ULASAN TERHADAP TULISAN USTAZ IQBAL ZAIN (UIZ) YANG BERTAJUK: TERJEMAHAN KITAB-KITAB HADIS SAHIH

ULASAN TERHADAP TULISAN USTAZ IQBAL ZAIN (UIZ) YANG BERTAJUK: TERJEMAHAN KITAB-KITAB HADIS SAHIH

Setelah membaca tulisan beliau yang dikirim oleh seorang sahabat, saya dapati terdapat banyak syubhah serta kekeliruan yang perlu dijelaskan.

Berikut adalah ulasan saya (maaf sedikit panjang). Semoga bermanfaat.

Kata UIZ 1:

TERJEMAHAN KITAB-KITAB HADIS SAHIH:ANTARA PRO DAN KONTRA

ULASAN 1:

Beliau – hadahullah – memulakan tulisan beliau dengan tajuk di atas.

Sangkaan awal saya apabila membaca tajuk ini menyangka bahawa beliau akan membuat perbandingan adil antara pro dan kontra terhadap cadangan menerbitkan terjemahan lengkap Bahasa Melayu bagi Kutub as-Sittah (Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan al-Nasa’i, Sunan Abu Daud, Jami’ al-Tirmidhi dan Sunan Ibn Majah) yang dicetuskan oleh Sohibus Samahah Datuk Mufti Wilayah Persekutuan.

Ternyata sangkaan saya meleset apabila mendapati bahawa beliau membahaskan perkara ini dengan begitu dangkal dan sempit.

Boleh saya simpulkan bahawa beliau secara amnya tidak bersetuju dengan cadangan penerbitan terjemahan Kutub as-Sittah atas alasan-alasan yang akan dibahaskan dalam ulasan ini.

Kata UIZ 2:

Pada umumnya ia adalah sebuah usaha yg cukup baik untuk menambahkan kekayaan khazanah keilmuan Islam dlm bahasa Rumi.

ULASAN 2:

Beliau pada awalnya mengakui bahawa ia merupakan cadangan yang ‘cukup baik’ tetapi betapa cepatnya cadangan yang ‘cukup baik’ ini menjadi ‘tak berapa baik’ atau ‘sangat tak baik’ dalam baki tulisan beliau.

Saya tidak pasti ada bahasa Rumi atau tidak. Tulisan Rumi mungkin maksud beliau.

Kata UIZ 3:

Namun, dlm satu aspek yg lain, perlu dikenal pasti terjemahan tersebut bakal bermanfaat untuk kelompok sasaran yg mana satu.

ULASAN 3:

Beliau cuba untuk mengenal pasti kelompok sasaran yang bakal mengambil manfaat daripada penerbitan terjemahan Kutub as-Sittah ini tetapi kesudahannya gagal seperti mana pembaca akan lihat.

Kata UIZ 4:

Bahkan untuk ia dijadikan rujukan para ulama juga kurang sesuai kerana ulama menggunakan kitab syarahan yg juga dlm bhsa Arab.

ULASAN 4:

Jika markah penuhnya dua, saya beri satu sahaja kepada beliau.

Beliau lupa atau tidak sedar bahawa masyarakat awam Malaysia tidak faham bahasa Arab.

Oleh itu, hadis-hadis yang disampaikan oleh asatizah dan ilmuwan di Malaysia perlu diterjemahkan terlebih dahulu sebelum disampaikan kepada masyarakat dalam tulisan atau kuliah.

Berdasarkan pengalaman saya lebih 10 tahun dalam bidang terjemahan, saya dapati bahawa bukan semua yang berbahasa Arab boleh menterjemah.

Sering sahaja terjemahan jadi tunggang langgang.

Malah barangkali seseorang itu arif bahasa Arab dan mahir dalam seni terjemahan, itu pun bukan jaminan bahawa dia boleh menghasilkan terjemahan hadis yang baik.

Ini kerana seseorang itu perlu faham hadis terlebih dahulu sebelum mampu menterjemah.

Salah faham hadis rosaklah terjemahannya.

