|

SETELAH PARLIMEN DIBUBARKAN, TIADA KERAJAAN?

SETELAH PARLIMEN DIBUBARKAN, TIADA KERAJAAN?
.
SETELAH PARLIMEN DIBUBARKAN, PERDANA MENTERI DAN JEMAAH MENTERINYA TIADA LAGI?
.
KERAJAAN TIDAK BERTANDING DALAM PILIHAN RAYA, SEBALIKNYA YANG BERTANDING HANYA PARTI-PARTI?
.
.
Setakat ini, tidak diketahui dari mana kesimpulan-kesimpulan ini diperoleh. Tiada dalil ataupun bukti yang dikemukakan. Barangkali hanya pandangan akal dan ijtihad semata-mata.
.
Mereka mengemukakan dakwaan-dakwaan ini ketika mana menjelaskan tentang permasalahan Khawarij, golongan penentang kerajaan yang tidak taat kepada pemerintah, yang mahu menjatuhkan kerajaan pusat yang sedia ada dan menukarnya.
.
Maka berdasarkan kesimpulan-kesimpulan di atas, menurut mereka, tidak ada Khawarij dalam istilah sistem politik demokrasi khususnya dalam pilihan raya, lebih-lebih lagi kerana parlimen telah dibubarkan. Tambah pula, sistem demokrasi membolehkan kerajaan ditukar.
.
Saya berbesar hati untuk mengajak semua untuk menghayati firman Allah, “Sekiranya kamu berselisih tentang sesuatu maka kembalikanlah kepada Allah dan RasulNya.” [An-Nisaa’, ayat 59]
.
Ini penting supaya kita umat Islam sentiasa menjadikan Al-Quran dan Al-Hadis berserta kalam para ulama Salaf sebagai panduan kita. Usahlah berbicara dengan akal semata-mata, lebih-lebih lagi dalam urusan besar dan penting yang membabitkan kepentingan negara dan umat, perkara-perkara yang melibatkan politik negara yang akan memberi kesan kepada kesejahteraan umat Islam, kestabilan dan keamanan negara.
.
Jangan pula sampai kita menidakkan hukum Allah dengan mendahulukan hukum demokrasi yang jelas datang daripada Barat untuk memecahbelahkan umat Islam dan memporak-perandakan kita. Apa yang berlaku sekarang kepada umat Islam di Malaysia pada hari adalah sebesar-besar buktinya.
.
Firman Allah, “Sesudah itu, patut kah mereka berkehendak kepada hukum-hakam jahiliah? Padahal bagi orang-orang yang berkeyakinan tidak ada sesiapa yang menetapkan hukum lebih baik daripada Allah.” [Al-Maa’idah, ayat 50]
.
FirmanNya lagi: “Demi Tuhanmu! Mereka tidak beriman sehinggalah mereka menjadikan engkau sebagai hakim dalam apa jua perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa berat dalam hati mereka terhadap apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerimanya dengan sepenuhnya.” [An-Nisaa’, ayat 65]
.
KEDUDUKAN PERDANA MENTERI SETELAH PARLIMEN DIBUBARKAN
.
Satu perkara penting yang perlu diambil maklum ialah kedudukan Perdana Menteri selaku Ketua Kerajaan Persekutuan setelah Parlimen dibubarkan. Ramai mungkin berpandangan bahawa Perdana Menteri dan anggota kabinetnya tidak lagi menyandang jawatan-jawatan pemerintahan memandangkan waktu itu tidak ada lagi kerajaan. Ada yang menambah, waktu itu negara diambil alih oleh kerajaan sementara.
.
DAKWAAN ADA KERAJAAN SEMENTARA (CARETAKER GOVERNMENT)
.
Buat pengetahuan pembaca, tiada istilah kerajaan sementara dalam perlembagaan atau mana-mana undang-undang negara. Perkara ini dijelaskan oleh mantan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Haji Kamaruzaman bin Mohd Nor dalam suratnya yang bertarikh 17 Januari 2008 kepada pejabat ketua pembangkang waktu itu.
.
Kata beliau, “Sukacitanya dimaklumkan bahawa dalam kerangka undang-undang pilihan raya Negara kita termasuk Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan adanya ‘Caretaker Government’. Oleh yang demikian, apabila pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan negeri berlaku, maka kerajaan yang memerintah sebelum pembubaran tersebut AKAN TERUS MENERAJUI KERAJAAN sehinggalah sebuah kerajaan baru ditubuhkan selepas keputusan pilihan raya diumumkan secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia.”
.
Kenyataan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya ini diumumkan sendiri oleh ketua pembangkang dalam sebuah sidang media di Parlimen, Kuala Lumpur pada 25 Januari 2008.
.
ANDAIAN TIADA KERAJAAN APABILA PARLIMEN DIBUBARKAN
.
Adapun andaian bahawa tidak ada kerajaan sepanjang tempoh Parlimen dibubarkan, perkara ini juga tidak benar sama sekali kerana tidak ada mana undang-undang yang menyatakan sedemikian.
.
Hakikat ini dijelaskan oleh Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas yang berkata, “Apabila Parlimen di bubar, Perdana menteri dan menteri-menteri lain TIDAK PERLU MELETAK JAWATAN melainkan jika mereka kalah dalam pilihan raya umum yang diadakan berikutan pembubaran Parlimen itu.” (Prinsip Perlembagaan dan Pemerintah di Malaysia, halaman 115)
.
Maka perlu ditekankan di sini bahawa PERDANA MENTERI DAN KERAJAAN PIMPINANNYA TETAP ADA SEKALIPUN PARLIMEN TELAH DIBUBARKAN. Jemaah Menteri terus mentadbir negara, menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka sebelum itu.
.
Sekalipun dalam masa yang sama, tidak dinafikan bahawa kuasa kerajaan waktu itu menjadi terhad kerana ia hanya melibatkan tugasan harian tanpa melibatkan sebarang pembentukan dasar berikutan pembubaran Parlimen. (Pilihan Raya Malaysia, halaman 160-162)
.
Apa yang mungkin ramai gagal faham, membahaskan perkara ini bukan soal untuk memenangkan parti ini dan menolak parti itu. Sebaliknya, ia adalah untuk kita sama-sama bermuhasabah memikirkan bagaimana untuk mengembalikan kesatuan umat Islam yang pada hari yang semakin melebar jurang perpecahannya di samping memastikan kelangsungan keamanan negara serta kesejahteraan umat. Yakinlah bahawa perebutan kuasa dan perbalahan yang berterusan hanya akan merugikan kita semua.
.
Kepada Allah jua kita memohon petunjuk dan perlindungan.

