|

ADAT BUDAYA ZAMAN ARAB JAHILIAH

ADAT BUDAYA ZAMAN ARAB JAHILIAH

Zaman jahiliah merujuk kepada zaman kesesatan masyarakat Arab sebelum kedatangan Nabi Muhammad ﷺ dan kebangkitan beliau membawa risalah agama Islam.

Zaman ini dinamakan sedemikian kerana kejahilan manusia yang berleluasa ketika itu serta kehidupan mereka dalam suasana gelap sebelum datangnya sinar Islam.

Kejahilan ini tampak pada sebahagian daripada adat budaya mereka.

Antaranya adalah adat budaya dalam pernikahan dan idah isteri yang kematian suaminya.

PERNIKAHAN ARAB JAHILIAH

Pernikahan pada zaman jahiliah ada empat jenis.

Jenis pertama:

Pernikahan seperti yang diadakan pada hari ini dengan si lelaki melamar kepada wali si perempuan atau meminang perempuan itu, membayar mahar dan menikahinya.

Jenis kedua:

Si suami mengarahkan isterinya apabila telah suci daripada haid untuk bersetubuh dengan seorang lelaki. Kemudian suami tidak akan menggauli isterinya sehinggalah terjelas sama ada isterinya hamil atau tidak. Jika hamil barulah suaminya akan menggaulinya jika dia mahu. Ini dilakukan untuk mendapat zuriat. Kerana itu ia dinamakan ‘Nikah al-Istibdha’ (Nikah Persetubuhan).

Jenis ketiga:

Sekumpulan lelaki kurang daripada sepuluh orang berkumpul dan menyetubuhi seorang perempuan. Jika perempuan itu hamil maka dia akan menunggu sehingga bersalin. Selang beberapa hari selepas bersalin perempuan itu akan memanggil lelaki-lelaki berkenaan dan kesemua mereka perlu hadir. Tiada sesiapa yang boleh menolak. Perempuan itu akan berkata “Kamu semua tahu apa yang kamu telah lakukan dan ini anak yang baru aku lahirkan. Dia anakmu wahai fulan.” Perempuan itu akan menamakan sesiapa yang dia mahu daripada kumpulan lelaki itu dan anak itu akan dinasabkan kepadanya. Lelaki yang dinamakan itu perlu menerimanya.

Jenis keempat:

Perempuan pelacur yang memasang bendera tanda pada pintu rumahnya. Sesiapa yang mahu akan mendatanginya. Jika ia hamil dan sudah beranak maka orang ramai akan datang berkumpul di rumahnya. Seorang ‘pakar nasab’ akan dipanggil dan dia akan datang untuk melihat mana-mana persamaan antara lelaki-lelaki yang hadir dengan bayi itu. Lelaki yang dilihat mempunyai persamaan dengan bayi yang baru lahir itu akan dipilih sebagai bapa dan dinasabkan bayi itu kepadanya. Lelaki itu tidak ada pilihan kecuali untuk menerima bayi itu sebagai anaknya.

Kata Aisyah radiallahuanha “Setelah Muhammad ﷺ diutus dengan kebenaran maka kesemua pernikahan jahiliah dimansuhkan kecuali pernikahan seperti yang diadakan pada hari ini (pernikahan jenis pertama).”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

IDAH WANITA KEMATIAN SUAMI

Tempoh idahnya adalah selama setahun.

Daripada Umm Salamah radiallahuanha bahawa seorang wanita bertanya:

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya anak perempuanku kematian suaminya, sedangkan matanya mengalami gangguan penyakit, bolehkah kami mengubatinya dengan celak mata?” Nabi ﷺ menjawab “Tidak.” Kesemua pertanyaannya Baginda mengatakan “tidak” sebanyak dua atau tiga kali. Kemudian Baginda bersabda “Sesungguhnya idah yang harus dijalaninya adalah selama empat bulan sepuluh hari. Dan sesungguhnya seseorang di antara kalian pada masa jahiliah menjalani idahnya selama setahun.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Wanita yang beridah pada zaman jahiliah akan ‘dikuarantin’ dalam sebuah rumah usang selama setahun. Selama tempoh itu dia akan memakai pakaiannya yang paling buruk, tidak akan mandi dan tidak akan memakai apa-apa wangian sebagai tanda berkabung.

