ULAMA KHILAF
Sering kali mungkin kita mendengar jawapan ini apabila berdepan dengan isu-isu ‘khilafiat’.
Tersebut kisah seorang mufti pada zaman dahulu yang ingin menunaikan haji lalu dia resah kerana tiada sesiapa yang dapat ditabal sebagai penggantinya.
Akhirnya kerana tiada pilihan si mufti itu pun meminta anaknya supaya mengambil alih tempatnya sebagai mufti negeri untuk sementara waktu sehinggalah dia pulang daripada haji.
Si anak yang tak tahu menahu ilmu agama pun berkata:
“Tetapi apa pula saya nak jawab jika orang ramai datang bertanya?”
“Jangan risau” kata ayahnya. “Aku akan ajar engkau rahsianya.”
“Jika ada sesiapa yang datang bertanya, katakan sahaja: Ulama khilaf, ada yang kata begini dan ada yang kata begitu…” jelas ayahnya.
“Baiklah” kata anaknya.
Si mufti pun berangkat mengerjakan haji manakala anaknya mengambil tempatnya sebagai mufti negeri.
Tak lama kemudian orang ramai pun datang ke pejabat mufti negeri mengajukan pelbagai soalan kepada si anak mufti.
“Tuan mufti, bagaimana sekiranya lelaki perempuan bersentuhan, batal wuduk atau tidak?” kedengaran ada yang bertanya.
“Oh, ulama khilaf ada yang kata batal dan ada yang kata tidak” jawab si anak itu dengan nada sedaya upaya nampak yakin.
“Bagaimana jika ketika solat, kelihatan darah keluar dari luka; adakah solat terbatal?” kedengaran suara lain pula bertanya.
“Oh, ulama khilaf ada yang kata batal dan ada yang kata tidak” jawab si anak itu yang semakin yakin.
Demikian jawapan sama yang diberikan dalam setiap pertanyaan yang diajukan kepada si mufti baharu itu.
Ternyata dalam kalangan hadirin ada seorang yang pintar yang menyedari bahawa si mufti adalah seorang yang jahil. Dia tidak memberi apa-apa jawapan lain selain daripada mengulang-ulang jawapan yang sama.
Lelaki itu pun bangkit dan bertanya:
“Tuan mufti, adakah ALLAH wujud?”
Tanpa teragak-agak, si anak itu menjawab:
“Ulama khilaf!!!”
Idris bin Sulaiman
Kajang
27 Julai 2017
https://www.facebook.com/idrissulaiman