|

SEJARAH KALENDAR HIJRAH

– Doa awal tahun Hijrah vs Doa awal bulan

Semalam saya ada menulis sebuah artikel berkenaan ‘Doa Akhir & Awal Tahun Hijrah’ di mana saya menyatakan bahawa tiada sebarang doa atau amalan yang sabit daripada Nabi ﷺ, para Sahabat atau para ulama muktabar bersempena dengan berakhirnya tahun Hijrah dan awalnya.

DOA AKHIR & AWAL TAHUN HIJRAH

Daripada kalangan mereka yang mempertahankan amalan ini ada yang memberi komen dengan membawa pandangan yang berkata:

“Kalendar Islam menggunakan sistem hilal. Sehingga masuknya tahun baru sama persis dengan bergantinya bulan baru. Ternyata ditemukan riwayat bahawa pergantian tahun dan bulan sudah ada tuntutan dari sahabat Nabi untuk melakukan doa.”

Beliau kemudian membawakan riwayat yang dijadikan sebagai dalil yang menganjurkan doa awal tahun dan akhir tahun Hijrah.

Ternyata bahawa riwayat-riwayat yang dibawakan semuanya berkaitan dengan anjuran ‘doa awal bulan’ yang dianjurkan membacanya pada awal setiap bulan sepanjang tahun kalendar Islam.

Dengan kata lain, riwayatnya tiada kaitan sama sekali dengan doa awal tahun ataupun akhir tahun Hijrah.

Ini satu kekeliruan.

Maka harus dibezakan antara tuntutan ‘doa awal bulan’ dengan amalan ‘doa akhir dan awal tahun Hijrah’ lebih-lebih lagi jika dikhususkan doa-doa tertentu baginya selain daripada yang sabit daripada Nabi ﷺ dalam ‘doa awal bulan’.

Permasalahan ini bertambah jelas jika dilihat sejarah bermulanya kalendar Hijrah itu sendiri.

Perlu ditegaskan bahawa kalendar Hijrah tidak ada pada zaman Rasulullah ﷺ sebaliknya ia wujud selepas zaman hidup baginda ﷺ.

SEJARAH MULANYA KALENDAR HIJRAH

Kalendar Hijrah mula digunakan pada zaman Khalifah Omar al-Khattab radiallahuanhu, dikatakan kira-kira dua tahun setengah sesudah khilafah beliau.

Ini ditegaskan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya yang besar Fathulbari Syarah Sahih al-Bukhari.

Menurut beliau, kalendar Hijrah diwujudkan oleh para Sahabat berpandukan firman Allah ﷻ:

لمسۡجِدٌ أُسِّسَ عَلَى ٱلتَّقۡوَىٰ مِنۡ أَوَّلِ يَوۡمٍ.

“Masjid yang telah didirikan di atas dasar takwa semenjak hari pertama.”

[Al-Quran, al-Taubah, 9: 109]

Perkataan ‘hari pertama’ jelas bukan umum tetapi khusus iaitu hari pertama kebangkitan Islam, Nabi ﷺ menyembah Allah ﷻ dalam keadaan aman atau masjid berkenaan (Masjid Quba) dibina, kata Ibnu Hajar.

Menurut beliau, para Sahabat telah mempertimbangkan empat perkara sebelum menetapkan kalendar Hijrah iaitu tarikh kelahiran Nabi ﷺ, kebangkitannya menjadi rasul, hijrahnya ke Madinah dan kewafatannya ﷺ.

Mereka memilih kalendar yang bersempena dengan hijrah Nabi ﷺ dari Mekah ke Madinah memandangkan tarikh kelahiran serta kebangkitan baginda ﷺ menjadi rasul ada perselisihan manakala mengingati peristiwa kewafatan baginda ﷺ hanya akan menimbulkan kesedihan.

Adapun sebab penetapan bulan Muharam sebagai bulan pertama Hijrah dan bukan Rabiulawal ialah kerana keazaman untuk berhijrah telah bermula seawal bulan Muharam sesudah berlakunya Perjanjian Aqabah pada bulan sebelumnya, Zulhijah.

Ibnu Hajar menyebutkan beberapa riwayat yang menceritakan bagaimana Khalifah Omar terdorong untuk menetapkan kalendar Islam ini.

Diriwayatkan bahawa Abu Musa al-Asy’ari mengadu kepada Khalifah Omar berkenaan surat-suratnya yang datang kepadanya tanpa tarikh lalu Khalifah mengarahkan supaya satu perbincangan mengenainya diadakan.

