DALIL YANG BUKAN DALIL

– Zawq, kasyaf, ilham, mimpi, majoriti, al-Sawad al-A’zam, jumhur ulama, khilaf

Umat Islam sejak dahulu sepakat mengatakan bahawa sumber dalil agama ialah Al-Quran dan as-Sunah.

Tetapi bagi sesiapa yang mengikuti perbahasan hal-hal agama khususnya di media sosial akan mendapati bahawa kini telah muncul pelbagai bentuk dalil lain yang dijadikan sebagai hujah bagi memenangkan satu pendapat atau amalan.

Antara dalil-dalil ini ialah istilah-istilah yang mungkin baharu bagi sebahagian pengguna media sosial.

Contohnya ‘zawq’ yang bermaksud cita rasa dijadikan dalil dalam hal-hal agama kerana tok guru itu dilihat arif dan lebih tahu.

Di samping dalil ‘zawq’ ialah ‘kasyaf’ yang bermaksud tersingkap.

Yakni tersingkapnya rahsia alam ghaib melalui pandangan mata hati sang guru.

Jika wahyu adalah khusus bagi para nabi dan rasul maka kasyaf adalah bagi para guru tarekat.

Tetapi ada kalanya istilah kasyaf dilihat terlalu berat digunakan maka digantikan dengan istilah ilham atau mimpi.

Istilah-istilah ‘kasyaf’, ‘ilham’ dan ‘mimpi’ kesemuanya membawa maksud yang sama iaitu sang guru memperoleh ilmu langsung daripada Tuhan melalui jalan mata hatinya tanpa dia perlu membuka Al-Quran, kitab hadis atau mana-mana kitab ulama silam.

Di samping itu, amalan majoriti masyarakat setempat (ada kalanya disebut al-Sawad al-A’zam) atau adat budaya turun temurun juga sering dijadikan sebagai dalil alasan.

Takkan majoriti orang semua salah

Begitu juga dengan dalil pendapat jumhur ulama yang selalu dibangkitkan dalam perbahasan.

PENDAPAT JUMHUR ULAMA ADALAH BENAR?

Jika pendapat jumhur ulama tidak dapat digunakan maka istilah khilaf akan menjadi pengganti.

Maka kedengaran ayat seperti “Oh, ulama khilaf” atau “Ini isu-isu khilafiah” dan seumpamanya.

ULAMA KHILAF

Boleh dikatakan bahawa dalil-dalil di atas digunakan oleh kedua-dua kelompok para ilmuwan dan juga masyarakat awam.

Hujah-hujah yang dikemukakan oleh masyarakat awam sebagai dalil jauh lebih banyak.

Dan disebabkan masyarakat awam kebiasaannya tidak dapat menilai suatu perbahasan itu dari sudut inti dalamannya maka lumrah jika mereka beralih kepada sudut luaran.

Maka zahir luaran seseorang guru itu dijadikan sebagai dalil dan hujah seperti jubah, serban dan janggut sang guru itu.

Lebih besar serban seorang guru itu atau lebih panjang janggutnya maka itu semua petanda kehebatan dan ketinggian makam kedudukannya.

Sebahagian masyarakat turut menjadikan ijazah sama ada yang bersifat akademik (gelaran Dr. atau Profesor) atau yang bukan akademik (ijazah guru bersanad) yang dimiliki oleh sang guru sebagai dalil kebenaran ajaran yang dibawa oleh guru itu.

Perkataan-perkataan seperti ‘Islam itu luas’, ‘Ulama sudah lama bincang’, ‘Banyak perkara lain lebih utama dibahaskan’, ‘Pergi belajar lagi’ dan sebagainya sering dijadikan sebagai jawapan dalam perbahasan.

Dan yang terbaru ialah perihal seorang Tuan Guru itu mengulang-ulang lafaz selawat apabila mengemukakan suatu kenyataan.

Tiada walau satu pun nas daripada Al-Quran atau as-Sunah yang diucapkan. Cukup dengan berselawat setiap 1-2 minit berbicara.

Mungkin ramai merasa pelik dengan cara itu tetapi ada juga di luar sana yang melihatnya sebagai petanda benarnya ucapan sang Tuan Guru itu.

(Lihat gambar tangkap layar di bawah)

Ketika mana semua alasan di atas dilihat lemah dan tidak dapat menyangkal nas-nas Al-Quran dan as-Sunah yang dikemukakan maka kedengaran pula sebahagian guru yang mengajar di masjid berkata:

“Oh, orang awam tak perlu tahu dalil!”

Ikut sahaja apa yang diajarkan oleh sang guru. Jangan derhaka dan jangan biadab.

ORANG AWAM TAK PERLU TAHU DALIL?

Malah ada yang bersikap melampau sampai menghukum sesat sesiapa yang mengetengahkan dalil daripada Al-Quran dan as-Sunah atas alasan perlu berguru, mengikut pendapat mazhab dan sebagainya.

