|

BACAAN ISTIAZAH SEBELUM MEMBACA AL-QURAN MENURUT AL-SUNAH

Sebelum membaca Al-Quran hendaklah terlebih dahulu membaca istiazah berdasarkan firman Allah ﷻ:

فَإِذَا قَرَأۡتَ ٱلۡقُرۡءَانَ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ ٱلرَّجِيمِ

“Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran maka hendaklah engkau (terlebih dahulu) beristiazah (memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang direjam).”

[Al-Quran, al-Nahl, 16: 98]

Demikian dalam solat sebelum membaca basmalah dan al-Fatihah.

Bacaan istiazah ini hukumnya wajib berdasarkan lafaz perintah dalam ayat di atas, berdosa jika tidak membacanya.

Terdapat dua cara membaca istiazah menurut al-Sunah iaitu:

Bacaan pertama:

‌أَعُوذُ ‌بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ، ‌مِنْ ‌هَمْزِهِ، وَنَفْخِهِ، وَنَفْثِهِ

‘Auzubillahiminasy’syaitanirrajim, min hamzihi wa nafkhihi wa nafthih’.

“Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam, daripada kegilaan, kesombongan dan hembusan bisikannya.”

[Sahih. Riwayat Abu Daud, no. 764]

Bacaan kedua:

‌أَعُوذُ ‌بِاللهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ، ‌مِنْ ‌هَمْزِهِ، وَنَفْخِهِ، وَنَفْثِهِ

‘Auzubillahissamil’alim minasy’syaitanirrajim, min hamzihi wa nafkhihi wa nafthih’.

“Aku berlindung kepada Allah, Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui daripada syaitan yang direjam, daripada kegilaan, kesombongan dan hembusan bisikannya.”

[Sahih. Riwayat Abu Daud, no. 775]

Jumhur ulama berpandangan bahawa lafaz istiazah sebelum membaca Al-Quran ialah:

أَعُوذُ بِٱللَّهِ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ ٱلرَّجِيمِ

‘Auzubillahiminasy’syaitanirrajim’.

“Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam.”

Dalil mereka ialah ayat 98, surah al-Nahl di atas.

Mereka turut berhujah antaranya dengan hadis Nabi ﷺ:

إِنِّي ‌لَأَعْلَمُ ‌كَلِمَةً ‌لَوْ ‌قَالَهَا لَذَهَبَ عَنْهُ مَا يَجِدُ، لَوْ قَالَ: أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

“Sesungguhnya aku tahu kalimah yang jika dia mengucapkannya nescaya akan hilanglah perasaan (marah) itu daripadanya. Andainya dia berkata: Auzubillahiminasy’syaitanirrajim.”

[Sahih. Riwayat Bukhari, no. 6115]

Jika diamati, dalil-dalil yang dikemukakan oleh jumhur bersifat umum sedangkan bacaan istiazah yang sabit dalam al-Sunah ialah dua lafaz yang telah disebutkan di atas yang antaranya disebutkan dalam hadis Abu Saeed al-Khudri:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ إِذَا ‌قَامَ ‌إِلَى ‌الصَّلَاةِ … كَبَّرَ ثُمَّ يَقُولُ: سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ… ثُمَّ يَقُولُ: أَعُوذُ بِاللَّهِ السَّمِيعِ العَلِيمِ مِنَ ‌الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ، مِنْ هَمْزِهِ ‌وَنَفْخِهِ وَنَفْثِه

“Rasulullah ﷺ apabila bangun solat… baginda ﷺ bertakbir kemudian berkata: Subhanakallahumma wabihamdika… Setelah itu baginda ﷺ berkata: Auzubillahissamil’alim minasy’syaitanirrajim, min hamzihi wa nafkhihi wa nafthih.”

[Sahih. Riwayat Tirmizi, no. 242]

Justeru dapat disimpulkan di sini bahawa bacaan istiazah sebelum membaca Al-Quran yang popular dalam masyarakat ‘Auzubillahiminasy’syaitanirrajim’ adalah selari dengan pendirian jumhur ulama berdasarkan nas-nas umum Al-Quran dan hadis manakala lafaz ‘Auzubillahiminasy’syaitanirrajim, min hamzihi wa nafkhihi wa nafthih’ dan juga ‘Auzubillahissamil’alim minasy’syaitanirrajim, min hamzihi wa nafkhihi wa nafthih’ telah sabit secara khusus dan praktikal dalam hadis sahih sebelum Nabi ﷺ membaca Al-Quran.

Afdalnya didahulukan kedua-dua lafaz istiazah yang sabit secara khusus ini sebelum membaca Al-Quran, dalam atau luar solat.

Beberapa poin untuk diambil perhatian:

