Social media network concept using icon people wooden cube block
|

“KITA BEKERJASAMA DALAM APA YANG KITA SEPAKAT”

– Slogan Gerakan Ikhwan Muslimin (IM)

– نَتَعَاوَنُ فِيمَا اتَّفَقْنَا وَيَعْذِرُ بَعْضُنَا بَعْضًا فِيمَا اخْتَلَفْنَا

Slogan ‘Kita bekerjasama dalam apa yang kita sepakat dan kita saling memaafkan dalam apa yang kita selisih’ yang diketengahkan oleh Hasan al-Banna kesudahannya menyaksikan IM terpalit dalam banyak hal kesyirikan, kebidaahan dan khurafat terutamanya sesudah IM menjalin hubungan taqrib dengan pengikut fahaman Rafidah (Syiah) dan mengadakan pakatan politik dengan parti-parti sosialis dan sekular di Mesir.

Perlu ditegaskan bahawa slogan ini secara amnya salah kerana terdapat pelbagai bentuk perselisihan dalam kalangan manusia di mana ada sebahagiannya Muslim boleh berkompromi dan ada sebahagian yang lain tidak boleh.

Sebagai contohnya Muslim tidak boleh berkompromi dalam perselisihan yang melibatkan isu-isu akidah, kesyirikan, kekufuran, kebidaahan, kemaksiatan serta permasalahan-permasalahan yang dalilnya jelas daripada Al-Quran dan al-Sunah.

Begitu juga Muslim tidak boleh berkompromi dengan kumpulan-kumpulan sesat seperti Rafidah (Syiah) pencela Sahabat Nabi ﷺ, Batiniah, Khawarij pengkafir umat Islam dan golongan Kuburiyyun yang tawaf di sekeliling kubur kerana ia melibatkan prinsip-prinsip akidah dan manhaj.

Pendek kata, seharusnya dibezakan antara isu-isu pokok agama iaitu akidah dan manhaj serta permasalahan-permasalahan yang tiada ruang untuk ijtihad kerana nasnya jelas dalam Al-Quran dan al-Sunah dengan isu-isu yang ada ruang untuk ijtihad kerana tiada nas sarih (jelas) mengenainya dalam Al-Quran dan al-Sunah.

Maka dalam isu-isu ijtihad Muslim boleh berkompromi manakala dalam isu-isu yang bukan ijtihad tidak boleh.

Sebaliknya setiap Muslim perlu tegas mempertahankan isu-isu akidah dan manhaj serta menjelaskan permasalahan-permasalahan yang nasnya jelas dalam Al-Quran dan al-Sunah kepada masyarakat.

Ini penting supaya kesucian agama Islam dipertahankan dan kebenaran ditegakkan di samping mengelakkan berlakunya kekeliruan dalam masyarakat.

Pendekatan ini selari dengan firman Allah ﷻ:

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِ.

“Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam membuat kebaikan dan ketakwaan, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara-perkara dosa dan penindasan.”

[Al-Quran, al-Ma’idah, 5:2]

Sabda Nabi ﷺ:

الدِّينُ ‌النَّصِيحَةُ.

“Agama itu nasihat (tulus murni).”

[Sahih. Riwayat Muslim]

Sabdanya lagi ﷺ:

مَنْ ‌رَأَى ‌مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ. فَإِنْ لم يستطع فبلسانه. ومن لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ. وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيمَان.

“Barang siapa melihat satu kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Jika dia tidak mampu maka hendaklah dengan lisannya. Dan jika dia tidak mampu maka hendaklah dengan hatinya dan itu merupakan selemah-lemah iman.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

——————-

Isu Khilafiah Perbezaan Pendapat Ulama:

ULAMA BERBEZA PENDAPAT

——————-

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk.

Idris bin Sulaiman
Kajang
13 Zulkaedah 1443H /
13 Jun 2022

Similar Posts