|

KANAK-KANAK SOLAT DI MASJID

– Hadis-hadis mengharuskan kanak-kanak masuk masjid
– Mengkhususkan saf untuk kanak-kanak

Disyariatkan membawa kanak-kanak ke masjid sekiranya mereka sudah berumur tujuh tahun ke atas bagi membolehkan mereka solat agar apabila baligh mereka sudah biasa dengan solat berjemaah di masjid.

Ini berdasarkan sabda Nabi ﷺ:

‌مُرُوا ‌أوْلادَكُم بِالصَّلاةِ وَهُمْ أبْنَاء سَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أبْنَاءُ عَشْرِ سِنِين.

“Perintahkan anak-anak kamu mengerjakan solat apabila mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka kerananya apabila mereka berumur sepuluh tahun.”

[Hasan. Riwayat Abu Daud]

Tidak dinafikan bahawa terdapat banyak kebaikan membawa kanak-kanak ke masjid. Di samping mempelajari tatacara solat si anak akan turut dapat membiasakan dirinya dengan suasana dalam masjid dan membuatkan hatinya lebih dekat dengannya.

Malah kanak-kanak di bawah umur tujuh tahun pun dibenarkan masuk masjid.

Ini berdasarkan banyak hadis Nabi ﷺ.

HADIS-HADIS MENGHARUSKAN KANAK-KANAK MASUK MASJID

1. Hadis Abu Qatadah radiallahuanhu, katanya:

بَيْنَا نَحْنُ فِي الْمَسْجِدِ جُلُوسٌ، خَرَجَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ يَحْمِلُ ‌أُمَامَةَ ‌بِنْتَ ‌أَبِي ‌الْعَاصِ بْنِ الرَّبِيعِ، وَأُمُّهَا زَيْنَبُ بِنْتُ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ، وَهِيَ صَبِيَّةٌ يَحْمِلُهَا عَلَى عَاتِقِهِ، فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ ﷺ، وَهِيَ عَلَى عَاتِقِهِ، يَضَعُهَا إِذَا رَكَعَ، وَيُعِيدُهَا إِذَا قَامَ، حَتَّى قَضَى صَلَاتَهُ يَفْعَلُ ذَلِكَ بِهَا.

“Tatkala kami duduk di masjid Rasulullah ﷺ keluar bersama Umamah binti Abi al-Ash al-Rabi’. Ibunya ialah Zainab binti Rasulullah ﷺ. Umamah waktu itu masih kanak-kanak dan Rasulullah ﷺ mendukungnya di atas bahunya. Baginda mengerjakan solat dalam keadaan Umamah di atas bahunya dan baginda meletakkannya apabila rukuk dan mengangkatnya semula apabila bangun. Baginda berbuat demikian sehingga selesai solat.”

[Sahih. Riwayat Abu Daud]

2. Hadis Abu Bakrah al-Thaqafi radiallahuanhu, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ كَانَ يُصَلِّي، فَإِذَا سَجَدَ ‌وَثَبَ ‌الْحَسَنُ عَلَى ظَهْرِهِ، وَعَلَى عُنُقِهِ، فَيَرْفَعُ رَسُولُ اللهِ ﷺ رَفْعًا رَفِيقًا لِئَلَّا يُصْرَعَ، قَالَ: فَعَلَ ذَلِكَ غَيْرَ مَرَّةٍ، فَلَمَّا قَضَى صَلَاتَهُ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، رَأَيْنَاكَ صَنَعْتَ بالْحَسَنِ شَيْئًا مَا رَأَيْنَاكَ صَنَعْتَهُ، قَالَ: ” إِنَّهُ رَيْحَانَتِي مِنَ الدُّنْيَا، وَإِنَّ ابْنِي هَذَا سَيِّدٌ، وَعَسَى اللهُ أَنْ يُصْلِحَ بِهِ بَيْنَ فِئَتَيْنِ مِنَ الْمُسْلِمِينَ.

“Ketika Rasulullah ﷺ sedang solat, baginda sujud lalu al-Hasan naik di belakangnya maka Rasulullah ﷺ bangkit secara perlahan-lahan agar dia tidak terjatuh. Baginda berbuat sedemikian lebih daripada sekali. Sesudah solat mereka berkata: Wahai Rasulullah, kami melihat engkau melakukan hal-hal tertentu dengan al-Hasan yang engkau sebelum ini belum pernah lakukan. Kata baginda: Dia adalah haruman raihanku di dunia dan anakku ini seorang pemimpin. Semoga Allah menjadikannya sebagai pendamai buat dua kumpulan orang-orang Islam.”

