|

ALLAHYARHAM USTAZ RASUL DAHRI

Ramai terkejut mendapat khabar duka petang semalam. Allahyarham Ustaz Rasul bin Dahri, guru yang banyak berjasa lebih tiga dekad, tokoh pejuang al-Sunah yang gigih menyampaikan dakwah Salaf al-Soleh di Malaysia sudah pergi menghadap Ilahi.

Sudah beberapa tahun beliau kurang sihat tetapi tiada sesiapa menyangka bahawa beliau akan pergi begitu cepat sekali. Benar, itulah ajal rahsia Allah ﷻ, tiada siapa yang tahu dan tiada siapa yang dapat menduganya. Kali terakhir berbual dengan Allahyarham kurang dua minggu lepas melalui telefon. Suara beliau jelas dan terang seperti selalu. Tidak pula tampak sebarang beza. Siapa sangka suara yang begitu sudah pun pada hari ini pergi meninggalkan dunia. Hati merasa sangat berduka, air mata berlinangan akan tetapi tiada kata yang diucapkan kecuali apa yang diredai oleh Tuhan.

Kami sudah lama kenal dengan Allahyarham dan keluarganya sejak saya masih kecil sewaktu berada di Tanah Suci Mekah. Waktu itu ayahanda saya dan Allahyarham belajar di universiti yang sama, Universiti Umm al-Qura. Kedua-dua keluarga menetap di sana beberapa tahun.

Terharu membaca ucapan takziah YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan. Allahyarham seorang pendakwah negara yang diakui ramai. Semoga Allah ﷻ membalas jasa bakti beliau dengan sebaik-baik balasan.

Selama ini acap kali sahabat-sahabat mengajak untuk bertandang ke rumah Allahyarham tetapi saya sering berdalih rumah beliau sangat jauh. Memang rumah Allahyarham agak jauh dari Kajang memakan masa berjam-jam berkereta ke Johor. Apakan daya, takdir mengatasi segala-gala apabila mendapat khabar duka petang semalam yang disahkan oleh anakanda Allahyarham. Saya kumpulkan segala azam dan tenaga untuk terus bertolak ke rumah Allahyarham bersama rombongan lewat petang semalam. Kami bergerak terus naik kereta dan hanya berhenti sekali sahaja untuk mengisi minyak. Risau pada awal perjalanan tidak tahu sama ada jenazah akan diuruskan pada malam itu juga atau keesokan harinya. Selang beberapa jam dalam perjalanan terjelas buat kami bahawa jenazah benar-benar akan diuruskan pada malam itu juga. Timbul pula kekhuatiran bahawa kami tidak akan sempat melihat jenazah Allahyarham sebelum dikebumikan. Satu jemaah silih berganti sedang mensolatkan Allahyarham, kami dimaklumkan kerana ruangan terhad. Sementara itu kubur masih lagi digali menunggu untuk disiapkan. Sekitar sejam sebelum tiba anakanda Allahyarham menelefon untuk bertanya di mana dan memaklumkan bahawa masih ada jemaah yang mensolatkan jenazah. Lega mendengarnya. Hampir jam 11 malam baru kami tiba di perkarangan rumah Allahyarham. Terkejut kerana terlalu ramai yang masih menunggu untuk jenazah dibawa ke perkuburan. Ratusan jumlah mereka yang menghurung di perkarangan rumah. Saya dan rombongan terus diiring masuk ke ruang tamu rumah tempat jenazah ditempatkan. Salah seorang waris membuka kain penutup. Tertampaklah wajah Allahyarham tenang matanya tertutup seakan sedang tidur. Saya kucup dahi beliau. Setelah itu kami pun laksanakan solat jenazah. Ternyata kami jemaah yang terakhir. Terima kasih kepada keluarga Allahyarham kerana sudi menunggu. Sejurus kemudian dimaklumkan bahawa kubur sudah pun siap digali lalu jenazah langsung dibawa ke tanah perkuburan tidak berapa jauh dari rumah. Berbondong-bondong mereka yang mengiringi jenazah Allahyarham. Sangat ramai walhal jam menunjukkan sudah hampir tengah malam. Setibanya di perkuburan jenazah diturunkan kemudian dibawa masuk ke dalam liang lahad sebelum dikambus dengan tanah.

Saya diamanahkan oleh keluarga Allahyarham untuk memberi sepatah dua kata kepada para hadirin. Terharu dengan kepercayaan yang diberi. Alhamdulillah jenazah diurus sesuai dengan al-Sunah tanpa bertangguh-tangguh, langsung dimandikan dan dikafankan sebelum solat jenazah dan pengebumian. Tiada selingan acara bacaan wirid, doa beramai-ramai ataupun tokok tambah lain seperti mana yang banyak berlaku. Sebaliknya diurus dengan ringkas dan mudah seperti mana sepatutnya, selari dengan tuntutan agama.

Syukur atas nikmat Islam dan al-Sunah. Harapan tinggi agar jenazah kita pun diurus begitu, tanda husnul khatimah pengakhiran yang diimpikan oleh semua. Tepat jam 12 tengah malam selesai semua urusan pengebumian jenazah Allahyarham. Alhamdulillah syukur. Segala urusannya dipermudahkan.

