|

ISLAM MODERATE

ISLAM MODERATE

Akibat terkesan dengan gaya fikir orang Barat dan terpukau dengan syubhat mereka, terdapat segelintir orang Islam merasa kagum dengan sikap sebahagian pemimpin Barat, NGO dan institusi di sana yang ‘zahirnya’ menyokong Islam, memperjuangkan hak-hak Muslim dan menuntut keadilan buat mereka.

Betapa bijaknya syaitan mempermainkan pemikiran mereka yang dangkal ini.

Mereka adalah golongan yang terpedaya dengan ‘waqi’ apa yang mereka lihat sedangkan ia hanya fatamorgana yang hakikatnya tidak seperti apa yang mereka sangka.

Ini bahana apabila kita membelakangkan Al-Quran dan Hadis serta pegangan Salaf As-Soleh, lalu merasa diri hebat mendakwa bahawa Islam itu perlu disesuaikan dengan perubahan zaman dan keadaan.

Walhal, mereka ini hanya mengajak Umat masuk ke dalam lubang biawak Yahudi dan Nasrani sebagaimana dalam hadis:

“Kamu akan terikut-ikut dengan orang-orang yang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta lalu jika mereka masuk ke dalam LUBANG BIAWAK pun, kamu akan turut sama memasukinya.”

(Sahih. Riwayat Ahmad)

Mereka lupa firman Allah:

“Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani sama sekali TIDAK AKAN REDA dengan kamu sehingga kamu ikut agama mereka.”

(Al-Baqarah: ayat 120)

Bagaimana pula dengan pemimpin Barat yang menyatakan sokongan mereka kepada Islam?

Di sini seorang Muslim perlu bijak menilai.

Ibarat pepatah, “Don’t judge a book by its cover.”

Perlu ditanya: Islam apakah yang mereka sokong? Islam menurut definisi siapa?

Jangan lupa, peperangan zaman Dajjal penuh muslihat.

‘By Deception We Shall Make War’

Dengan tipu muslihat kita melancarkan peperangan.

Demikian motto agensi perisikan Mossad negara Yahudi.

Adalah ‘naif’ berfikiran lurus bendul jika menyangka bahawa Islam yang dicanangkan oleh Barat adalah fahaman Islam tulen berteraskan Al-Quran dan Hadis menurut kefahaman Sahabat Nabi radhiallahu anhum.

Anda sedang bermimpi menipu diri sendiri dan lebih buruk lagi, anda telah membelakangi nas Al-Quran dan Hadis yang telah disebutkan sebahagiannya di sini.

Ketahuilah bahawa Islam yang dilaung-laungkan oleh Barat adalah Islam yang selari dengan ‘selera’ hawa nafsu mereka. Ia adalah fahaman Islam yang menepati rancangan Barat kafir untuk melemahkan Umat Islam dan menjauhkan mereka daripada Agama dan Tuhan mereka.

Mereka tahu bahawa Umat Islam tidak mudah meninggalkan Agama mereka dan menjadi ateis seperti ramai masyarakat Barat hari ini.

Untuk itu mereka menggunakan tipu helah memperdaya Umat Islam untuk menyangka bahawa Barat bersedia untuk menerima Islam dan
mempertahankan hak-hak Muslim.

Jangan lupa kita berbicara tentang para pemimpin Barat, kerajaan dan NGO-NGO mereka. BUKAN MASYARAKAT AWAM yang mungkin jujur membantu.

Jika Islam Pluralisma terlalu ekstrem (menganggap bahawa semua Agama itu sama, hanya nama tuhan sahaja yang berbeza), ia sukar diterima oleh kebanyakan masyarakat Islam, maka mereka akan mengajak kepada fahaman Islam Modern.

Islam Moden (Islamic Modernism) ialah fahaman yang mengajak supaya dilakukan pembaharuan ‘tajdid’ pada asas-asas fahaman dan pengamalan Islam agar ia selari dengan perkembangan zaman.

Bagi mereka, Islam di zaman Rasulullah sallalahu alaihi wassalam tidak lagi relevan dan tidak boleh dipraktik lagi di zaman sekarang.

Oleh itu, menurut mereka Islam perlu berubah mengikut aliran zaman dan keadaan sosial yang berbeza.

Cukup sahaja ditekankan hak individu dan budaya kemasyarakatan berasaskan tanggungjawab bersama, keadilan dan kebebasan.

Itulah fahaman Islam yang diinginkan oleh Barat. Itulah fahaman Islam Moderate (Islam Sederhana), Islam Liberal dan ‘Islam Tajdid’.