KITA KENA IKUT FAHAM GURU KITA?

Kemuncak segala ‘dalil yang bukan dalil’ tetapi ia menjadi senjata ampuh mereka yang tiada hujah bagi memenangkan sesuatu pendapat atau amalan ialah istilah:

“Wahabi!”

Istilah ini sangat mujarab kerana ia merupakan teknik halus bagi membunuh karakter dan merosakkan reputasi lawan dari mula tanpa perlu memberi sebarang respon penjelasan atau membantah hujah-hujah yang dikemukakan.

Perlu ditegaskan bahawa kesemua dalil, istilah dan jawapan di atas bukanlah dalil benar yang boleh digunakan dalam perbahasan-perbahasan agama.

Ini kerana seperti mana kata Imam Ibnu al-Qayyim:

“Ilmu itu ialah firman Allah, sabda Rasululllah dan kata-kata para Sahabat.”

Maka segala apa pendapat, ijtihad atau kenyataan hendaklah dikembalikan kepada nas Al-Quran, hadis dan amalan para Sahabat Nabi ﷺ untuk dinilai dan disaring.

Dalam masa yang sama jangan pula tulisan ini dikelirukan dengan dalil-dalil seperti al-Istishab, Istihsan, al-Masalih al-Mursalah dan seumpamanya yang diketengahkan oleh para ulama muktabar.

Dali-dalil ini walaupun ada perselisihan tetapi secara amnya diterima dan diguna pakai oleh para ulama khususnya dalam perbahasan-perbahasan fiqah.

Daripada Allah ﷻ jua kita memohon petunjuk dan panduan.

Idris bin Sulaiman
Kajang
16 Syaaban 1443H /
19 Mac 2022

Similar Posts

  • ORANG AWAM TAK PERLU TAHU DALIL?

    Kenyataan ini mengelirukan. Benar orang awam tidak wajib mengetahui dalil kerana Allah ﷻ hanya membebankan hambaNya dengan apa yang mereka mampu sedangkan bukan semua orang mampu tahu dan faham dalil. Tetapi ini sama sekali tidak bererti bahawa orang awam tidak patut diajar tentang dalil. Bukankah mengetahui dalil akan menambahkan ilmu…

  • |

    GOLONGAN SALAFI BERSIKAP KERAS?

    Tidak begitu. Keras tak keras lumrah di kalangan manusia. Tiada kaitan dengan kepercayaan dan anutan. Ternyata sifat keras ada di kalangan para Sahabat Nabi, di kalangan ulama, dan di kalangan masyarakat Islam secara amnya. Bukan hanya dalam kelompok Salafi. Dalam peristiwa orang Yahudi mengucapkan kepada Nabi: As-Saamu alaikum! (Maut atas…

  • ZIKIR MENARI

    – Sanggahan dalil-dalil lawan Pertamanya, ada perbahasan dalam kalangan para ulama berkenaan hukum menari bagi kaum lelaki. Majoriti para ulama memakruhkannya dengan alasan bahawa ia merupakan perbuatan yang hina (دَنَاءَةٌ), bodoh (سَفَهٌ), menjatuhkan kewibawaan(مُرُوءَةٌ) dan termasuk dalam hal-hal yang melalaikan (لَهوٌ). [al-Mauwsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 23/10] Ini kerana firman Allah ﷻ:…

  • |

    HADIS SEMUA BIDAAH SESAT

    – Faedah & pengajaran – Bidaah hasanah Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah, katanya: Rasulullah ﷺ apabila berkhutbah, kedua-dua matanya memerah, suaranya meninggi, tampak sekali kemarahan baginda sehingga seakan-akan baginda sedang memberi peringatan kepada sebuah pasukan tentera dengan berkata ‘Musuh akan datang menyerang kalian pada waktu pagi…

  • |

    SEJARAH KALENDAR HIJRAH

    – Doa awal tahun Hijrah vs Doa awal bulan Semalam saya ada menulis sebuah artikel berkenaan ‘Doa Akhir & Awal Tahun Hijrah’ di mana saya menyatakan bahawa tiada sebarang doa atau amalan yang sabit daripada Nabi ﷺ, para Sahabat atau para ulama muktabar bersempena dengan berakhirnya tahun Hijrah dan awalnya….

  • | | |

    1 ZULHIJAH 1444H – LARANGAN POTONG RAMBUT & KUKU

    Pengumuman Penyimpan Mohor semalam mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1444H ialah pada hari Selasa, 20 Jun 2023. Maka Hari Raya Aidiladha 10 Zulhijah bagi negeri-negeri seluruh Malaysia adalah pada hari Khamis, 29 Jun 2023. Bagi yang akan melaksanakan ibadah korban, Nabi ﷺ bersabda: مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أَهَلَّ هِلَالُ…