USTAZ: RAMAI SAHABAT NABI ﷺ PERNAH SAMPAI MALAYSIA!

– Menurut fail PDF
– Kegagalan memahami disiplin ilmu

Kenyataan ini mengujakan seperti mana ia juga tidak kurang memeranjatkan.

Sahabat Nabi ﷺ pernah sampai ke Malaysia?

Masya-Allah. Satu penghormatan besar buat umat Islam semua di sini.

Tinggal lagi, adakah kenyataan ini benar atau ia hanya satu kekeliruan?

Hakikatnya ada perselisihan dalam kalangan para ahli sejarah tentang tarikh kedatangan Islam ke Nusantara dan tidak ada jawapan tepat bagi memastikan siapakah orang yang pertama menyebarkan Islam di Tanah Melayu.

Ini kerana tiada bukti sahih yang ditemui sama ada dalam bentuk batu nisan, tulisan para sarjana atau yang lain yang menjelaskannya.

Namun demikian, apa yang pasti sejarah para Khulafa ar-Rasyidin telah direkodkan oleh para ilmuwan dengan begitu rapinya sehinggakan andainya para Khalifah pernah merantau ke mana-mana tempat tentunya ia telah menjadi masyhur dan dicatatkan dalam kitab-kitab karangan ulama-ulama besar seperti Tarikh al-Islam oleh al-Dhahabi (wafat 748H), al-Bidayah Wa al-Nihayah oleh Ibnu Kathir (wafat 774H) dan Tarikh al-Khulafa’ oleh al-Sayuti (wafat 911H).

Maka sekiranya benar terdapat mana-mana Sahabat Nabi ﷺ yang pernah menjejakkan kaki di Nusantara atau Tanah Malaya pastinya hal tersebut sudah diketahui umum.

Tetapi ibarat pepatah Arab ‘Siapa yang umurnya panjang maka dia akan mendengar banyak perkara pelik’.

Termasuklah dakwaan seorang ustaz bahawa kedua-dua Khalifah Uthman al-Affan dan Khalifah Ali bin Abi Talib radiallahuanhuma (malah menurutnya ramai lagi Sahabat) pernah sampai ke Tanah Melayu!

Lebih memeranjatkan, ini berdasarkan kepada fail PDF yang beliau pernah baca!

Dan malangnya fail PDF itu telah hilang! Kata ustaz itu.

Sungguh malang sang ustaz ini.

Dakwaan yang sebegini besar dibawa ke meja ceramah dalam keadaan sebegitu rupa.

Jelasnya beliau bukan sahaja tidak menekuni disiplin ilmu malah tidak menguasai prinsip-prinsip asas agama.

Sedangkan Nabi ﷺ:

“Cukuplah seseorang itu dikatakan pembohong apabila dia menyampaikan segala apa yang didengar.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

Juga dalam riwayat Muslim, Nabi ﷺ bersabda:

“Cukuplah dosa seseorang itu apabila dia menyampaikan segala apa yang didengar.”

Atau apa yang dibaca, lebih-lebih lagi fail PDF yang tidak diketahui asal usulnya dan telah hilang!

Setiap dakwaan perlu dikemukakan bukti sandarannya. Ini kaedah asas dalam agama. Adapun hal-hal yang tidak pasti dan tidak ketahui sejauh mana kesahihannya maka ia perlu diselidik terlebih dahulu. Jangan hendak terus disampaikan.

——————-

Kenali istilah-istilah Syiah – Ali Karramallahu Wajhah

KENALI ISTILAH-ISTILAH SYIAH

——————-

Kepada Allah ﷻ jua kita mengadu kekeliruan-kekeliruan yang disampaikan di meja penceramah.

Idris bin Sulaiman
Kajang
09 Syaaban 1443H /
12 Mac 2022

Similar Posts

One Comment

Comments are closed.