Ada riwayat lain menyebut bahawa sehelai kertas perjanjian telah dikemukakan kepada Khalifah Omar bertarikh pada bulan Syaaban tanpa menyatakan tahunnya sehingga menimbulkan kemusykilan sama ada ia merujuk kepada tahun sebelumnya, tahun semasa atau tahun berikutnya. Maka beliau mengarahkan supaya ditetapkan sebuah kalendar untuk kegunaan kaum Muslimin.

Ibnu Hajar turut menyebut beberapa riwayat lain.

Jika sudah jelas bahawa kalendar Hijrah hanya mula digunakan selepas kewafatan Rasulullah ﷺ semasa khilafah Omar al-Khattab maka pendekatan mana-mana pihak mahu mempertahankan amalan ‘doa akhir dan awal tahun Hijrah’ dengan berdalilkan riwayat-riwayat yang berkaitan dengan anjuran ‘doa awal bulan’ ialah keliru dan salah, termasuk dalam erti qias batil menyamakan antara dua perkara yang berbeza (qias ma’a al-fariq).

Idris bin Sulaiman
Kajang
01 Muharam 1444H /
30 Julai 2022

Similar Posts

  • |

    MUSLIM KELIRU

    – ‘Kesetiaan dan Berlepas Diri’ – Warganet ‘miskin simpati’? Atas dasar kalimah syahadah ‘lailahaillallah’ lahirlah prinsip ‘Kesetiaan dan Berlepas Diri’ yang dituntut atas setiap Muslim. Prinsip ini juga disebut sebagai Wala’ dan Bara’. Setiap Muslim wajib menzahirkan kesetiaannya kepada orang-orang beriman, mencintai dan menyokong mereka (Wala’). Dalam masa yang sama,…

  • |

    REMAJA MALAYSIA DICANDUKAN DENGAN MUZIK

    – Hukum nyanyian muzik Melihat senarai panjang konsert yang dijadualkan akan berlangsung di Malaysia pada tahun ini, 2022 sepatutnya membimbangkan kita. Sekiranya Al-Quran mendekatkan Muslim kepada Allah ﷻ maka yakinlah bahawa nyanyian dan muzik ialah sebaliknya. Apa yang pasti nyanyian dan muzik diancam oleh Allah ﷻ. Firman Allah ﷻ: وَمِنَ…

  • |

    KEBENARAN TIDAK BOLEH DIPAKSA

    Muslim disuruh supaya memberi ingatan yang baik, tegur-menegur di samping mengajak manusia lain kepada kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Sekadar menyampaikan, tanpa paksaan. Terserah kepada empunya badan untuk menerimanya atau tidak. Firman Allah ﷻ: وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ لَأٓمَنَ مَن فِي ٱلۡأَرۡضِ كُلُّهُمۡ جَمِيعًاۚ أَفَأَنتَ تُكۡرِهُ ٱلنَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُواْ مُؤۡمِنِينَ “Dan jika…

  • |

    HARI KEKASIH (VALENTINE)

    Hari kekasih bukan sambutan Islam tetapi perayaan kaum kuffar. Muslim haram menyambutnya. Syariat haramkan semua pintu zina dan menghalalkan pintu nikah. Cinta yang benar ialah cinta yang didasari perkahwinan untuk membina keluarga harmoni, kehidupan aman yang dipenuhi kasih sayang dan belas kasihan. Firman Allah ﷻ وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنۡ خَلَقَ لَكُم…

  • | | |

    PERINTAH TUNDUK MATA

    Syariat Islam memerintahkan Muslim supaya menundukkan pandangan mata daripada melihat lawan jantina yang bukan mahramnya. Perintah ini bagi kedua-dua lelaki dan juga perempuan. Sebagaimana firman Allah ﷻ: قُل لِّلۡمُؤۡمِنِينَ يَغُضُّواْ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِمۡ وَيَحۡفَظُواْ فُرُوجَهُمۡۚ ذَٰلِكَ أَزۡكَىٰ لَهُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا يَصۡنَعُونَ وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِنَّ وَيَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ. “Katakanlah…

  • |

    SYEIKH AL-ALBANI GEMAR MENONTON BOLA?

    Terkejut membaca dakwaan seorang pensyarah Arab Saudi bahawa ulama besar Syeikh al-Albani rahimahullah gemar menonton bola sepak dan ada menyokong pasukan bola liga Eropah tertentu. Tiada sumber rujukan yang diberikan selain daripada mengatakan bahawa beliau mendengarnya daripada murid Syeikh al-Albani melalui orang-orang tertentu yang tidak dinamakannya. Jelasnya pensyarah ini tidak…