|

MADINAH TETAP BUMI SUCI

MADINAH TETAP BUMI SUCI

Ada yang berkongsi berita bahawa Pertubuhan Kesihan Sedunia (WHO) memperakui bumi Madinah Nabi ﷺ sebagai antara bandar paling sihat di dunia.

Sumber:

https://origin.bharian.com.my/dunia/asia/2021/01/779344/madinah-antara-bandar-paling-sihat-di-dunia

Seolah-olah ia satu kebanggaan buat Muslim apabila bumi Nabi ﷺ ini diiktiraf oleh Pertubuhan dunia ini.

Musykil.

Sebagai seorang Muslim seharusnya kelebihan dan keistimewaan bumi Madinah sudah sedia maklum berdasarkan penjelasan dan penerangan Nabi ﷺ dalam sekian banyak hadis.

Adakah hadis-hadis Nabi ﷺ tidak cukup bagi kita sehingga perlu pengiktirafan daripada pertubuhan yang diterajui Yahudi dan Nasrani ini?

Sabda Nabi ﷺ:

مَا بَيْنَ ‌لَابَتَيْهَا ‌حَرَامٌ.

“Di antara dua tanah hitamnya (Madinah) itu adalah tanah haram”.

Hadis sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Tanah haram yakni tanah suci yang mempunyai pantang larang, kelebihan dan keistimewaan yang tertentu.

Nabi ﷺ mendoakan kesihatan buat penduduk Madinah dalam sabdanya ﷺ:

اللَّهُمَّ ‌حَبِّبْ ‌إِلَيْنَا ‌الْمَدِينَةَ كَحُبِّنَا مَكَّةَ، أَوْ أَشَدَّ، وَصَحِّحْهَا، وَبَارِكْ لَنَا فِي صَاعِهَا وَمُدِّهَا، وَانْقُلْ حُمَّاهَا فَاجْعَلْهَا بِالْجُحْفَةِ.

“Ya Allah, jadilah kami mengasihi Madinah sebagaimana kami mengasihi Mekah atau lebih lagi, dan sihatkan Madinah (daripada wabak penyakit), dan berilah keberkatan kepada gantang dan cupaknya serta pindahkan humma (penyakit) di Madinah dan jadikan ia di Juhfah.”

Hadis sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Bumi Madinah juga dipelihara daripada ancaman Dajal dan wabak taun. Sabda Nabi ﷺ:

عَلَى ‌أَنْقَابِ ‌الْمَدِينَةِ مَلَائِكَةٌ، لَا يَدْخُلُهَا الطَّاعُونُ، وَلَا الدَّجَّالُ.

“Di setiap pintu masuk Madinah terdapat malaikat yang mengawasi wabak taun dan Dajal daripada memasuki Madinah.”

Hadis sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Jangan pula sampai kita hilang jati diri dan tidak lagi rasa yakin dan bangga dengan Agama.

Kata Omar al-Khattab r.a.:

إِنَّا قَوْمٌ ‌أَعَزَّنَا ‌اللَّهُ بِالْإِسْلَامِ فَلَنْ نَلْتَمِسُ الْعِزَّ بِغَيْرِهِ.

“Kita merupakan kaum yang Allah muliakan dengan Islam. Justeru kami tidak akan mencari kemuliaan dengan selainnya.”

Athar sahih. Riwayat al-Hakim.

Bukan sahaja kesihatan jasmani penting malah lebih penting ialah kesihatan rohani yang tidak akan diperoleh melainkan dengan iman.

Dalam hal ini Nabi ﷺ menjelaskan bahawa bumi Madinah merupakan tapak iman dalam sabdanya:

إِنَّ الإِيمَانَ ‌لَيَأْرِزُ ‌إِلَى ‌المَدِينَةِ كَمَا تَأْرِزُ الحَيَّةُ إِلَى جُحْرِهَا.

“Sesungguhnya iman akan kembali ke Madinah sebagaimana ular kembali ke lubangnya.”

Hadis sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Banyak lagi hadis lain tentang kelebihan dan keistimewaan bumi Madinah.

Apa yang pasti, Madinah tetap bumi yang suci sama ada diperakui badan dunia atau tidak.

Idris bin Sulaiman
Kajang
11 Jumadil Awal 1442H /
24 Januari 2020
http://www.facebook.com/idrissulaiman

Similar Posts

  • |

    BULU KUCING BUKAN NAJIS

    Tular di media sosial pandangan sesetengah pihak yang kata bulu kucing najis, justeru kucing seeloknya diletakkan di luar rumah agar bulunya tidak jatuh merata dan dapat solat dengan tenang tanpa waswas. Pertamanya, perlu ditegaskan bahawa pandangan di atas adalah salah dan bersifat ghuluw melampau. Sebetulnya kucing ialah binatang suci, bukan…

  • |

    BERPENAT-PENAT DAHULU

    Sejauh mana seseorang itu bersungguh-sungguh dan bersusah-payah mengharungi kesulitan sebanyak itu jugalah dia mengecapi kegembiraan dan rasa senang. Ini kerana tidak ada kesenangan bagi sesiapa yang tidak mengharungi kesusahan, dan tidak ada kenikmatan bagi sesiapa yang tidak sabar menanggung susah payah. Demikian tidak ada kerehatan bagi mereka yang tidak menempuhi…

  • |

    PENDEKNYA HIDUP DI DUNIA

    PENDEKNYA HIDUP DI DUNIA Perjalanan hidup di dunia teramat pendek sekali. Allah ﷻ berfirman: مِن نُّطۡفَةٍ خَلَقَهُۥ فَقَدَّرَهُۥ ثُمَّ ٱلسَّبِيلَ يَسَّرَهُۥ ثُمَّ أَمَاتَهُۥ فَأَقۡبَرَهُ. “Dari air pekat diciptakannya serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk bertanggungjawab. Kemudian jalan (baik atau buruk) dimudahkan kepadanya (untuk menimbang dan mengambil yang mana satu). Kemudian…

  • |

    Seruan Jihad Perlu Dengan Meraikan Syarat-syaratnya

    SOALAN Ada yang berhujah untuk apa yang berlaku di Palestin dengan ayat: أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُواْ “Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya.” [Al-Quran, al-Hajj, 22:39] JAWAPAN Ayat ini sebenarnya menjadi hujah ke atas mereka. Sebab nuzul ayat ini ialah kaum Muslimin pada peringkat…