Kesimpulannya, untuk mampu menterjemah hadis, bukan sahaja perlu menguasai bahasa Arab dengan baik, seseorang itu perlu menguasai seni terjemahan dan mempunyai pemahaman Agama yang baik.

Ini bererti bahawa penerbitan terjemahan Kutub as-Sittah dalam Bahasa Melayu sangat berguna malah untuk asatizah dan ilmuwan bagi memudahkan kerja-kerja penyampaian mereka kepada masyarakat.

Paling tidaknya penerbitan seperti ini daripada pihak berautoriti sedikit sebanyak mampu menyeragamkan terjemahan hadis-hadis dan memudahkan umat Islam membuat rujukan seperti mana terjemahan al-Quran Pimpinan ar-Rahman yang diterbitkan dengan kawalan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Kata UIZ 5:

Jika bukan untuk orang alim, adakah ia untuk rujukan orang awam? Jika ya, apakah tujuannya yg sebenar, kerana untuk ambil faedah atau penggalian hukum hakam dari kutub Sittah adalah bukan sesuatu yg mudah.

ULASAN 5:

Sudah saya jelaskan di atas bahawa ilmuwan juga akan turut mengambil manfaat daripada penerbitan terjemahan Kutub as-Sittah.

Untuk makluman UIZ dan para pembaca, hadis-hadis bukan untuk ‘penggalian hukum-hakam’ semata-mata.

Ini hanya menunjukkan kedangkalan pemikiran.

Terdapat banyak faedah daripada membaca hadis termasuklah terjemahannya.

Terdapat dalam hadis, penjelasan tentang akidah, hal-hal ghaib seperti syurga, neraka dan urusan Hari Akhirat, ada penjelasan tentang akhir zaman, kisah hidup Rasulullah ﷺ dan para Sahabat, zikir serta doa dan pelbagai lagi.

Dalam hadis Nabi ﷺ bersabda:

“Sebaik-baik kamu ialah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya”.

Sahih. Riwayat Bukhari.

Demikian juga dengan hadis yang bertindak sebagai penjelas kepada al-Quran.

Membaca hadis serta mempelajarinya menjana banyak faedah dan pahala.

Sedangkan Nabi ﷺ bersabda:

“Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu nescaya Allah akan permudahkan jalannya ke syurga”.

Sahih. Riwayat Muslim.

Saya bertanya kepada UIZ, berfaedah atau tidak masyarakat awam membaca TERJEMAHAN AL-QURAN? Jika ya, apakah faedah-faedahnya?

Apa jawapan beliau tentang faedah membaca TERJEMAHAN AL-QURAN turut dikatakan terhadap hadis.

Malah hadis-hadis lebih luas dan terperinci seperti mana yang semua sedia maklum in-sya-Allah.

Kata UIZ 6:

Apa yg menjadi kegusaran ialah jika agenda disebalik projek tersebut adalah untuk semua lapisan masyarakat termasuk orang awam kembali kepada sunnah iaitu merujuk kpd Kutub Sittah tersebut.

ULASAN 6:

Subhanallah. Bagaimana mungkin kita boleh merasa gusar jika masyarakat hendak dikembalikan kepada as-Sunah?

Sepatutnya kita merasa teruja dan gembira dengan hal ini.

Apakah UIZ mahu masyarakat terus kekal jahil tidak tahu yang mana benar dan yang mana salah? Yang mana yang menepati as-Sunah dan yang mana tidak?

Ajaib apabila ada ilmuwan yang mahu masyarakat terus kekal bertaklid.

Dan taklid memang buta. Tidak ada taklid celik.

Masakan tidak, sedangkan taklid ialah menerima satu pendapat tanpa mengetahui dalilnya.

Mungkin ada yang berkata, tiada masalah untuk bertaklid. Asalkan dia berpegang kepada pendapat ulama muktabar.

Ucapan ini indah khabar daripada rupa.

Siapa ulama muktabar yang dimaksudkan?

Ulama Syiah? Khawarij? Jahmiyyah? Muktazilah? Batiniah? Sufi?

Ulama Tarekat? Tarekat yang mana? Pengikut Ibnu Arabi? Bustami? Tijani? Naqsyabandi? Hallaj? Jilani?

Bagaimana pula dengan mazhab empat?

Pendapat mazhab mana yang muktabar sedangkan sering sahaja pendapat-pendapat ulama fiqah berbeza dan bertentangan.

Walhal, Allah berfirman:

“Sekiranya kamu berselisih dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) RasulNYA”.

an-Nisaa’, 4:59.

Kata UIZ 7:

Jika hal sedemikian terjadi, maka ia membuka pintu kpd orang awam untuk cuba memahami praktik agama dengan terus merujuk kpd terjemahan Kutub Sittah.

ULASAN 7:

Masing-masing dengan kemampuan dan tanggungjawab masing-masing.

Masyarakat awam jika tak tahu maka wajib bertanya. Para ilmuwan pula jika ditanya maka mereka wajib menjawab.

Demikian mafhum ayat 16:43.

Jangan berfikiran dangkal dan sempit.

Satu golongan yang UIZ lupa dan tak sebut ialah para penuntut ilmu (Tullab al-ilm).

Bukankah mereka dalam proses belajar dan kitab-kitab terjemahan dapat membantu proses pembelajaran mereka?

Malah kita dituntut supaya belajar dan terus belajar dari buaian sampai ke liang lahad.

Adapun hadis “Tuntutlah ilmu walaupun di negeri cina” ia daif lagi batil seperti mana kata Ibnu Hibban.

Berkata Abu ad-Darda’ r.a.:

“Manusia itu sama ada berilmu (alim) atau menuntut ilmu (muta’allim). Dan tidak ada kebaikan dalam selain itu.”

Kata UIZ 8:

Pada hakikatnya, seseorang tidak dapat mengetahui bagaimana cara solat walau 2 rakaat yg sempurna dari awal hingga selesai salam dengan hanya berpandukan Kutub Sittah.

ULASAN 8:

Pelik ucapan ini daripada seorang ustaz.

Beliau mengatakan ‘seseorang’. Saya kira ia turut merangkumi para ulama kerana mereka juga ‘orang’.

Oleh itu, bagaimana agaknya para ulama menjelaskan cara solat jika bukan berpandukan kitab-kitab Kutub as-Sittah secara khasnya?

Melalui ilmu kasyaf? Ilmu hakikat dan makrifat? Melalui mimpi?

Sedangkan Nabi ﷺ bersabda:

“Aku tinggalkan buat kamu DUA PERKARA yang kamu TIDAK AKAN SESAT selagi mana kamu berpegang kepada kedua-duanya: KITAB ALLAH dan SUNAH RASULNYA” (Hasan. Riwayat Imam Malik)

Ini bermakna, berpegang kepada selain al-Quran dan as-Sunah tiada jaminan selamat daripada sesat.

Kata UIZ 9:

Jika jawapan kpd ini semua adalah kita perlu bertanya kpd ulama, maka kita sudah pun ada ulama fiqh yg mempunyai landasan yg kuat iaitu para Imam Mazhab yg mana zaman mereka hidup lbih dekat dengan zaman Rasulullah SAW dan lebih awal dari kemunculan para pengarang Kutub Sittah.

ULASAN 9:

Saya melihat UIZ keliru atau mengelirukan sedangkan kedua-duanya pahit.

Para imam mazhab mana yang dimaksudkan? Hanafi, Maliki, Syafii, Hanbali, Zahiri? Yang mana satu, sedangkan telah dijelaskan bahawa perselisihan dan perbezaan ulama dalam hal-hal fiqah maklum dan jelas.

Bagaimana kita menyaring dan memilih pendapat yang kuat dan rajih?

Atau adakah semuanya benar dan boleh diterima? Ini lagi batil.

Ada pendapat kata halal dan ada yang kata haram. Maka ia HALAM? Begitu?

Ada yang kata wajib dan ada yang kata sunat? Kedua-duanya betul?

Di sini realiti yang harus kita faham dan terima.