  1. Bacaan istiazah wajib sebelum membaca Al-Quran, dalam atau luar solat;
  2. Dalam solat, bacaan istiazah dibaca sebelum membaca basmalah dan al-Fatihah;
  3. Sekalipun wajib, tidak membaca istiazah tidak membatalkan solat;
  4. Sebaiknya bacaan istiazah dibaca dalam setiap rakaat;
  5. Lafaz ‘Auzubillahiminasy’syaitanirrajim’ boleh dibaca (sebelum membaca Al-Quran) tetapi afdalnya ialah bacaan ‘Auzubillahiminasy’syaitanirrajim, min hamzihi wa nafkhihi wa nafthih’ atau ‘Auzubillahissamil’alim minasy’syaitanirrajim, min hamzihi wa nafkhihi wa nafthih’ kerana kedua-dua lafaz inilah yang sabit dalam al-Sunah;
  6. Lafaz basmalah ‘Bismillahirrahmanirrahim’ hanya dibaca pada awal surah (kecuali surah al-Taubah) dalam atau luar solat. Adapun pada pertengahan surah maka cukup dengan membaca istiazah (tanpa basmalah);
  7. Kedua-dua bacaan istiazah dan basmalah dibaca secara perlahan sebagaimana keumuman firman Allah ﷻ “Dan berzikirlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut tanpa meninggikan suara” (Al-Quran, al-A’raf, 7:205). Kedua-dua istiazah dan basmalah termasuk dalam erti zikir mengingati Allah yang dinyatakan dalam ayat ini. Tambahan pula, Anas bin Malik apabila menjelaskan bacaan al-Fatihah Nabi ﷺ, Abu Bakar dan Omar dalam solat, beliau menegaskan “Mereka tidak mengeraskan bacaan: Bismillahirrahmanirrahim” (Sahih. Riwayat Ahmad, no. 12845);
  8. Tiada apa-apa bacaan setelah selesai membaca Al-Quran. Adapun ucapan ‘Sadaqallahulazim’ selepas membaca Al-Quran ia tidak disyariatkan kerana tiada dalil dan tiada petunjuknya dalam al-Sunah. Malah ia antara amalan yang diada-adakan yang perlu ditinggalkan;
  9. Ada keluasan dan kelonggaran jika membaca istiazah secara umum di luar solat dan untuk selain membaca Al-Quran termasuklah dengan membaca ‘Auzubillahiminasy’syaitanirrajim’.

Wabillahittawfiq.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
06 Muharam 1445H
24 Julai 2023

Similar Posts

  • | |

    SOLAT SUNAT DUA RAKAAT SUBUH

    – Tatacara pelaksanaan – Jangan lebih dua rakaat Muslim dianjurkan mengerjakan solat sunat (qabliyah) sebelum Subuh sebanyak dua rakaat. Daripada Hafsah radiallahuanha, katanya: كَانَ رَسُولُ اللهِ ﷺ إذا ‌طَلَعَ ‌الْفَجْرُ ‌لَا ‌يُصَلِّي إِلَّا رَكْعَتَيْنِ خَفِيفَتَيْنِ. “Rasulullah ﷺ jika sudah terbit fajar baginda tidak akan solat (sunat) kecuali dua rakaat ringkas.”…

  • KHATIB DOA KEBINASAAN PELAKU BIDAAH

    – Khutbah Jumaat Ramai sidang Jumaat mungkin tidak sedar ketika mengaminkan doa khatib apabila dia membaca: “Waahlikil kafarata wal mubtadi’ata wal musyrikin…” (Dan binasakanlah orang-orang kafir, pelaku-pelaku bidaah dan orang-orang musyrikin…) Kebiasaannya apa yang diajarkan ialah bahawa dalam agama ada bidaah hasanah. Maka mengapa pula khatib bertauliah mendoakan kebinasaan buat…

  • | |

    MALAM NISFU SYAABAN

    Sabda Nabi ﷺ: يَطَّلِعُ ‌اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى إلَى خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ، فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا ‌لِمُشْرِكٍ ‌أَوْ ‌مُشَاحِنٍ. “Allah tabaraka wa ta’ala turun kepada makhlukNya pada malam Nisfu Syaaban lalu Dia mengampuni seluruh makhlukNya kecuali orang musyrik dan orang yang bermusuhan.” Riwayat Ibnu Abi al-Asim dan yang lain….

  • | | |

    MALAM LAILATULQADAR: HADIS PALSU

    Berlegar di media sosial riwayat hadis bahawa terdapat 4 golongan yang Allah tidak akan ampunkan pada Malam Lailatulqadar ialah peminum arak, derhaka kepada ibu bapa, pemutus silaturahim dan orang yang bermusuhan. Riwayat ini ditarafkan sebagai palsu, mauduk. Demikian ditegaskan oleh Syeikh al-Albani dalam Daif al-Tarhib, no. 594. Justeru riwayat-riwayat sebegini…

  • | | |

    PASANGAN YANG BUATKAN RAMBUT BERUBAN SEBELUM MASANYA

    Antara doa yang diajarkan oleh Nabi ﷺ ialah memohon perlindungan daripada lima golongan manusia iaitu: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ جَارِ السُّوءِ، وَمِنْ زَوْجٍ تُشَيِّبُنِي قَبْلَ الْمَشِيبِ، وَمِنْ وَلَدٍ يَكُونُ عَلَيَّ رَبًّا، وَمِنْ مَالٍ يَكُونُ عَلَيَّ عَذَابًا، وَمِنْ خَلِيلٍ مَاكِرٍ عَيْنَهُ تَرَانِي وَقَلْبُهُ يرْعَانِي إِنْ رَأَى حَسَنَةً دَفَنَهَا، وَإِذَا رَأَى…

  • | |

    BERDOA DALAM SELAIN BAHASA ARAB KETIKA SOLAT

    Sekalipun ada perbezaan pendapat, tetapi InsyaAllah PANDANGAN yang rajih YANG KUAT sebagaimana yang dijelaskan oleh Syeikh Al-Albani, Syeikh Muhammad bin Saleh Al-Uthaimin, Syeikh Saleh Al-Fauzan dan yang lain ialah pandangan yang MENGHARUSKAN BERDOA DALAM BAHASA SELAIN ARAB bagi mereka yang tidak mampu berbahasa Arab. . Ini kerana TIADA NAS yang…