black metal framed glass lamp
|

‘MAULA’ / ‘MAULANA’ – Sejauh mana kewajarannya

Perkataan ‘maula’ atau ‘maulana’ dalam bahasa Arab mempunyai banyak makna.

Antara maknanya ialah pemilik, penaung, tuan, hamba, tuan yang membebaskan hamba sahaya dan hamba sahaya yang telah dibebaskan oleh tuannya.

Dahulu dikatakan “Si fulan maula si fulan” bermaksud si fulan bekas tuan atau bekas hamba sahaya.

Contohnya Zaid bin Harithah maula Rasulullah ﷺ kerana baginda ﷺ telah membebaskan Zaid daripada perhambaan.

Demikian Aisyah binti Abu Bakar al-Siddiq maula Barirah kerana Aisyah telah membebaskan Barirah.

Secara dasarnya Allah ﷻ adalah ‘maula’ semua manusia kerana Dia ﷻ Pencipta dan Pemilik mereka.

Firman Allah ﷻ:

ثُمَّ رُدُّوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ مَوۡلَىٰهُمُ ٱلۡحَقِّ.

“Kemudian mereka dikembalikan kepada Allah ‘Maula’ mereka yang sebenar.”

[Al-Quran, al-An’am, 6: 62]

Allah ﷻ jua adalah ‘maula’ orang-orang beriman selaku Penaung yang memberi perlindungan dan jagaan buat mereka, sebagaimana firmanNya:

ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ مَوۡلَى ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَأَنَّ ٱلۡكَٰفِرِينَ لَا مَوۡلَىٰ لَهُمۡ.

“Balasan yang demikian kerana sesungguhnya Allah menjadi ‘Maula’ Pelindung orang-orang yang beriman, dan sesungguhnya orang-orang yang kafir, mereka tiada ‘maula’ yang dapat memberikan sebarang perlindungan kepada mereka.”

[Al-Quran, Muhammad, 47: 11]

SEBAIKNYA DIELAKKAN

Dalam Kamus Dewan ‘maulana’ diertikan sebagai gelaran untuk ulama besar.

Sekalipun ada pandangan yang membolehkan tetapi sebaiknya penggunaan istilah ‘maula’ atau ‘maulana’ tidak diluaskan.

Di samping penetapannya bagi Allah ﷻ selaku Pemilik, Penaung dan Pelindung orang-orang yang beriman, ia lebih dikhususkan kepada hamba sahaya dan pemilik hamba sahaya.

Tambah pula generasi Salaf al-Soleh dahulu tidak menggunakannya apabila membahasakan diri mereka antara satu sama lain.

Tidak ada dalam kalangan Sahabat Nabi ﷺ yang memanggil khalifah dengan gelaran ‘Maulana Abu Bakar’, ‘Maulana Omar al-Khattab’, ‘Maulana Uthaman’ atau ‘Maulana Ali’.

Di bawah hadis:

لَا يَقُلِ الْعَبْدُ لِسَيِّدِهِ: ‌مَوْلَايَ فَإِنَّ مولاكم اللَّهُ.

“Janganlah seorang hamba berkata kepada tuannya ‘maula’ kerana ‘maula’ kalian ialah Allah.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

al-Nawawi dalam syarahnya menyimpulkan bahawa larangan dalam hadis di atas bersifat makruh dan bahawasanya istilah ini sebaiknya dielakkan.

[Syarah Sahih Muslim, 15/6]

Syeikh Ibnu Baz rahimahullah turut berpandangan serupa kerana istilah-istilah ini boleh menimbulkan rasa sombong dan ujub dalam diri orang yang dipanggil, di samping rasa taasub dan ‘ghuluw’ dalam diri orang yang memanggil.

https://binbaz.org.sa/fatwas/18132/حكم-قول-مولانا-وسيدنا

Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad hafizahullah turut senada bahawa penggunaannya sebaiknya tidak diluaskan kerana kemungkinannya digunakan untuk mereka yang tidak layak.

https://ar.islamway.net/fatwa/32916/حكم-استعمال-كلمة-مولانا-في-حق-الآدمي

KESIMPULAN

Penggunaan istilah ‘maula’ atau ‘maulana’ sebaiknya dielakkan kerana ia lebih banyak digunakan oleh generasi umat Islam dahulu bagi merujuk kepada hubungan antara hamba sahaya dengan bekas tuan pemilik yang membebaskannya.

‘Maula’ orang-orang beriman ialah Allah ﷻ, Dialah Maulana dan Dialah sebaik-baik Penaung dan Penolong. [Al-Quran, 6:40]

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
19 Rabiulawal 1444H
16 Oktober 2022

Similar Posts

  • |

    EVOLUSI CAPAL

    Mutakhir ini terdapat sebahagian kelompok yang menggunakan simbol capal pada kopiah mereka sebagai cara menzahirkan rasa cinta kepada Nabi ﷺ. Walhal perlu ditegaskan bahawa simbol capal ini tiada asasnya dalam ajaran Islam sama sekali. Menzahirkan rasa cinta Nabi ﷺ bukan dengan bersimbol-simbol sebaliknya dengan beramal dengan Sunah Nabi ﷺ sepenuhnya…

  • |

    BACAAN SEMASA KHATIB DUDUK ANTARA DUA KHUTBAH JUMAAT

    Sebahagian ulama menganjurkan bacaan doa semasa khatib duduk antara dua khutbah Jumaat atas alasan untuk meraih waktu mustajab doa pada hari Jumaat. Berdasarkan hadis Abu Musa al-Asyari, katanya: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ ﷺ يقول – يعني في ساعة الجمعة: هِيَ مَا بَيْنَ أَنْ يَجْلِسَ الإِمَامُ إِلى أَنْ تُقْضَى الصَّلاَةُ. “Aku mendengar…

  • ZIKIR MENARI

    – Sanggahan dalil-dalil lawan Pertamanya, ada perbahasan dalam kalangan para ulama berkenaan hukum menari bagi kaum lelaki. Majoriti para ulama memakruhkannya dengan alasan bahawa ia merupakan perbuatan yang hina (دَنَاءَةٌ), bodoh (سَفَهٌ), menjatuhkan kewibawaan(مُرُوءَةٌ) dan termasuk dalam hal-hal yang melalaikan (لَهوٌ). [al-Mauwsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 23/10] Ini kerana firman Allah ﷻ:…

  • |

    KEMAJUAN MATERIAL?

    KEMAJUAN MATERIAL? . . Hakikatnya ia kembali kepada cara kita menimbang ‘baik’ dan ‘buruk’. . Cara timbang orang kafir adalah berdasarkan ‘kemajuan’ material di dunia semata-mata. . Adapun soal spiritual, ternyata mereka jahil malah mundur sehabis-habisnya. . Kerana itu barangkali mereka maju dan kaya secara material, tetapi dalam masa yang…

  • |

    PEMANDANGAN MUSIM BUNGA SEBAHAGIAN NEGARA ARAB

    PEMANDANGAN MUSIM BUNGA SEBAHAGIAN NEGARA ARAB Firman Allah: وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا قَرْيَةً كَانَتْ آمِنَةً مُطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَدًا مِنْ كُلِّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ اللَّهِ فَأَذَاقَهَا اللَّهُ لِبَاسَ الْجُوعِ وَالْخَوْفِ بِمَا كَانُوا يَصْنَعُونَ “Allah memberikan satu misal perbandingan: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari…