| |

Genap 100 Tahun Masjidil Haram Solat Berjemaah di Belakang Seorang Imam

Selama berabad-abad, Masjidil Haram mempunyai empat maqam (tempat solat) yang berasingan mengikut empat mazhab fiqah. Pengikut setiap mazhab menunaikan solat secara bergilir-gilir dengan imam masing-masing.

Kebiasaannya, jemaah mazhab Syafie menunaikan solat terlebih dahulu, diikuti oleh jemaah mazhab-mazhab lain. Akibatnya, solat yang sama diulang beberapa kali dalam sehari.

Pada 21 Rabiulakhir 1345H (27 Oktober 1926), Raja Abdul Aziz memerintahkan agar amalan tersebut dihentikan. Para ulama bersetuju supaya seluruh jemaah disatukan di bawah pimpinan seorang imam sahaja.

Sejak itu, setiap solat fardu di Masjidil Haram dilaksanakan secara berjemaah di belakang seorang imam, tanpa lagi diadakan solat secara berasingan mengikut mazhab.

Ketetapan ini menzahirkan penyatuan umat Islam dalam ibadah solat, dengan jemaah berdiri bersama-sama di belakang seorang imam, sebagaimana prinsip solat berjemaah yang diamalkan oleh Nabi ﷺ dan para Sahabat.

Kini, genap 100 tahun sejak perubahan tersebut dilaksanakan. Amalan ini terus diamalkan sehingga hari ini, dengan jutaan umat Islam menunaikan solat bersama-sama di Masjidil Haram, bersatu di belakang seorang imam.

CATATAN:

Pada tahun 1377H (1957), kerajaan Arab Saudi mengeluarkan ketetapan untuk memperluas kawasan mataf, iaitu kawasan tawaf mengelilingi Kaabah, dengan merobohkan maqam-maqam solat yang ada.

Kerja-kerja perobohan dimulakan dengan maqam Hanbali, kemudian maqam Maliki, diikuti maqam Hanafi. Akhir sekali, pada tahun 1388H (1968), maqam Syafie pula dirobohkan. Perobohannya dilakukan kemudian kerana kedudukannya yang terletak di atas telaga Zamzam.

Rujukan:

Wisam al-Karam Fi Tarajim A’immah al-Haram oleh Yusuf al-Subhi, hlm. 44 dan 64

Dr. Idris bin Sulaiman

Kajang

18 Jamadilawal 1448H

29 Oktober 2026

Similar Posts