT?

Ada yang keliru tentang maksiat sama ada perlu disembunyikan kerana rasa malu atau boleh dizahirkan kepada umum supaya tidak bersifat hipokrit.

Contohnya mungkin ada yang berkata “Aku hisap rokok secara terang-terangan kerana tidak mahu hipokrit.”

Atau perempuan yang enggan memakai tudung (menutup aurat rambutnya) dengan alasan yang sama, tidak mahu hipokrit.

Jelas pandangan ini keliru.

Malah termasuk dalam ‘talbis iblis’ tipu daya syaitan.

Ini kerana syariat memang menuntut supaya Muslim menyembunyikan perbuatan-perbuatan maksiatnya.

Sedangkan setiap anak Adam pasti melakukan kesalahan dan kesilapan, tiada sesiapa yang maksum.

Adapun menzahirkan maksiat dan mengakuinya secara terbuka adalah salah dan dilarang.

Firman Allah ﷻ:

لَّا يُحِبُّ ٱللَّهُ ٱلۡجَهۡرَ بِٱلسُّوٓءِ مِنَ ٱلۡقَوۡلِ.

“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dizahirkan secara terang-terangan (untuk mendedahkan aib sendiri atau orang lain).”

[Al-Quran, al-Nisaa’, 4:148]

Ya, perbuatan menceritakan maksiat yang telah dilakukan atau melakukan dosa secara terbuka termasuk dalam erti membuka aib sendiri yang dilarang Agama.

Muslim disuruh supaya menutup aibnya.

Begitu juga dengan aib kesalahan orang lain, jika tiada maslahat maka ia perlu disembunyikan.

Ramai mungkin tidak sedar bahawa perbuatan menceritakan kepada khalayak maksiat yang dilakukan oleh seseorang individu secara tidak langsungnya mempromosikan maksiat tersebut.

Sedangkan ini salah malah termasuk dalam dosa besar sebagaimana firman Allah ﷻ:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَٰحِشَةُ فِي ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِ.

“Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan keji itu tersiar dalam kalangan orang-orang beriman mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat.”

[Al-Quran, al-Nur, 24, 19]

Sabda Nabi ﷺ:

كُلُّ أَمَّتِى مُعَافًى إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ، وَإِنَّ مِنَ الْمَجَانَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ ، فَيَقُولَ يَا فُلاَنُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا ، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللهِ عَنْهُ.

“Setiap umatku diberikan keampunan melainkan golongan Mujahirin. Sesungguhnya antara perbuatan mendedahkan dosa itu ialah dengan seseorang itu melakukan sesuatu pada satu malam kemudian keesokan paginya dia bangun dalam keadaan Allah telah menutup aibnya lalu dia berkata “Wahai fulan, semalam aku melakukan dosa ini dan itu.” Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup aibnya itu tetapi dia bangun keesokan paginya dan membuka aib yang Allah telah tutup itu.”

[Sahih. Riwayat Bukhari & Muslim]

Maka awas, jangan tergolong dalam kalangan ‘Golongan Mujahirin’, orang-orang yang mendedahkan dosanya sendiri.

Menurut Ibnu Battal, menzahirkan dosa sendiri menunjukkan sikap tidak peduli hak-hak Allah, Rasulullah dan orang orang-orang beriman, di samping sikap melawan dan derhaka.

Pengguna-pengguna media sosial harus berhati-hati dalam hal ini, jangan mudah membuka aib sendiri atau orang lain kerana Nabi ﷺ bersabda:

وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.

“Barang siapa menutup aib saudara Muslimnya maka Allah akan menutup aibnya pada Hari Kiamat.”

[Sahih. Riwayat Bukhari & Muslim]

Menutup aib dosa kerana rasa malu adalah sebahagian daripada iman.

Orang yang rasa malu dengan dosanya lebih mudah untuk bertaubat.

Berbeza dengan mereka yang menzahirkannya kepada khalayak dengan penuh bangga tetapi membalutnya dengan kain alas agama kononnya tidak mahu jadi munafik, jelasnya mereka keliru dan terpedaya dengan syaitan.

Perlu ditegaskan bahawa hipokrit ialah sifat orang munafik yang menyembunyikan kufur dan menzahirkan Islam.

Bezakan antara rasa malu dan hipokrit.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
26 Rejab 1444H
17 Februari 2023

Similar Posts

  • |

    AHLI PEMIKIR?

    AHLI PEMIKIR? Antara gelaran-gelaran yang mungkin kita pernah dengar tetapi maksudnya kurang jelas dan menimbulkan tanda tanya serta kemusykilan mengapa ia digunakan sedemikian ialah gelaran tokoh pemikir, ahli pemikir Islam dan seumpamanya. Mungkin ada yang berkata mengapa seseorang individu itu boleh dikatakan sedemikian sedangkan orang lain pun boleh berfikir. Dan…

  • PENDAPAT JUMHUR ULAMA ADALAH BENAR?

    # Pendapat majoriti tidak semestinya benar Sekiranya pendirian jumhur ulama adalah ukuran kebenaran maka ini bererti bahawa setiap pendapat minoriti adalah salah. Lalu setiap pandangan ulama yang menyalahi jumhur dalam apa jua permasalahan perlu disaring dan dianggap batil semata-mata kerana ia menyalahi pendirian jumhur ulama. Tiada mana-mana ulama yang berkata…

  • |

    IJAZAH KEDOKTORAN (PhD)

    IJAZAH KEDOKTORAN (PhD) Alhamdulillah setelah dipermudahkan urusan peperiksaan lisan (viva) yang berlangsung semalam pagi ini menerima pula surat perakuan lulus dan layak menerima ijazah kedoktoran dengan beberapa pembetulan. Segala puji bagi Allah ﷻ. Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang membantu dan memberi semangat sepanjang pengajian berlangsung, keluarga dan sahabat handai. Jasa…

  • |

    MAKAN BERSUAP

    MAKAN BERSUAP #Berkat Sisa Makanan Tuan Guru Capal Adakah dibolehkan bertabaruk (mengambil berkat) daripada para ulama dan orang-orang soleh? Jawapan: Tidak boleh bertabaruk dengan sesiapa selain Nabi ﷺ tidak kira sama ada sisa wuduknya, makanannya, rambutnya, peluhnya atau apa jua dari tubuh badannya. Hal ini semua khas buat Nabi ﷺ…