|

PERISTIWA ISRAK MIKRAJ: JAWAPAN KEPADA JAWAPAN USTAZ HAFIZ AL-ZA’FARANI

Hantaran semalam bertajuk ‘Peristiwa Israk Mikraj: Kemusykilan & Persoalan Buat Asyairah’ telah dibalas oleh Ustaz Hafiz al-Za’farani (HAZA), dan seperti diduga, beliau memberi reaksi skema berdasarkan kepada pegangan Asyairah yang menafikan keberadaan Allah ﷻ di atas langit.

https://www.facebook.com/UstazHaza/posts/1169829010692817

Pegangan ini telah membuatkan Asyairah menafikan sekian banyak nas Al-Quran dan hadis sahih yang menetapkan bahawa Allah ﷻ di atas langit manakala Peristiwa Israk Mikraj hanyalah salah satu contohnya.

https://www.facebook.com/idrissulaiman/posts/10226777224928555

(ruang komen dalil Al-Quran & hadis Allah di atas langit)

Pendek kata, sebarang nas Al-Quran atau hadis yang menetapkan bahawa Allah ﷻ di atas langit sedaya upaya ditakwilkan oleh Asyairah, yakni mereka palingkan maksud zahir nas kepada maksud lain yang bersesuaian dengan faham mereka sedangkan hal ini tidak wajar kerana nas Al-Quran dan hadis perlu sentiasa didahulukan berbanding akal dan pendapat manusia, bukan sebaliknya.

Kata Imam al-Syafie:

“Dan sesungguhnya tiada kata-kata yang wajib dalam apa jua keadaan melainkan Kitab Allah atau Sunah Rasulnya ﷺ, dan bahawasanya apa yang selain daripada kedua-duanya kembali kepada kedua-duanya.”

[Jima’ al-‘Ilm, hlm. 3]

Justeru pembaca boleh menilai jawapan-jawapan yang diberikan oleh HAZA di bawah, dan melihat bagaimana kaedah takwil akal digunakan oleh beliau bagi menafikan maksud-maksud zahir nas dalam Peristiwa Israk Mikraj ini. Ada juga yang beliau tidak jawab, dan ada yang beliau jawab tetapi sebenarnya tidak jawab seperti yang pembaca akan lihat.

PERSOALAN BUAT GOLONGAN ASYAIRAH:

SOALAN PERTAMA:

Mengapa Nabi ﷺ sampai naik ke langit tujuh untuk menerima syariat solat fardu lima waktu jika baginda ﷺ tidak bertemu dengan Allah ﷻ?

JAWAPAN HAZA:

Kerana itu menunjukkan kemuliaan ibadah solat sehingga untuk mendapatkannya perlu ke tempat yang mulia. Hal yang sama berlaku ketika Nabi Musa mendapat kitab taurat di bukit Tursina. Adakah ketika itu Allah duduk di bukit Tursina pula? Hakikatnya Allah tidak bertempat, cuma sesuatu yg mulia diambil di tempat yang mulia.

JAWAPAN KEPADA HAZA:

HAZA menafikan tujuan Nabi ﷺ mikraj ke langit untuk bertemu Allah ﷻ sebaliknya menurut beliau tujuannya untuk “Menunjukkan kemuliaan ibadah solat sehingga untuk mendapatkannya perlu ke tempat yang mulia.”

Pertamanya, ini hanyalah andaian dan kesimpulan akal semata-mata kerana ia tidak bersandarkan kepada mana-mana nas sama sekali.

Kedua, berdasarkan logik ini, apakah bumi Mekah al-Mukarramah tidak cukup mulia sehingga Nabi ﷺ perlu naik ke langit tujuh untuk menerima syariat solat? Sebarang jawapan tentu perlu dengan dalil nas, bukan hanya logik akal.

SOALAN KEDUA:

Mengapa Nabi Musa a.s. berkata kepada Nabi Muhammad ﷺ “Kembalilah kepada Tuhanmu” lalu baginda ﷺ berulang-alik beberapa kali sehingga solat dikurangkan menjadi lima waktu jika Allah ﷻ bukan di atas langit tujuh?

JAWAPAN HAZA:

Imam Nawawi telah menjawab bahawa Nabi kembali ke tempat munajatnya. Bukan tempat Allah. Kefarduan solat dapat di tempat yang mulia, maka pengurangannya perlu diminta di tempat yang sama.

JAWAPAN KEPADA HAZA:

Nukilan HAZA daripada Imam al-Nawawi mengelirukan kerana kenyataan “Bukan tempat Allah” bukan daripada perkataan Imam al-Nawawi. Beliau tidak menyebut sama sekali perihal ‘tempat Allah’ semasa mensyarahkan hadis ini.

Kemudian sekali lagi, kenyataan “Maka pengurangannya perlu diminta di tempat yang sama” hanyalah dakwaan dan andaian akal, tidak berpandukan kepada mana-mana nas.

Dalam masa yang sama, maklum bahawa Muslim boleh sahaja berdoa dan bermunajat kepada Allah ﷻ di mana jua, tidak perlu ke tempat tertentu, di tempat sama atau lain, apatah lagi sampai perlu naik ke langit tujuh.