[Sahih. Riwayat Ahmad]

3. Hadis Syaddad radiallahuanhu, katanya:

خَرَجَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللهِ ﷺ، فِي إِحْدَى صَلَاتَيِ الْعَشِيِّ، وَهُوَ حَامِلٌ حَسَنًا أَوْ حُسَيْنًا، فَتَقَدَّمَ النَّبِيُّ ﷺ فَوَضَعَهُ ثُمَّ كَبَّرَ لِلصَّلَاةِ فَصَلَّى فَسَجَدَ بَيْنَ ظَهْرَيْ صَلَاتِهِ، سَجْدَةً أَطَالَهَا، قَالَ أَبِي: فَرَفَعْتُ رَأْسِي فَإِذَا الصَّبِيُّ عَلَى ظَهْرِ النَّبِيِّ ﷺ وَهُوَ سَاجِدٌ، فَرَجَعْتُ إِلَى سُجُودِي، فَلَمَّا قَضَى رَسُولُ اللهِ ﷺ، قَالَ النَّاسُ: يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّكَ سَجَدْتَ بَيْنَ ظَهْرَيْ صَلَاتِكَ سَجْدَةً أَطَلْتَهَا حَتَّى ظَنَنَّا أَنَّهُ قَدْ حَدَثَ أَمْرٌ، أَوْ أَنَّهُ يُوحَى إِلَيْكَ، قَالَ: كُلُّ ذَلِكَ لَمْ يَكُنْ وَلَكِنَّ ابْنِي ‌ارْتَحَلَنِي، فَكَرِهْتُ أَنْ أُعَجِّلَهُ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ.

“Rasulullah ﷺ keluar untuk mengerjakan solat Zuhur atau Asar dengan mendukung al-Hasan atau al-Husain. Nabi ﷺ beranjak ke hadapan dan meletakkannya sebelum bertakbir untuk solat. Semasa solat baginda sujud dan ternyata sujudnya begitu lama sekali.

Aku mengangkat kepalaku dan melihat anak itu berada di atas belakang Nabi ﷺ yang sedang sujud maka aku pun kembali sujud. Setelah selesai orang ramai berkata: Wahai Rasulullah, sebentar tadi engkau sujud begitu lama sehingga kami menyangka sesuatu telah berlaku atau wahyu sedang turun ke atasmu. Baginda berkata: Semua itu tidak berlaku. Hanya sahaja cucuku ini menunggang atas aku dan aku tidak mahu mengganggunya sehinggalah hajatnya selesai.”

[Sahih. Riwayat al-Nasa’i]

4. Hadis Anas bin Malik radiallahuanhu, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ ‌يَسْمَعُ ‌بُكَاءَ ‌الصَّبِيِّ مَعَ أُمِّهِ، وَهُوَ فِي الصَّلَاةِ، فَيَقْرَأُ بِالسُّورَةِ الْخَفِيفَةِ أَوْ بِالسُّورَةِ القصيرة.

“Rasulullah ﷺ mendengar tangisan bayi yang sedang bersama ibunya ketika solat maka baginda pun membaca surah yang pendek.

[Sahih. Riwayat Muslim]

5. Sabda Nabi ﷺ:

إِنِّي لَأَقُومُ فِي الصَّلَاةِ، أُرِيدُ أَنْ ‌أُطَوِّلَ ‌فِيهَا، فَأَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ فَأَتَجَوَّزُ فِي صَلَاتِي؛ كَرَاهِيَةَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمِّهِ.

“Aku memulakan solat dengan niat untuk memanjangkannya tetapi apabila mendengar tangisan bayi aku memendekkan solatku kerana tidak mahu membebankan ibunya.

[Sahih. Riwayat Bukhari]

Hadis-hadis di atas semuanya menunjukkan keharusan membawa kanak-kanak di bawah umur tujuh tahun masuk masjid.

KEBURUKAN MENGKHUSUSKAN SAF UNTUK KANAK-KANAK

Hakikatnya mengkhususkan saf kanak-kanak di belakang saf orang dewasa tiada asasnya dalam syariat dan ia menimbulkan banyak keburukan seperti menyebabkan mereka bermain, membuat bising dan mengganggu jemaah lain.

Justeru kanak-kanak yang boleh solat sewajarnya dibenarkan berdiri bersama orang-orang dewasa dan sebaiknya dipisah-pisahkan antara mereka dengan orang dewasa bagi mengelakkan mereka daripada bermain sesama mereka. Lebih baik jika setiap anak berdiri di sebelah bapa masing-masing supaya mereka lebih mudah dikawal.

KANAK-KANAK MASUK DALAM SAF HADAPAN

Tiada halangan sama sekali untuk kanak-kanak masuk ke dalam saf yang pertama atau mana-mana saf hadapan.

Adapun perbuatan mengarahkan kanak-kanak yang berada dalam saf hadapan supaya berundur maka ia tidak wajar dan dilarang agama.

Hadis Ibnu Omar radiallahuanhuma, katanya:

نَهَى النَّبِيُّ ﷺ أَنْ ‌يُقِيمَ ‌الرَّجُلُ أَخَاهُ مِنْ مَقْعَدِهِ وَيَجْلِسَ فِيهِ.

