|

FAHAMAN & AMALAN KHURAFAT: PUSAT RAWATAN ISLAM

– Setiap kepercayaan dan amalan harus berdalil

Harus bagi Muslim mendapatkan rawatan menggunakan ubat-ubatan bersesuaian yang dibenarkan syarak tetapi dalam masa yang sama Allah ﷻ tidak menjadikan penyembuhan manusia melalui apa yang diharamkanNya atas mereka.

Muslim diharamkan mendatangi bomoh termasuklah yang mengatasnamakan ustaz yang mendakwa tahu perkara ghaib sehingga dapat mengental pasti penyakit yang dialami oleh pesakit.

Muslim juga ditegah daripada mempercayai apa disampaikan oleh mereka kerana realitinya mereka sekadar bersangka-sangka akan sesuatu yang mereka tidak tahu atau menggunakan jin syaitan bagi membantu mereka walhal ia semua kekufuran dan kesesatan.

Sabda Nabi ﷺ:

مَنْ أتَى كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِما يَقُولُ فَقَدْ كَفَرَ بِما أنْزِلَ عَلى مُحَمَّد ﷺ.

“Barang siapa mendatangi tukang ramal lalu dia mempercayai apa yang dikatakannya maka dia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Muhammad ﷺ.”

[Sahih. Riwayat Abu Daud]

Sabdanya ﷺ:

‌لَيْسَ ‌مِنَّا ‌مَنْ ‌تَطَيَّرَ ‌أَوْ ‌تُطُيِّرَ ‌لَهُ، ‌أَوْ ‌تَكَهَّنَ ‌أَوْ ‌تُكُهِّنَ ‌لَهُ، ‌أَوْ ‌سَحَرَ ‌أَوْ ‌سُحِرَ ‌لَهُ.

“Bukan daripada kalangan kami mereka yang merasa sial atau meminta diramalkan kesialannya, merenung nasib atau meminta ditenungkan, atau menyihirkan atau meminta disihirkan.”

[Sahih. Riwayat al-Bazzar]

Hadis-hadis di atas tegahan atas Muslim mendatangi tukang ramal, tukang tenung dan tukang sihir, dan ini termasuklah mereka yang mendakwa hal-hal ghaib secara berterus terang atau secara makna dalam apa jua urusan termasuk untuk rawatan.

Tegahan ini turut merangkumi larangan bertanya kepada mereka dan mempercayai apa yang disampaikan kerana ia merupakan satu kemungkaran yang mengakibatkan kemudaratan yang besar ditambah dengan pembohongan dan pendustaan mereka.

Justeru Muslim perlu berhati-hati dengan dakwaan sebahagian rawatan termasuklah yang berjenama Islam kerana dikhuatiri terlibat dengan hal-hal khurafat serta kaedah-kaedah rawatan yang menyalahi syarak walau pun yang menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran.

Harus ingat bahawa ayat-ayat Al-Quran itu benar tetapi cara dan tujuan membacanya juga perlu benar dan bersandarkan kepada dalil yang sahih.

Adapun membaca ayat-ayat Al-Quran dengan jumlah bilangan yang tertentu atas alasan dan tujuan untuk rawatan penyakit tertentu tanpa dalil sandaran yang sahih daripada al-Sunah maka dilarang kerana ia termasuk dalam erti mengada-adakan amalan baharu dalam agama yang ditegah.

Sabda Nabi ﷺ:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ، فَهُوَ رَدٌّ.

“Barang siapa mengada-adakan sesuatu yang baharu dalam urusan kita ini (Agama) maka ia adalah tertolak.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Sabdanya ﷺ:

مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.

“Barang siapa melakukan sesuatu amalan yang tidak menepati cara kami maka ia adalah tertolak.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

Tambah lagi dakwaan tanpa asas bahawa bacaan ayat-ayat tertentu dapat mengubati penyakit-penyakit tertentu hanya akan membuka pintu khurafat dan banyak keburukan lain.

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan keselamatan.

Idris bin Sulaiman
Kajang
03 Zulhijah 1443H /
03 Julai 2022

Similar Posts

  • |

    BUKTI ‘ALLAH DI ATAS’ DALAM BAHASA MELAYU

    Biasa digunakan ayat “Panjatkan doa kepada Allah.” Pernahkah anda bertanya mengapa digunakan istilah ‘panjatkan’? Mengapa tidak digunakan istilah ‘kedepankan’ atau ‘turunkan’ doa itu? Sedangkan ‘panjat’ menurut Kamus Dewan ialah ‘naik ke atas’. Ini hanya contoh mudah. Sedangkan dalil-dalil menunjukkan ‘Allah di atas’ terlalu banyak dalam Al-Quran dan al-Sunah. CATATAN Adakah…

  • BIDAAH KALIMAH ALLAH

    BIDAAH KALIMAH ALLAH # Kristian Malaysia Mahu Menggunakan Kalimah Allah bagi Tuhan dalam terjemahan Melayu Bible # Usaha halus yang boleh memesongkan akidah masyarakat Islam. Ketika mana berdepan dengan pelbagai cabaran akidah termasuklah dengan wujudnya pelbagai ajaran sesat, gerakan LĠBŤQZ, kes-kes murtad dan sebagainya, kini masyarakat Islam di Malaysia berdepan…

  • | |

    KHIDMAT PAWANG HUJAN

    – Perbuatan syirik – Penting faham tauhid Perbuatan meminta pawang supaya menahan hujan adalah syirik yang membatalkan keislaman. Demikian percaya dengan kuasa pawang itu turut menggelincirkan akidah. Perlu ditegaskan bahawa tiadalah yang berkuasa menurunkan hujan atau menahannya kecuali Allah ﷻ. Firman Allah ﷻ: “Dan Dia lah yang menurunkan hujan setelah…

  • TANGGUNGJAWAB AHLI ILMU

    Antara tanggungjawab ahli ilmu ialah menjelaskan kebenaran kepada manusia dan menzahirkannya, membezakan antara yang benar dan palsu, yang baik dengan yang buruk, menyatakan perkara yang halal dan yang haram di samping menerangkan akidah yang benar berbanding akidah yang rosak agar mereka yang mencari kebenaran mendapat petunjuk dan mereka yang tersesat…

  • | |

    ‘SALAFIYYAH JIHADIYYAH’: USTAZ MENANGGUK DI AIR KERUH

    Berita kejadian dua anggota polis terkorban dalam serangan atas sebuah balai polis semalam oleh suspek dipercayai anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) mendukacitakan umat Islam. Takziah buat semua ahli keluarga mangsa. Tidak kurang mendukacitakan apabila seorang ustaz bertindak mengambil kesempatan mengaitkan suspek kejadian dengan ideologi yang beliau namakan sebagai ‘Salafiyyah Jihadiyah’….

  • KEPERCAYAAN MUSLIM

    Akidah kepercayaan Muslim bukanlah apa yang mengikut kehendaknya atau kehendak gurunya sebaliknya mengikut apa yang ditetapkan oleh Allah ﷻ, Rasulullah ﷺ dan ijmak kesepakatan Salaf generasi pendahulu umat Islam. Berdasarkan apa yang terdapat dalam Kitab Allah Al-Quran, hadis-hadis dalam Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan yang lain, sebagaimana sabit dalam hadis-hadis…