Tiada jalan kecuali bagi ilmuwan dan para penuntut ilmu untuk terus belajar dan mengkaji Agama melalui sumber-sumbernya dengan kembali kepada al-Quran dan as-Sunah.

Bukan dengan hanya merujuk kepada apa kata si fulan dan apa mimpi si fulan.

Ya, bukan mudah. Tetapi paling tidak kita berusaha.

Perjalanan seribu langkah bermula dengan langkah pertama.

Terjemahan Kutub as-Sittah adalah permulaan yang baik.

Jika bukan untuk kita, paling tidak untuk cucu cicit dan generasi yang akan datang.

Jika tidak, sampai bila mahu terus bermimpi dan menari kononnya Nabi datang. Ini contoh riwayat yang batil.

Kata UIZ 10:

Oleh kerana itu, status hadis yg dipegang oleh para Imam Mazhab adalah tidak sama dgn status hadis para pengarang Kutub Sittah.

ULASAN 10:

Kurang jelas maksud beliau.

Saya tidak mahu bersangka-sangka tetapi perkataan beliau ini boleh disalah tafsir.

Apakah semua status hadis yang dipegang oleh Imam Mazhab adalah sahih berbanding para pengarang Kutub as-Sittah?

Ini menunjukkan kejahilan UIZ tentang seni ilmu hadis.

Maklum di sisi para ulama bahawa bukan semua hadis dalam buku-buku mazhab adalah sahih.

Malah tak kurang juga yang lemah dan palsu.

Ini pentingnya disaring hadis-hadis termasuklah dalam kitab-kitab fiqah.

Sebagai contohnya, kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik.

Beliau seorang ulama fiqah dan juga ulama hadis.

Tetapi status hadis-hadis beliau dalam al-Muwatta’ tidak dapat menandingi kitab Sahih Bukhari.

Ini kerana syarat-syarat yang ditetapkan oleh Imam Bukhari jauh lebih ketat mengatasi syarat hadis dalam Sahih Muslim apatah lagi kitab-kitab hadis lain termasuklah al-Muwatta Imam Malik.

Adapun Imam Abu Hanifah (dinisbahkan kepadanya Mazhab Hanafi). Sekalipun beliau seorang tokoh fiqah, tetapi beliau dinilai daif dalam periwayatan hadis kerana kelemahan hafalan beliau oleh Bukhari, Muslim, an-Nasa’i, Ibnu ‘Adi dan ulama-ulama hadis yang lain.

Oleh yang demikian, al-Hafiz Ibnu Hajar dalam at-Taqrib ketika menterjemahkan nama beliau sekadar mengatakan “Seorang faqih yang masyhur!”

Imam Syafii pula, sekalipun aktif dalam ilmu hadis tetapi beliau pernah berkata kepada Imam Ahmad:

“Kamu lebih tahu tentang hadis. Sekiranya ada mana-mana hadis sahih maka maklumkan kepadaku supaya aku beramal dengannya”.

Tabaqat al-Hanabilah, 6/1.

Kata UIZ 11:

Sebab itu, Imam Tirmidhi(rah) menyatakan dlm Sunannya bahawa para fuqaha'(ulama fiqh) adalah lebih memahami makna hadis berbanding para ulama muhaddisin.

ULASAN 11:

Ini merupakan kekeliruan dan kesalahan daripada UIZ.

al-Mubarakfuri menjelaskan salah faham tentang ucapan Imam Tirmidhi “Para fuqaha lebih faham tentang makna hadis”.

Beliau menafikan tafsiran sebahagian yang mengatakan bahawa apa yang dimaksudkan oleh Imam Tirmidhi di sini ialah fuqaha mazhab Hanafi.

Beliau berkata:

“Ini merupakan kesilapan akibat kejahilan. Malah maksud beliau (Tirmidhi) ialah FUQAHA HADIS (bukan fuqaha fiqah) seperti Sufyan ath-Thauri, Malik bin Anas, Syafii, Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahuyah dan yang lain”.

Tuhfatul Ahwadhi, 1/427.

Dari sudut lain, UIZ berburuk sangka terhadap para ulama hadis dengan menggambarkan seolah-olah mereka hanya pandai meriwayatkan hadis tanpa memahami apa yang diriwayatkan.

