black metal framed glass lamp
|

‘MAULA’ / ‘MAULANA’ – Sejauh mana kewajarannya

Perkataan ‘maula’ atau ‘maulana’ dalam bahasa Arab mempunyai banyak makna.

Antara maknanya ialah pemilik, penaung, tuan, hamba, tuan yang membebaskan hamba sahaya dan hamba sahaya yang telah dibebaskan oleh tuannya.

Dahulu dikatakan “Si fulan maula si fulan” bermaksud si fulan bekas tuan atau bekas hamba sahaya.

Contohnya Zaid bin Harithah maula Rasulullah ﷺ kerana baginda ﷺ telah membebaskan Zaid daripada perhambaan.

Demikian Aisyah binti Abu Bakar al-Siddiq maula Barirah kerana Aisyah telah membebaskan Barirah.

Secara dasarnya Allah ﷻ adalah ‘maula’ semua manusia kerana Dia ﷻ Pencipta dan Pemilik mereka.

Firman Allah ﷻ:

ثُمَّ رُدُّوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ مَوۡلَىٰهُمُ ٱلۡحَقِّ.

“Kemudian mereka dikembalikan kepada Allah ‘Maula’ mereka yang sebenar.”

[Al-Quran, al-An’am, 6: 62]

Allah ﷻ jua adalah ‘maula’ orang-orang beriman selaku Penaung yang memberi perlindungan dan jagaan buat mereka, sebagaimana firmanNya:

ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ مَوۡلَى ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَأَنَّ ٱلۡكَٰفِرِينَ لَا مَوۡلَىٰ لَهُمۡ.

“Balasan yang demikian kerana sesungguhnya Allah menjadi ‘Maula’ Pelindung orang-orang yang beriman, dan sesungguhnya orang-orang yang kafir, mereka tiada ‘maula’ yang dapat memberikan sebarang perlindungan kepada mereka.”

[Al-Quran, Muhammad, 47: 11]

SEBAIKNYA DIELAKKAN

Dalam Kamus Dewan ‘maulana’ diertikan sebagai gelaran untuk ulama besar.

Sekalipun ada pandangan yang membolehkan tetapi sebaiknya penggunaan istilah ‘maula’ atau ‘maulana’ tidak diluaskan.

Di samping penetapannya bagi Allah ﷻ selaku Pemilik, Penaung dan Pelindung orang-orang yang beriman, ia lebih dikhususkan kepada hamba sahaya dan pemilik hamba sahaya.

Tambah pula generasi Salaf al-Soleh dahulu tidak menggunakannya apabila membahasakan diri mereka antara satu sama lain.

Tidak ada dalam kalangan Sahabat Nabi ﷺ yang memanggil khalifah dengan gelaran ‘Maulana Abu Bakar’, ‘Maulana Omar al-Khattab’, ‘Maulana Uthaman’ atau ‘Maulana Ali’.

Di bawah hadis:

لَا يَقُلِ الْعَبْدُ لِسَيِّدِهِ: ‌مَوْلَايَ فَإِنَّ مولاكم اللَّهُ.

“Janganlah seorang hamba berkata kepada tuannya ‘maula’ kerana ‘maula’ kalian ialah Allah.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

al-Nawawi dalam syarahnya menyimpulkan bahawa larangan dalam hadis di atas bersifat makruh dan bahawasanya istilah ini sebaiknya dielakkan.

[Syarah Sahih Muslim, 15/6]

Syeikh Ibnu Baz rahimahullah turut berpandangan serupa kerana istilah-istilah ini boleh menimbulkan rasa sombong dan ujub dalam diri orang yang dipanggil, di samping rasa taasub dan ‘ghuluw’ dalam diri orang yang memanggil.

https://binbaz.org.sa/fatwas/18132/حكم-قول-مولانا-وسيدنا

Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad hafizahullah turut senada bahawa penggunaannya sebaiknya tidak diluaskan kerana kemungkinannya digunakan untuk mereka yang tidak layak.

https://ar.islamway.net/fatwa/32916/حكم-استعمال-كلمة-مولانا-في-حق-الآدمي

KESIMPULAN

Penggunaan istilah ‘maula’ atau ‘maulana’ sebaiknya dielakkan kerana ia lebih banyak digunakan oleh generasi umat Islam dahulu bagi merujuk kepada hubungan antara hamba sahaya dengan bekas tuan pemilik yang membebaskannya.

‘Maula’ orang-orang beriman ialah Allah ﷻ, Dialah Maulana dan Dialah sebaik-baik Penaung dan Penolong. [Al-Quran, 6:40]

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
19 Rabiulawal 1444H
16 Oktober 2022

Similar Posts

  • |

    Kebenaran

    Kebenaran adalah yang datang dari Allah, dan As-Sunnah adalah sunnah Rasulullah serta jamaah adalah apa sahaja yang telah menjadi kesepakatan para sahabat pada masa khalifah Abu Bakar, Umar dan Utsman

  • |

    AHLI PEMIKIR?

    AHLI PEMIKIR? Antara gelaran-gelaran yang mungkin kita pernah dengar tetapi maksudnya kurang jelas dan menimbulkan tanda tanya serta kemusykilan mengapa ia digunakan sedemikian ialah gelaran tokoh pemikir, ahli pemikir Islam dan seumpamanya. Mungkin ada yang berkata mengapa seseorang individu itu boleh dikatakan sedemikian sedangkan orang lain pun boleh berfikir. Dan…

  • |

    DISEKAT OLEH FACEBOOK

    Kerana hantaran berkenaan kematìan General Qasim Sulaimani – Allah akan menghukumnya dengan seadilnya – si pembunüh umat Islam di Iraq dan Syria, pada awal tahun ini. Barangkali dilaporkan oleh orang Syiah atau orang yang bersimpati dengan Syiah. Bagaimana pula dengan ribuan umat Islam yang diseksa dan dibunüh oleh Syiah di…

  • |

    BILA MUSLIM DIKIRA BERSALAH

    Seorang Muslim itu dikira bersalah sekiranya kebenaran telah dijelaskan kepadanya tetapi dia memilih untuk menolaknya, lalai dalam menuntutnya, atau dia berpaling daripada mempelajarinya kerana hawa nafsu, malas dan sebagainya. Awas, jangan sampai mengikuti jejak mereka yang bersalah, carilah kebenaran dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya, memahaminya serta berpegang kepadanya. Dr. Idris bin…

  • |

    UCAPAN TAKZIAH TURKI KEPADA ISRAEL

    UCAPAN TAKZIAH TURKI KEPADA ISRAEL Kerajaan Turki di bawah pimpinan Recep Tayyip Erdoğan mengucapkan takziah kepada Israel atas kemalangan yang meragut puluhan nyawa dalam sebuah acara keagamaan Yahudi di negara tersebut baru-baru ini. Demikian kenyataan yang disiarkan oleh media rasmi Turki, Agensi Anadolu beberapa hari lepas. https://www.aa.com.tr/en/middle-east/turkey-offers-condolences-on-deadly-stampede-in-israel/2225806 ———————— Bayangkan jika…

  • |

    USTAZ WUHAN

    USTAZ WUHAN Tersebutlah cerita ceramah di sebuah masjid … Seorang penceramah berkata: “Tuan-tuan…Coronavirus dah disebut dalam al-Quran dan hadis semenjak 1400 tahun yang lepas…Allah telah pun memberi peringatan dan amarannya…” Lalu dia membaca firman Allah: وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ … وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ “Dan kami ingatkan manusia… wahnan ‘ala wahn” (Luqman, 31:…