Similar Posts

  • |

    DI MANA SYURGA & NERAKA?

    Syurga terletak di langit yang paling tinggi di bawah Arasy manakala api neraka terletak di Sijjin di bawah lapisan bumi yang paling bawah. Sabda Nabi ﷺ: فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ ‌فَاسْأَلُوهُ ‌الْفِرْدَوْسَ، فَإِنَّهُ وَسَطُ الْجَنَّةِ، وَأَعْلَى الْجَنَّةِ، وَفَوْقَهُ عَرْشُ الرَّحْمَنِ مِنْهُ تَفَجَّرُ أَنْهَارُ الْجَنَّةِ. “Jika kamu meminta daripada Allah maka mintalah…

  • DALIL YANG BUKAN DALIL

    – Zawq, kasyaf, ilham, mimpi, majoriti, al-Sawad al-A’zam, jumhur ulama, khilaf Umat Islam sejak dahulu sepakat mengatakan bahawa sumber dalil agama ialah Al-Quran dan as-Sunah. Tetapi bagi sesiapa yang mengikuti perbahasan hal-hal agama khususnya di media sosial akan mendapati bahawa kini telah muncul pelbagai bentuk dalil lain yang dijadikan sebagai…

  • |

    PERMOHONAN MAAF

    Beberapa hari lepas sebuah video bertajuk ‘Imam Shafie Akui Tidak Menguasai Ilmu Hadis’ telah dimuat naik di laman Facebook Dr Idris Sulaiman yang mengundang pelbagai reaksi warga maya. Sebahagian mengkritik tajuknya dan menganggapnya biadap terhadap tokoh besar Islam ini manakala sebahagian lain menginterpretasikan isi videonya bermaksud saya mengatakan Imam al-Syafie…

  • |

    UCAPAN TAKZIAH SYEIKH SULAIMAN AL-RUHAILI

    Syeikh Sulaiman al-Ruhaili, pensyarah di Universiti Islam Madinah, Arab Saudi dan pengajar di Masjid Nabawi membuat hantaran di X (Twitter) mengucapkan takziah atas pemergian Allahyarham Ustaz Yazid Abdul Qadir Jawas. Dalam hantaran itu beliau menyatakan dengan menyebut nama Allahyarham dengan gelaran ‘al-Ustaz al-Syeikh’ terdiri dalam kalangan ilmuwan terawal di Indonesia…

  • |

    MELAMPAU MEMUJI NABI: “KAU MATAHARI, KAU REMBULAN KAU CAHAYA DI ATAS CAHAYA”

    Terdapat sebuah syair memuji Nabi ﷺ yang diungkapkan oleh sebahagian pihak dengan bait-bait lirik seperti berikut: ﺃﻧْﺖَ ﺷَﻤْﺲٌ ﺃﻧْﺖَ ﺑَﺪْﺭٌ ﺃَﻧْﺖَ ﻧُﻮﺭٌ ﻓَﻮْﻕَ ﻧُﻮﺭِﺃﻧْﺖَ ﺇﮐْﺴِﻴﺮٌ ﻭَﻏَﺎﻟﻲ ﺃﻧْﺖَ ﻣِﺼْﺒَﺎﺡُ ﺍﻟﺼُّﺪُﻭﺭِ “Engkau bagai matahari,engkau bagai bulan purnama,engkau cahaya di atas cahaya,engkau bagaikan emas murni yang mahal harganya,engkaulah pelita hati.” Perlu ditegaskan bahawa…

  • | |

    USTAZ: TAHLIL BUKAN BIDAAH BAHKAN ADA ASALNYA DALAM AGAMA!

    – Cara, cara & cara pelaksanaan – Ustaz menokok tambah lafaz hadis Demikian menurut seorang ustaz yang cuba mempertahankan amalan tahlil yang dilakukan oleh sebilangan masyarakat. Ucapan ‘lailahaillallah’ dalam tahlil sememangnya bagus, disyariatkan dan adalah sebaik-baik zikir sebagaimana sabda Nabi ﷺ. Tetapi apa yang perlu diberi perhatian di sini ialah…