Adapun pentingnya menegakkan Tauhid, mengesakan Allah dalam ibadah, menjauhi syirik dan kufur, dan pentingnya ‘wala’ sayang dan memenangkan Agama dan orang Muslim, disamping ‘bara’ berlepas diri daripada hal syirik kufur serta orang-orangnya, ia diketepikan sama sekali atau ia didiamkan oleh para pendukung fahaman Islam Modern ini.

Menurut mereka:

“Bukan ini masanya”, “kita fokus kepada membanteras kezaliman dan menegakkan keadilan sejagat”, “apa yang penting adalah kita hormat menghormati”, “kita tunjukkan toleransi kita dan sisi positif agama kita” dan seumpamanya.

Sungguh mereka orang yang menyimpang.

Sedangkan di sisi Allah, perkara Tauhid dan membanteras syirik itulah yang menjadi keutamaan. Kerana perbuatan syirik dan kufur itulah kezaliman, penyelewengan dan perkara jijik yang paling besar.

“Sesungguhnya syirik adalah kezaliman yang paling besar.”

(Luqman, ayat 13)

Akhirnya, tidak dinafikan bahawa Agama Islam menuntut supaya kita bertindak bijaksana dalam berdakwah dan menonjolkan akhlak budi pekerti yang baik.

Tetapi jangan pula sampai tunduk menggadaikan Agama dan Akidah semata-mata kerana mahu meraih ihsan dan keredaan orang kafir.

Ini jelas menyalahi prinsip Agama yang melarang perbuatan mengangkat orang kafir sebagai teman rapat, sekutu, ketua, pendamping, penasihat dan teman pergaulan.

Firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman jangan kamu jadikan musuh-Ku dan musuhmu sebagai wali teman rapatmu”

(Al-Mumtahinah: ayat 1)

Sabda Nabi:

“Seseorang itu bersama dengan orang yang dicintainya”

(Sahih. Riwayat Ahmad)

Wallahu a’lam.

✍ Ustaz Idris Sulaiman
9 Jamadil awal 1438H bersamaan 6 Februari 2017

Tidak mahu terlepas artikel-artikel UIS? Klik saja di sini t.me/penaustazidrissulaiman

#penaustazidrissulaiman

Similar Posts

  • |

    BERPENAT-PENAT DAHULU

    Sejauh mana seseorang itu bersungguh-sungguh dan bersusah-payah mengharungi kesulitan sebanyak itu jugalah dia mengecapi kegembiraan dan rasa senang. Ini kerana tidak ada kesenangan bagi sesiapa yang tidak mengharungi kesusahan, dan tidak ada kenikmatan bagi sesiapa yang tidak sabar menanggung susah payah. Demikian tidak ada kerehatan bagi mereka yang tidak menempuhi…

  • |

    HIDUPKAN SUNAH MATIKAN BIDAAH

    Wasiat Nabi ﷺ buat generasi akhir zaman pada kala berlaku banyak perselisihan dan perpecahan, kata baginda ﷺ: فَإنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلافًا كَثِيرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّة الخُلَفَاء المَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِين تَمسَّكُوا بِها وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذ وَإيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ فَإنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَة وَكُلّ بِدْعَةٍ ضَلالَةٍ. “Sesungguhnya barang siapa daripada…

  • |

    ANTARA TAKAFUL SYARIE & TAKAFUL KONVENSIONAL

    Yang pertama bertujuan untuk tolong-menolong, manakala yang kedua ialah untuk menjana keuntungan. Apa yang diasaskan untuk ‘tolong-menolong’ = Badan Kebajikan. Apa yang diasaskan untuk menjana ‘keuntungan’ = Syarikat Perniagaan. Syarikat Perniagaan = untuk jana keuntungan; BUKAN untuk kerja-kerja kebajikan. Badan Kebajikan = untuk kerja-kerja bantuan secara sukarela, mengumpul dana bagi…

  • |

    NOVUS ORDO SECLOROM

    NOVUS ORDO SECLOROM # New World Order # Order Baru Dunia Slogan yang tertera di bawah simbol piramid dalam wang satu dollar Amerika ini bermaksud ‘New order of the ages’ (Zaman order baru). Ia dikaitkan dengan slogan ‘New World Order’ (Order Baru Dunia) yang merujuk kepada perancangan besar golongan elit…

  • |

    SYUKUR, SABAR & ISTIGHFAR

    Kata Syeikh Saleh al-Fauzan: Jika diberi bersyukur, jika diuji bersabar dan jika terbuat dosa beristighfar. Muslim perlu kepada ketiga-tiga perkara ini untuk bahagia. Kerana kebahagiaan hakiki itu bukan dengan harta dan anak, bukan dengan kuasa dan jawatan, dan bukan dengan mengisi keinginan nafsu dan syahwat. Sebaliknya kebahagiaan itu dengan bertakwa…