Zainab binti Umm Salamah radiallahuanha berkata “Dahulu apabila seorang wanita kematian suaminya maka wanita itu akan memasuki sebuah rumah usang dengan memakai pakaiannya yang paling buruk. Dia tidak akan memakai apa-apa wangian ataupun menukar pakaiannya itu selama setahun. Setelah genap setahun barulah dia keluar dari rumah itu. Kemudian seekor keldai, kambing atau burung akan diberikan kepadanya lalu dia akan menggosok-gosokkan tubuhnya pada haiwan tersebut. Jarang sekali haiwan itu dapat bertahan hidup. Kebanyakannya akan mati.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Haiwan itu mati kerana kuatnya ia digosok pada badan wanita itu.

CATATAN:

Alhamdulillah atas nikmat Islam dan as-Sunah.

Dukacitanya tidak kurang yang masih mahu mempertahankan adat budaya nenek moyang yang bertentangan dengan ajaran Agama. Sampai dibawakan pepatah ‘Biar mati anak jangan mati adat’. Ini harus diluruskan.

——————-

Sertai bersama kami dalam grup Telegram Pena Ustaz Idris Sulaiman untuk mendapatkan artikel-artikel Ustaz dan memastikan anda tidak terlepas tulisan-tulisan yang terkini melalui pautan di bawah.

https://t.me/penaustazidrissulaiman

Similar Posts

  • |

    NIKMAT SYURGA

    NIKMAT SYURGA ISTERI BERSAMA SUAMINYA ATAU BOLEH MEMILIH SUAMI LAIN? Syurga merupakan tempat nikmat yang sempurna yang Allah ﷻ sediakan buat para hambaNya yang soleh dan bertakwa. Nikmat-nikmat yang Allah sediakan dalam syurga tidak terkata dan melangkaui khayalan manusia berdasarkan firman Allah ﷻ: “Maka tidak ada seorang pun yang mengetahui…

  • |

    “ISLAM ITU LUAS”?

    “ISLAM ITU LUAS”? # Ungkapan batil Ia merupakan jawapan mudah sebahagian kelompok apabila amalan mereka dibantah kerana tiada dalil yang menyokong amalan mereka tersebut. Sedangkan ia paling kurang mengelirukan jika bukan batil. Ini kerana Islam terbatas kepada apa yang difirmankan oleh Allah ﷻ serta disabdakan oleh RasulNya ﷺ semata-mata manakala…

  • |

    SEMANGAT TOLERANSI DENGAN KEKUFURAN

    SEMANGAT TOLERANSI DENGAN KEKUFURAN ‘MENGUCAPKAN MERRY CHRISTMAS’ Sebahagian mahu umat ISLAM bersikap toleransi, memaafkan, membiarkan, jangan ditegur dan jangan dilarang perkara-perkara maksiat dan mungkar. Kita perlu menzahirkan keterbukaan kita, kata mereka. Atas sikap penerimaan, kebersamaan dan kesatuan. Jangan terlalu keras, syadid, jumud, sempit fikiran, segala apa semua tidak boleh. Haram,…

  • |

    Kebenaran

    Kebenaran adalah yang datang dari Allah, dan As-Sunnah adalah sunnah Rasulullah serta jamaah adalah apa sahaja yang telah menjadi kesepakatan para sahabat pada masa khalifah Abu Bakar, Umar dan Utsman

  • |

    PENGHARGAAN

    Tiga tahun lalu pihak TheNoor telah meminta supaya saya sediakan audio bacaan hadis-hadis buku Hadis 40 karangan Imam al-Nawawi dalam bahasa Arab, Melayu dan Inggeris. Alhamdulillah kini buku syarahnya pula telah berjaya diterbitkan sebagai pelengkap buat audio bacaan hadis-hadis ini. Sambil mendengar bacaan hadisnya melalui aplikasi TheNoor pengguna boleh melihat…

  • |

    BERGAMBAR DENGAN GOLONGAN PONDAN / TRANSGENDER

    BERGAMBAR DENGAN GOLONGAN PONDAN / TRANSGENDER Kebelakangan ini tersebar gambar-gambar foto agamawan-agamawan yang bergambar dengan golongan PONDAN / TRANSGENDER dalam suasana ramah mesra. Saya rasa kurang senang. Saya khuatir kita sedang memberi PERSEPSI yang SALAH kepada masyarakat, menimbulkan tanggapan bahawa golongan PONDAN / TRANSGENDER ini tidak apa-apa dan boleh diterima…