Realitinya, tidak ada kefaqihan tanpa ilmu hadis.

Kerana itu, sering sahaja didapati hukum-hakam dibahaskan secara panjang lebar lalu kesudahannya didapati hadis sandarannya lemah atau palsu.

Oleh yang demikian, sebetulnya seorang faqih perlu juga arif dalam bidang hadis.

Ini berbeza dengan seorang ahli hadis yang sememangnya terdiri daripada kalangan mereka yang faqih.

Ini kerana ahli hadis secara tidak langsung mempelajari ilmu fiqah melalui hadis-hadis yang mereka nukilkan, seperti mana jika dilihat keadaan para Sahabat yang mempelajari ilmu fiqah melalui hadis-hadis yang mereka terima daripada Rasulullah ﷺ.

Kata UIZ 12:

Oleh itu, kitab fiqh yg ditulis oleh mereka tersedia untuk masyarakat awam mengetahui perihal hukum hakam.

ULASAN 12:

Tidak semudah itu jika kita tahu tentang perselisihan dan perbezaan pendapat antara mazhab-mazhab, malah dalam satu mazhab pun ada perbezaan pendapat.

Maklum bahawa seperti Imam Syafii, beliau mempunyai qaul qadim (pendapat lama) dan qaul jadid (pendapat baharu).

Yang mana satu betul? Jika yang baharu, mengapa? Asalkan baharu pasti betul? Ini bukan kaedah Agama.

Kata UIZ 13:

Maka, sekadar cadangan peribadi, seandainya usaha terjemahan tersebut adalah untuk memberi manfaat yg lebih maksimum kpd masyarakat, saya menyarankan untuk membuat buku-buku yg relatable dgn masyarakat iaitu dgn memilih bab-bab yg tertentu dari setiap Kutub Sittah khususnya yg berkaitan pembentukan akhlak dan peribadi, atau hadis2 yg mengandungi nasihat2 dan peringatan yg dapat melembutkan hati.

ULASAN 13:

Ini sebenarnya masalah UIZ.

Sudahlah tidak mahu hadis-hadis ahkam diterjemahkan kerana ia berkait dengan ilmu fiqah, sedangkan UIZ lebih rela masyarakat terus jahil tentang hadis dan jahil tentang Sunah Nabi, dan mahu membiarkan mereka terus bertaklid buta tanpa ada usaha untuk melahirkan ilmuwan-ilmuwan hebat yang arif tentang al-Quran dan as-Sunah.

Saya menyimpulkan bahawa menurut UIZ, hadis-hadis AKIDAH juga tidak ‘memberi manfaat yang lebih maksimum kepada masyarakat’.

Subhanallah, manfaat apa yang diharapkan sekiranya AKIDAH dan IBADAH masyarakat cacamerba tidak berdiri di atas asas as-Sunah?

AKHLAK dan PERIBADI baik yang bagaimana sekiranya seseorang itu terjebak dalam hal-hal SYIRIK dan KHURAFAT sedangkan ia adalah seburuk-buruk perbuatan?

Amal ibadah pula menyalahi petunjuk NABI ﷺ dan Sahabat, hanya diada-adakan, ditokok tambah sesedap rasa atas alasan “INIKAN BAIK”.

Jelas ini hanya mengundang KEMURKAAN ALLAH dan melayakkan AZABNYA.

Sekian.

Catatan:

Tulisan SAW berbanding ﷺ, yang kedua lebih bagus. Kata cinta Nabi.

Pengumuman inisiatif menerbitkan terjemahan Bahasa Melayu Kutub as-Sittah oleh YB Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama):

https://www.facebook.com/654227084641097/posts/3246237355440044/

Artikel balas UIZ:

https://www.facebook.com/UstazIqbalZain/posts/2582106302028557

Idris bin Sulaiman
Kajang
Sudah bersedia dengan hafalan untuk Solat Tarawih di rumah?
25 Syaaban 1441H / 19 April 2020
Abu Omar Idris Sulaiman

Similar Posts