Tambah lagi, Nabi Musa a.s. berkata “KEMBALILAH KEPADA TUHANMU”, bukan “Kembalilah ke tempat munajatmu”. Jelas perbezaan antara kedua-duanya. Adakah ini juga bermaksud Nabi Musa a.s. mujassimah?

SOALAN KETIGA:

Daripada siapa Nabi Muhammad ﷺ terima pensyariatan solat fardu 50 waktu dan kepada siapa baginda ﷺ menghadap meminta supaya ia dikurangkan jika bukan Allah ﷻ?

JAWAPAN HAZA:

Ya memang daripada Allah. Di dunia, kita bercakap dengan seseorang, tidak melazimkan orang itu di tempat yang sama dengan kita. Maka kenapa kita hendak membatasi Allah dengan tempat kerana walaupun Nabi bermunajat dengan Allah di Sidratulmuntaha, tidak melazimkan Allah berada di situ. Hal yang sama berlaku ketika Nabi Musa berkata-kata dengan Allah di bumi, tidak bermaksud Allah berada dalam bumi.

JAWAPAN KEPADA HAZA:

Golongan Salaf tidak membataskan Allah ﷻ sama sekali. Sekali lagi, ini hanya menurut pola mantik Asyairah yang sempit. Allah ﷻ Maha Besar lagi Maha Luas. Mana mungkin Allah ﷻ terbatas, terhad atau tersekat, Maha Suci Allah daripada sebarang sifat-sifat kelemahan dan kekurangan.

Tetapi pelik jawapan HAZA. Adakah beliau setuju Nabi ﷺ menghadap Allah ﷻ tetapi dalam masa yang sama Allah ﷻ tidak ada? Menghadap tetapi tidak menghadap? Musykil.

SOALAN KEEMPAT:

Dengan siapa Nabi ﷺ berbicara apabila menerima pensyariatan solat fardu lima waktu jika bukan Allah ﷻ?

JAWAPAN HAZA:

Soalan sama, tak relevan.

JAWAPAN KEPADA HAZA:

Ajaib. HAZA sedaya upaya memberi jawapan kepada tiga soalan pertama padahal ia hanya mukadimah untuk sampai ke kemuncak persoalan dalam permasalahan ini iaitu “Dengan siapa Nabi ﷺ berbicara apabila menerima pensyariatan solat fardu lima waktu jika bukan Allah ﷻ?”

Ternyata jawapan beliau “Soalan sama, tak relevan.” Mungkin beliau tidak faham soalan. Persoalannya, suara siapa yang Nabi ﷺ dengar apabila baginda ﷺ berbicara dengan Allah ﷻ? Adakah Nabi ﷺ mendengar suara Allah tetapi dalam masa yang sama ia bukan suara Allah? Begitu? Beliau tidak jelaskan.

SOALAN KELIMA:

Dalam hadis Bukhari di atas, Allah ﷻ berkata “FirmanKu tidak akan berubah” sedangkan menurut Asyairah Allah ﷻ berkata-kata tanpa suara dan bunyi. Ini perkataan siapa jika bukan Allah ﷻ sendiri?

JAWAPAN HAZA:

Maksud “Firmanku tidak akan berubah” ialah penetapan solat 5 waktu bersamaan 50 waktu. Ia adalah ketetapan yang dibuat oleh Allah, bukan perkataan Allah yang tidak berubah.

JAWAPAN KEPADA HAZA:

Ini jawapan yang bukan jawapan. HAZA tidak menjawab soalan. Persoalannya, adakah kenyataan “FirmanKu tidak akan berubah” ialah perkataan daripada suara Allah yang didengar oleh Nabi ﷺ? Kerana apa yang pasti, menurut Asyairah, Allah ﷻ berkata-kata tanpa suara dan bunyi.

[al-Insaf oleh al-Baqillani, hlm. 42, al-Tabsir oleh al-Isfarayini, hlm. 167]

SAYA MENGATAKAN:

Betapa kelirunya fahaman Asyairah.

JAWAPAN HAZA:

Asyairah tak keliru, tetapi geng mujassimah yang ghairah nak menyamakan Allah dengan makhluk sahaja yang keliru

JAWAPAN KEPADA HAZA:

Ini tuduhan buruk ke atas Salafi yang sama sekali tidak menjisimkan Allah. Malah tiada yang menggunakan perkataan ‘jisim’ di sini kecuali Asyairah. Hampir sahaja Asyairah yang menjisimkan Allah dalam benak mereka sehingga terkial mahu ‘tanzih’ menyucikan Allah ﷻ daripada sifat-sifat makhluk sehingga menafikan banyak nas Al-Quran dan hadis sahih yang dilihat ada penyerupaan Allah dengan makhluk.

Walhal, tiada sama sekali penyerupaan Allah ﷻ dengan sifat makhluk dalam Peristiwa Israk Mikraj kecuali menurut faham mantik Asyairah dan sekutu Ahli Kalam yang lain. Salafi tidak sesekali menyamakan Allah dengan makhluk, bersesuaian dengan firmanNya ﷻ “Tiada yang serupa denganNya, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat” (42:11).

Cuma pemikiran cangkat HAZA tidak dapat mencerap dengan baik fahaman Salaf al-Soleh lalu memfitnah dan menuduh apa yang jelas dinafikan oleh Salafi.

Allah jua pemberi petunjuk.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
28 Rejab 1445H
09 Februari 2024
https://idrissulaiman.com

Similar Posts