Green dome - Prophet Mohammed Mosque , Al Masjid an Nabawi - Medina / Saudi Arabia
|

MAULIDUR RASUL

– Empat Soalan
– Definisi Sambutan
– Jalur keras

Dalam Islam terdapat hanya dua perayaan, dan sambutan tahunan Maulidur Rasul bukan salah satu daripadanya.

Buktinya ialah para Sahabat Nabi ﷺ.

Mereka adalah golongan manusia yang paling arif tentang agama;

Mereka adalah golongan manusia yang paling ke hadapan melakukan kebaikan;

Mereka adalah golongan manusia yang paling cinta kepada Nabi ﷺ;

dan

Mereka adalah golongan manusia yang paling kuat berpegang kepada sunah Nabi ﷺ.

Meskipun demikian mereka tidak pernah menyambut Maulidur Rasul.

EMPAT SOALAN

Berikut empat soalan buat mereka yang menyambutnya:

1. Adakah sambutan Maulidur Rasul ketaatan atau maksiat?

Jika maksiat maka menyambutnya haram dan berdosa.

Tetapi jika ia ketaatan yang menjana pahala..

2. Adakah amalan ketaatan ini diketahui oleh Nabi ﷺ?

Tidak mungkin ada yang berani mengatakan bahawa Nabi ﷺ jahil tentang amalan ketaatan menyambut Maulidur Rasul ini.

3. Jika ia merupakan amalan ketaatan yang diketahui oleh Nabi ﷺ maka adakah baginda ﷺ pernah mengajarkannya kepada umatnya?

Sekali lagi tidak mungkin ada yang berani mengatakan bahawa Nabi ﷺ mengetahuinya tetapi tidak mengajarkannya kepada umatnya kerana ini merupakan tuduhan berat ke atas baginda ﷺ yang bererti baginda ﷺ ada menyembunyikan hal-hal agama yang sepatutnya disampaikan kepada umatnya berdasarkan firman Allah ﷻ:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلرَّسُولُ بَلِّغۡ مَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَۖ وَإِن لَّمۡ تَفۡعَلۡ فَمَا بَلَّغۡتَ رِسَالَتَهُ.

“Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan risalahNya.”

[Al-Quran, al-Maa’idah, 5: 67]

Jika ada yang mengatakan bahawa baginda ﷺ telah menyampaikan tuntutan menyambut Maulidur Rasul maka dikatakan kepadanya, mana dalilnya?

4. Adakah dalil anjuran menyambut Maulidur Rasul ini tidak ditemui oleh para Sahabat, Tabiin dan Tabi Tabiin sepanjang tiga kurun pertama Islam lalu generasi yang datang kemudian menemuinya?

Atau mereka mengetahui dalilnya tetapi menolaknya lalu mereka yang terkemudian menerima dan mengamalkannya?

Ini semua mustahil.

DEFINISI SAMBUTAN

Mungkin ada yang mahu menggantikan acara perarakan, berselawat beramai-ramai, berqasidah, bacaan Yasin dan tahlil kepada program ceramah sirah Nabi ﷺ dan seumpamanya.

Sekalipun tidak sama tetapi ia masih ada syubhah.

Ini kerana apa jua program atau amalan khusus bersempena dengan Maulidur Rasul dikira termasuk dalam erti menyambutnya.

Memandangkan tiadalah acara berkumpul beramai-ramai atau mengadakan jamuan makan melainkan itulah definisi kebanyakan sambutan.

KESIMPULAN

Penjelasan di atas membuktikan bahawa sambutan tahunan Maulidur Rasul ialah rekaan dan tokok tambah dalam agama manakala Islam berlepas diri daripadanya berdasarkan sabda Nabi ﷺ:

مَنْ ‌أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ.

“Barang siapa mengada-adakan sesuatu yang baharu dalam urusan kita ini (agama) maka ia adalah tertolak.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Dan sabdanya ﷺ:

مَنْ ‌عَمِلَ ‌عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.

“Barang siapa melakukan sesuatu amalan yang tidak menepati cara kami maka ia adalah tertolak.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

CATATAN

Tidak ada jalur keras dalam Islam tetapi jalur lurus atau menyimpang. [Al-Quran, 6: 153]

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
09 Rabiulawal 1444H
06 Oktober 2022

Similar Posts

  • | |

    HOMOSEKS / ĻĠɃŤǬ / PONDAN

    HOMOSEKS / ĻĠɃŤǬ / PONDAN Ustaz Idris bin Sulaiman Jenayah homoseks adalah di antara sebesar-besar jenayah, seburuk-buruk dosa dan sekeji-keji perbuatan. Allah telah menghukum golongan yang melakukannya dengan hukuman yang tidak pernah ditimpakan ke atas mana-mana umat terdahulu. Ia menunjukkan betapa fitrah orangnya telah terpesong, cahaya hatinya telah hilang, lemahnya…

  • |

    IKUT FAHAM SAHABAT NABI ﷺ

    IKUT FAHAM SAHABAT NABI ﷺ -Bukan faham tok guru-Kesesatan mereka yang menyalahi fahaman Sahabat Firman Allah ﷻ: “Dan sesiapa yang menyalahi Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk dan dia pula mengikut jalan SELAIN DARI JALAN ORANG-ORANG BERIMAN maka Kami akan palingkan dia ke arah jalan yang dipilihnya, dan Kami…

  • | |

    HARAM SENTUH PEREMPUAN BUKAN MAHRAM

    Sabda Nabi ﷺ: لأَنْ ‌يُطعنَ ‌في ‌رأسِ ‌أحدِكُم ‌بِمخْيطٍ ‌مِنْ ‌حديدٍ؛ خيرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرأةً لا تَحِلُّ لَهُ. “Sesungguhnya ditusuk kepala seseorang daripada kamu dengan jarum besi itu lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya.” [Sahih, riwayat al-Tabarani, no. 486] Dr. Idris bin SulaimanKajang12 Jamadilawal…

  • |

    BERLEMAH LEMBUT DENGAN IBU BAPA & ISTERI

    Muslim dituntut supaya berlemah lembut. Lemah lembut ialah asbab segala kebaikan berbanding sikap kasar dan bengis. Aisyah r.a. menceritakan peristiwa bagaimana sekumpulan orang-orang Yahudi datang ke rumah Rasulullah ﷺ dan berkata: “al-Saam alaikum (Maut atas kamu).” Mendengar ucapan itu Aisyah r.a. bingkas membalasnya dengan berkata: “Waalaikum al-Sam wa al-la’nah (Maut…

  • |

    BERSABAR, DIUJI ATAU MEMPEROLEH KEJAYAAN: MANA AFDAL?

    Ujian ialah persiapan Mukmin untuk memperoleh kejayaan di dunia. Dikatakan bahawa Imam al-Syafie ditanya tentang yang mana afdal; sama ada bersabar, diuji atau memperoleh kejayaan? Beliau berkata “Mendapat kejayaan merupakan darjat para nabi, sedangkan kejayaan itu tidak diperoleh melainkan sesudah diuji. Jika diuji maka hendaklah bersabar, dan jika seseorang itu…

  • |

    BERI KOMEN ISU SENSASI & KONTROVERSI

    Melayan media sosial mengasyikkan. Apatah lagi jika timbul isu-isu sensasi dan kontroversi melibatkan orang lain. Barangkali menyeronokkan. Lalu ramai hendak memberi komen dan pendapat mengenainya. Tetapi awas! Syariat Islam menetapkan garisan tatacara berdepan dengan hal-hal seperti ini. Sabda Nabi ﷺ: مِنْ حُسْنِ إِسْلامِ المَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيْهِ. “Di antara…