Saya dan rakan-rakan berkunjung semula ke rumah Allahyarham untuk bertemu ahli keluarga dan mengucapkan takziah. Saya dimaklumkan bahawa balu Allahyarham mahu berjumpa. Beliau yang sudah pun uzur berkerusi roda menceritakan detik-detik terakhir Allahyarham pada hari itu. Harinya bermula seperti biasa, tiada apa-apa di luar kebiasaan. Malah pada sebelah malamnya Allahyarham dijadualkan akan mengadakan rakaman kuliah seputar bidaah Yasinan dan upah khatam Al-Quran. Gigihnya Allahyarham berdakwah sampai ke hari terakhir. Pengakhiran yang sangat dicemburui. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir dalam kamar tidur di atas katil di sisi isteri sekitar jam 4 petang semalam, 12 Zulhijah 1445H bersamaan 19 Jun 2024. Beliau meninggalkan seorang balu dan 13 anak, 6 lelaki dan 7 perempuan.

Menariknya balu Allahyarham ada menyebut seperkara mengenai sebuah peristiwa yang berlaku atas Allahyarham pada awal bulan. Barangkali dalam kesempatan lain diceritakan. Penting juga sebenarnya.

Selesai solat Maghrib dan Isyak secara jamak dan qasar kami terus berlangsung pulang kerana waktu sudah pun larut malam. Benarlah perjalanan pada waktu malam bumi dilipatkan kerana perjalanan lancar dan pantas. Tidak pula rasa lama dan masa berjalan begitu cepat, tanpa rasa ngantuk. Semakin hampir ke destinasi Kajang tidak semena-mena hujan lebat turun mencurah-curah. Jarang begitu. Allahuma sayyiban nafian. Sampai di rumah waktu sudah pun Subuh. Semalaman di atas jalan raya dari Maghrib ke Subuh. Alhamdulillah dapat hadir menjenguk Allahyarham buat kali terakhir dan semuanya lancar mudah.

Semoga Allah ﷻ mengampuni al-Fadil Ustaz Rasul bin Dahri rahimahullah, meninggikan darjat dan memberi sebaik-baik ganjaran syurga Firdaus buat Allahyarham. Amin.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
13 Zulhijah 1445H
20 Jun 2024
https://idrissulaiman.com

Similar Posts

  • | |

    HADIS SAHIH SYÍAĤ

    HADIS SAHIH SYÍAĤ Berbeza dengan Ahli Sunah, golongan Syĩaħ mempunyai kaedah mereka yang tersendiri bagi menentukan sama ada sesebuah hadis itu sahih atau tidak. Syĩaħ membahagikan hadis kepada sahih, dipercayai (muwath’thaq), lemah (daif) serta tertolak (mardud) atau palsu (makdhub). Bagi Syĩaħ hadis sahih ialah apa yang datang daripada riwayat Ahlul…

  • |

    DISENGAT LEBAH KERANA BUAT BIDAAH

    Beliau dijemput untuk menjampikan sarang lebah agar menghasilkan lebih banyak madu. Pada awalnya, beliau cuba membaca ayat-ayat al-Quran yang dirasakan berkaitan daripada surah al-Nahl (Lebah), namun tidak sempat menyempurnakannya kerana diserang oleh lebah. Akhirnya, mereka terpaksa menyelamatkan diri dengan masuk ke dalam kenderaan masing-masing. Inilah bahana melakukan bidaah dalam agama….

  • |

    MAHA SUCI PENCIPTA KORONA YANG MENGUTUSNYA

    MAHA SUCI PENCIPTA KORONA YANG MENGUTUSNYA Maha Suci Pencipta Korona yang mengutusnya, Bagi menunjukkan betapa kerdilnya manusia, Virus kecil yang tidak boleh dilihat oleh mata, Sudah cukup menggemparkan penduduk dunia, Ekonomi yang sekian lama dibina sehingga maju kini terhenti tak semena-mena, ‘Duduk di rumah’ kini menjadi slogan, Menunjukkan betapa manusia…

  • |

    AMALAN MEMBACA BISMILLAH 786 KALI??

    # Amalan tertolak dari meja penceramah Tersebar di media sosial video seorang penceramah menyarankan supaya diamalkan membaca bismillah sebanyak 786 kali kerana kelebihan-kelebihan yang tertentu. Peliknya dalam masa yang sama, beliau mengakui bahawa amalan yang diajarkannya itu tiada dalilnya dalam Al-Quran mahupun as-Sunah. Lebih pelik beliau mengandaikan bahawa sesuatu amalan…

  • |

    ERTI KEMAJUAN SEBENAR: NEGARA MAJU & NEGARA MUNDUR

    Antara istilah yang biasa digunakan pada hari ini ialah istilah ‘negara maju’ bagi banyak negara-negara Barat manakala majoriti negara-negara Islam disebut ‘negara membangun’ atau ‘dunia ketiga’ – istilah lain bagi menyatakan tentang negara-negara yang mundur. Hakikatnya penilaian kemajuan ini hanya dari sudut pembangunan material semata-mata dan mengabaikan sama sekali pembangunan…