“BUKAN SEMUA ORANG BOLEH JADI MUAZIN TETAPI..”

“BUKAN SEMUA ORANG BOLEH JADI MUAZIN TETAPI..”

# Fadilat menjawab azan
# Indahnya Islam

Maklum bahawa muazin (bilal) yang mengumandangkan azan di sesebuah masjid atau surau hanyalah seorang, dan terdapat banyak fadilat kelebihan bagi para muazin.

Antaranya Nabi ﷺ mendoakan keampunan buat mereka dalam sabdanya ﷺ:

اللهُمَّ أَرْشِدِ الْأَئِمَّةَ، ‌وَاغْفِرْ ‌لِلْمُؤَذِّنِينَ.

“Ya Allah, berilah petunjukmu kepada para imam dan ampunilah para muazin.”

[Sahih. Riwayat Abu Daud]

Di sini persoalan, adakah ini bererti bahawa orang-orang Islam lain dikira rugi kerana tidak dapat turut sama mengumandangkan azan?

Jawapannya tidak.

Ini kerana mereka yang mendengar azan turut dianjurkan untuk menjawabnya dengan mengucapkan perkara yang sama seperti mana yang diucapkan oleh muazin.

Ini berdasarkan sabda Nabi ﷺ:

إِذَا ‌سَمِعْتُمُ ‌النِّدَاءَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ الْمُؤَذِّنُ.

“Jika kamu mendengar azan maka jawablah seperti mana yang diucapkan oleh muazin.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Hanya sahaja apabila muazin berkata “hayya ala as-solah” (marilah mengerjakan solat) dan “hayya ala al-falah” (marilah menuju kejayaan) maka para pendengar hendaklah mengucapkan “la haula wala quwwata illa billah” (tiada perubahan dan tiada kekuatan kecuali dengan izin Allah).

[Sahih. Riwayat Muslim]

Justeru masing-masing dengan amal ibadah masing-masing. Muazin mengumandangkan azan manakala para pendengar menjawab azan tersebut.

Setiap pihak mendapat pahala kelebihan masing-masing. Adil dan saksama.

Betapa indahnya Islam.

Idris bin Sulaiman
Kajang
21 Muharama 1443H /
31 Ogos 2021

Similar Posts

  • MANUSIA SEPERTI BUKU

    MANUSIA SEPERTI BUKU Ada buku yang dibaca dapat difahami dan diambil manfaat daripadanya. Dalam masa yang sama, ada buku yang dibaca tetapi isinya tidak dapat difahami. Terdapat juga buku yang dibaca tetapi maklumatnya tidak disampaikan dengan betul maka ia menimbulkan salah faham pembacanya. Demikian ada buku yang luarannya tampak cantik…

  • KESEDERHANAAN DALAM DUNIA

    KESEDERHANAAN DALAM DUNIA Kata Syeikh al-Albani rahimahullah: “Tidak syak bahawa KECUKUPAN itu bergantung kepada individu, zaman dan keadaan. Dan seseorang yang berakal perlu sentiasa memastikan agar dia dapat MEREALISASIKAN KESEDERHANAAN yang sesuai untuk dirinya supaya dia tidak ditimpa kesusahan yang disebabkan oleh KEMISKINAN. Dalam masa yang sama, hendaklah dia JANGAN…

  • INDAHNYA ISLAM

    INDAHNYA ISLAM # Keutamaan Tauhid # Bahaya syirik # Wajibnya birrul walidain Kedua-dua mereka mendesak secara bersungguh-sungguh supaya dinafikan hak ALLAH ﷻ sedangkan ALLAH ﷻ memerintahkan supaya mereka tetap dilayan dengan sebaik-baiknya. Firman ALLAH ﷻ: وَإِن جَٰهَدَاكَ عَلَىٰٓ أَن تُشۡرِكَ بِي مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٞ فَلَا تُطِعۡهُمَاۖ وَصَاحِبۡهُمَا فِي…