“Nabi ﷺ melarang seseorang meminta saudaranya berdiri dari tempatnya lalu dia duduk di tempat tersebut.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Maka sesiapa yang masuk dahulu ke dalam saf hadapan dialah yang berhak ke atas tempat itu walaupun dia hanya kanak-kanak. Orang dewasa yang mahukan tempat dalam saf hadapan perlu datang lebih awal.

HADIS MELARANG KANAK-KANAK MASUK MASJID

Adapun hadis:

‌جَنِّبُوا مَسَاجِدَكُمُ الصِّبْيَانَ، وَالْمَجَانِينَ.

“Jauhkan masjid-masjid kamu daripada kanak-kanak dan orang-orang gila.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Abdul Razak, al-Tabarani dan Ibnu Majah tetapi didaifkan oleh Ibnu al-Jauzi, al-Munziri, al-Haithami, Ibnu Hajar dan yang lain. Maka ia tidak boleh dijadikan sandaran hukum.

CATATAN

Tidak dinafikan adanya kekeliruan dan kejahilan dalam isu membenarkan kanak-kanak masuk masjid. Pada hari ini jika ada imam solat dengan mendukung anak kecil atau dia membiarkan anak kecil itu menunggang di belakangnya apabila sujud barangkali dia akan dikritik oleh jemaah masjid. Walhal itu semua sabit daripada perbuatan Nabi ﷺ. Kesudahannya imam itu mungkin dilabel Wahabi.

Daripada Allah jua kita memohon hidayah dan taufik.

Idris bin Sulaiman
Kajang
23 Zulkaedah 1443H /
23 Jun 2022

Similar Posts

  • |

    BAHAYA WASWAS

    – Cara menghilangkannya – Faedah menuntut ilmu Rasa waswas boleh datang kepada sesiapa. Bisikan-bisikan yang hadir dalam hati manusia tanpa diundang. Sehingga menyebabkan orangnya rasa kurang yakin dan tidak tenang. Tidak kira dalam apa jua urusan, rasa waswas boleh datang mengganggu lalu menyebabkan apa yang pada asalnya mudah bertukar menjadi…

  • | | |

    BULAN REJAB

    Tidak sabit mana-mana hadis tentang kelebihan bulan Rejab secara amnya atau fadilat mana-mana ibadah secara khusus pada bulan ini. Maka tidak disyariatkan mengucapkan tahniah sempena kedatangannya, berpuasa atau pun membaca doa-doa tertentu. Adapun doa: اللَّهُمَّ باَرِكْ لَنَا فِي رَجَب وَشَعْبَان وَبَلِّغْنَا رَمَضَان. “Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan…

  • |

    ORANG TIDAK PUASA BOLEH SAMA PAHALA ORANG BERPUASA

    Kepada mereka yang tidak berpuasa pada awal sepuluh hari Zulhijah hendaklah memperbanyakkan syukur apabila makan dan minum. Kerana sabda Nabi ﷺ: إِنَّ ‌لِلطَّاعِمِ ‌الشَّاكِرِ مِنَ الْأَجْرِ مِثْلَ الصَّائِمِ الصَّابِرِ. “Sungguh orang yang tidak berpuasa yang bersyukur apabila makan mendapat pahala seperti orang yang sabar berpuasa.” [Sahih. Riwayat al-Hakim] Muslim sentiasa…

  • | | |

    PASANGAN YANG BUATKAN RAMBUT BERUBAN SEBELUM MASANYA

    Antara doa yang diajarkan oleh Nabi ﷺ ialah memohon perlindungan daripada lima golongan manusia iaitu: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ جَارِ السُّوءِ، وَمِنْ زَوْجٍ تُشَيِّبُنِي قَبْلَ الْمَشِيبِ، وَمِنْ وَلَدٍ يَكُونُ عَلَيَّ رَبًّا، وَمِنْ مَالٍ يَكُونُ عَلَيَّ عَذَابًا، وَمِنْ خَلِيلٍ مَاكِرٍ عَيْنَهُ تَرَانِي وَقَلْبُهُ يرْعَانِي إِنْ رَأَى حَسَنَةً دَفَنَهَا، وَإِذَا رَأَى…

  • | | |

    BANYAKKAN AMALAN SOLEH 10 HARI PERTAMA ZULHIJAH

    Umat Islam dianjurkan supaya memperbanyakkan amalan soleh pada 10 hari pertama bulan Zulhijah. Sabda Nabi ﷺ: ‌مَا ‌مِنْ ‌أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهِنَّ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشَرَةِ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟ قَالَ: وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ…

  • | | |

    PUASA SEBELUM ISLAM

    Manusia sudah lama berpuasa sebelum kedatangan Islam. Ini sebagaimana firman Allah ﷻ: يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana ia telah diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu.” [Al-Quran, al-Baqarah, 2:83] Dan juga sabda Nabi ﷺ: أَفْضَلَ…