|

BACAAN SEMASA KHATIB DUDUK ANTARA DUA KHUTBAH JUMAAT

Sebahagian ulama menganjurkan bacaan doa semasa khatib duduk antara dua khutbah Jumaat atas alasan untuk meraih waktu mustajab doa pada hari Jumaat.

Berdasarkan hadis Abu Musa al-Asyari, katanya:

سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ ﷺ يقول – يعني في ساعة الجمعة: هِيَ مَا بَيْنَ أَنْ يَجْلِسَ الإِمَامُ إِلى أَنْ تُقْضَى الصَّلاَةُ.

“Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda (mengenai waktu mustajab doa pada hari Jumaat): Waktunya antara imam duduk (sejurus selepas naik mimbar dan memberi salam) hingga solat (Jumaat) selesai.”

[Sahih. Riwayat Muslim, no. 853]

Hanya sahaja tidak sabit daripada Nabi ﷺ atau para Sahabat sebarang doa atau zikir khusus semasa khatib duduk antara dua khutbah Jumaat ini.

Hadis Abu Musa al-Asyari di atas pula tidak menetapkan waktu mustajab doa semasa khatib duduk antara dua khutbah Jumaat secara spesifik, sebaliknya duduk yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah sejurus selepas khatib naik mimbar dan memberi salam.

[Syarah Sahih Muslim oleh al-Nawawi, 6/140]

Maka tidak wajar untuk ditetapkan mana-mana bacaan doa atau zikir untuk diamalkan secara berterusan setiap kali semasa khatib duduk antara dua khutbah Jumaat.

Kata al-Hafis Ibnu Hajar:

وإذا اشتغلوا بالدعاء فالأولى أن يكون سرا، لما في الجهر من التشويش على بعضهم، ولأن الإسرار هو الأفضل في الدعاء.

“Jika mereka (sidang Jumaat) berdoa maka sebaiknya dibaca secara perlahan. Ini kerana bacaan doa secara kuat akan mengganggu jemaah lain. Sedangkan afdalnya doa dibaca secara perlahan..”

[al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/251]

Menurut Muhammad Rashid Reda:

أما رفع اليدين والأصوات بالدعاء عند جلوس الخطيب بين الخطبتين فلا نعرف له سنة تؤيده، ولا بأس به لولا التشويش، وأنهم جعلوه سنة متبعة بغير دليل. المأثور: طلب السكوت إذا صعد الإمام المِنبر، وإنما السكوت للسماع؛ لذلك نقول: لا بأس بالدعاء في غير وقت السماع، ولكن يدعو خُفية، لا يؤذي غيره بدعائه، ولا يرفع كل الناس أيديهم، فيكون ذلك شعارًا من شعائر الجمعة بغير هداية من السنة فيه؛ بل إنهم يخالفون صريح السنة.

“Adapun mengangkat kedua-dua tangan dan meninggikan suara bacaan doa semada khatib duduk antara dua khutbah Jumaat maka tidak diketahui sebarang hadis yang menyokong perbuatan ini. Ia tidak mengapa jika tidak mengganggu orang lain. Tetapi kini hal ini dilakukan secara berterusan tanpa dalil. Padahal syariat menuntut supaya para hadirin diam apabila khatib naik mimbar untuk mereka dengar (khutbah), sekalipun dibolehkan berdoa apabila khatib duduk antara dua khutbah tetapi hendaklah doa dibaca secara perlahan, jangan sampai mengganggu orang lain, dan jangan pula dengan orang ramai semua mengangkat tangan lalu ia dijadikan sebagai amalan pada hari Jumaat secara berterusan tanpa panduan daripada al-Sunah. Malah perbuatan sebegini menyalahi al-Sunah.”

[Majalah al-Manar, 6/792]

KESIMPULAN

Semasa khatib duduk antara dua khutbah Jumaat, para hadirin dibolehkan berdoa atau berzikir tetapi hendaklah dilakukan secara bersendirian dengan suara perlahan, bukan beramai-ramai dengan suara kuat. Tetapi ia tidak boleh dijadikan sebagai amalan rutin yang dilakukan pada setiap kali khutbah Jumaat. Adapun amalan bilal masjid membaca secara kuat ayat Al-Quran yang perintah supaya berselawat (33:56) dan para jemaah menadah tangan seperti mengaminkan bacaan ayat Al-Quran itu maka ia tiada asasnya dalam al-Sunah malah menyalahi al-Sunah itu.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
25 Rejab 1445H
06 Februari 2024
https://idrissulaiman.com

Similar Posts

  • DALIL YANG BUKAN DALIL

    – Zawq, kasyaf, ilham, mimpi, majoriti, al-Sawad al-A’zam, jumhur ulama, khilaf Umat Islam sejak dahulu sepakat mengatakan bahawa sumber dalil agama ialah Al-Quran dan as-Sunah. Tetapi bagi sesiapa yang mengikuti perbahasan hal-hal agama khususnya di media sosial akan mendapati bahawa kini telah muncul pelbagai bentuk dalil lain yang dijadikan sebagai…

  • BERPEGANG KEPADA NAS; CARA BERINTERAKSI DENGAN MAZHAB

    – Nas Al-Quran & hadis – Keempat-empat mazhab fiqah Setiap Muslim diwajibkan berpegang kepada nas-nas Al-Quran dan hadis serta mengikuti petunjuk kedua-duanya dalam segala urusan kehidupannya. Ini berdasarkan dalil-dalil nas yang begitu banyak sekali. Bagaimanakah pula dengan pendapat keempat-empat mazhab fiqah? Pendapat-pendapat mazhab boleh dibahagikan kepada tiga kategori: i. Apa…

  • |

    BIDAAH HASANAH

    – Dalil-dalil syubhah & jawapan SYUBHAH PERTAMA: Sabda Nabi ﷺ: مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ…

  • |

    WAJIB INGKAR KEMUNGKARAN

    Sabda Nabi ﷺ: مَن رَأَى مِنكُم مُنكَراً فَليُغَــيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطعْ فَبِقَلبِه وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإيمَان. “Barang siapa di antara kalian melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengingkarinya dengan tangannya. Jika dia tidak mampu maka hendaklah dengan lisannya, dan jika dia masih tidak mampu maka hendaklah dengan…

  • |

    WAHABI: GELARAN DARI ORANG BANKRAP HUJAH

    Apabila tidak dapat balas hujah maka mereka bertindak melemparkan gelaran ‘buruk’ ini kepada lawan. Tujuannya untuk mencemarkan nama baik di samping menimbulkan kesangsian dan keraguan orang ramai terhadap lawannya itu. Senjata ampuh menurutnya. Walhal ini bukan cara yang diajar oleh Islam. Hujah sepatutnya dibalas dengan hujah dan sebarang perselisihan perlu…

  • |

    KEBENARAN TIDAK BOLEH DIPAKSA

    Muslim disuruh supaya memberi ingatan yang baik, tegur-menegur di samping mengajak manusia lain kepada kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Sekadar menyampaikan, tanpa paksaan. Terserah kepada empunya badan untuk menerimanya atau tidak. Firman Allah ﷻ: وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ لَأٓمَنَ مَن فِي ٱلۡأَرۡضِ كُلُّهُمۡ جَمِيعًاۚ أَفَأَنتَ تُكۡرِهُ ٱلنَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُواْ مُؤۡمِنِينَ “Dan jika…